KERAP KALI sudah gesaan memulihkan kestabilan politik negara disuara atau dilaungkan. Malah, sudah beberapa kali pula kalangan pemimpin dari tapak politik berbeza, mengambil langkah duduk semeja membincangkan hal-hal kepentingan bangsa dan negara dilakukan.
Persoalan besar ialah: “Sejauh mana hasilnya?”Apa pun resolusi atau ‘kata sepakat’ yang dicari perlu berpaksikan kesungguhan dan ketulusan.
Manakala, bersepakat dan bekerjasama pula perlu berlandaskan sikap sedia menerima, memahami dan menghormati. Adakala menuntut kesediaan untuk sedikit sebanyak berkorban dan bertoleransi.
‘Sepakat’ mungkin senang diungkap, tetapi sukar diikat. Tidak mungkin ditemui kesepakatan pada erti kata sebenar selagi ada yang merasakan pihaknya memiliki lebih kuasa dan kekuatan, ada yang menganggap sumbangannya boleh mencatur kedudukan atau ada pihak meletakkan partinya tetap mendapat sokongan rakyat secara ‘taksub’ meskipun jelas terpamer kelemahan dan kepincangan.
Bahawa kesepakatan itu penting. Survival bangsa dan negara lebih terjamin dengan adanya jalinan kerjasama dan pendekatan bersepadu demi kebaikan bersama.
Pelayaran kehidupan atas landasan politik tanah air biarlah berada pada bahtera besar yang gagah dan kukuh. Cabaran semasa ibarat sentiasa terdedah kepada ribut badai yang mungkin melanda pada bila-bila masa tanpa dijangka. Beringat-ingatlah!
Kesepakatan menterjemah nilai jati diri bangsa. Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia, semua pihak patut berlapang dada membina semangat satu bangsa, satu keluarga tanpa niat memusuhi sesiapa.
Agenda menyegarkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara lebih penting dari membiarkan kepentingan kelompok melingkari kehidupan. Sudah banyak contoh, baik dari dalam dan luar negara yang boleh diambil iktibar.
Sikap leka dan lalai dari mengutamakan kepentingan bangsa dan negara tidak menguntungkan sesiapa. Apa guna menang sorak kalau kampung tergadai? Kata-kata ini mungkin klise, tetapi tetap membawa makna besar untuk direnungi.
Kolek-kolek kecil selalunya hanya berada pada situasi ke tengah tenggelam, ke tepi tak sampai. Jadi, elok kalau kembali bersama dalam bahtera besar yang terbukti berupaya menahan ombak, meredah samudera.
Bermacam sudah kias ibarat dilontarkan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya perpaduan. Ini termasuk: “Kambing yang terpencil dari kumpulan ramai akan mudah dibaham serigala…”.
JUJUR
Cukuplah dengan ‘meracik-racik’ kesepaduan sesama bangsa sekadar semata-mata mencari kepuasan atas sentimen peribadi atau puak. Sikap begini tidak banyak membawa manfaat. Untungnya tidak seberapa, ruginya tumpah merata.
Memetik kata-kata seorang pemimpin politik tanah air beberapa hari lalu: “Sikap sombong pemimpin rugikan parti Melayu, Islam”. Diharap seruan itu bukan sahaja ditujukan kepada kawan atau lawan, tetapi bagus jika turut terarah kepada parti yang dianuti sendiri.
Kini adalah masa terbaik untuk kembali bertaut, menghimpun kesepakatan bagi memperbetulkan semula negara (reset the nation). Kata-kata ini mungkin satu lagi ungkapan klise, namun tetap penting untuk diberi perhatian. Ini memandangkan kecelaruan politik negara semakin berlarutan. Rakyat terus resah dan bosan.
Apa pun, masa tidak pernah terlewat untuk berubah dan mencari jalan penyelesaian. Lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang mencakupi agenda kepentingan masyarakat, melibatkan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Perlu diatur langkah berkesan. Jika tidak, impian tidak mungkin berkesampaian.
Benar, kesepakatan politik tidak semestinya bergabung di bawah satu entiti (gabungan), tetapi lebih penting jika setiap parti lahir dan berjuang demi kesejahteraan dan memakmurkan semua.
Sekali lagi, apa yang penting ialah kejujuran. Jujur memikul amanah dan tanggungjawab serta menepati janji dan ikrar yang diberi.
Hadirkanlah kesepakatan dan kerjasama yang bermakna dalam konteks yang luas. Pihak yang memegang kuasa diharap mengatur dan melaksanakan segala dasar yang pragmatik dan berkesan.
Sementara, pihak yang menjadi pembangkang, berperananlah sebagai pengimbal atau pengimbang bagi kepentingan rakyat.
Ya, pembangkang bukan tugasnya sekadar mencari salah menjatuh kerajaan, sebaliknya elok jika bertindak menegur kelemahan, dan pada masa yang sama menyokong sebarang hal yang membawa kebaikan. Pembangkang perlu mempamerkan nilai dan peranan tersendiri.
Pada umumnya, cabaran besar Malaysia masih berada pada status mengekalkan kestabilan dan kemakmuran yang sedang dinikmati. Keadaannya tidak terlalu buruk berbanding sesetengah negara yang menghadapi kemelut yang sukar ditangani.
Masih ada peluang untuk membaiki keadaan dan mengembalikan harmoni dan kedamaian. Justeru, elak dari mencetuskan huru-hara atau menimbulkan sebarang bibit provokasi yang boleh menggugat keamanan.
Yang kusut diurai, yang tersimpul dilerai. Biar padi tetap menjadi, bukan lalang tumbuh mengganti. Sepakat itu kuat, berpadu itu maju! – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











