MACAM-macam khabar politik yang kita dengar dalam sebulan dua ini. Semuanya berkisar pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Dari bab spekulasi tarikhnya sehinggalah soal calon. Cuma depa kata masanya kian dekat, tapi depa itu siapa? Bukannya depa Perdana Menteri yang ada kuasa membubarkan Parlimen.
Yang hinggap di telinga ini antaranya di kerusi Parlimen Kuala Selangor sudah ada calon menunggu untuk bertanding atas tiket UMNO. Khabarnya berjawatan menteri. Dengarnya ketua bahagian sudah maklum hal ini.
Kerusi parlimen itu merupakan kubu kuat Pakatan Harapan. Walaupun penyandangnya kini, Dr. Dzulkefly Ahmad tewas mengejut kepada pendatang baharu dalam PRU13, Datuk Irmohizam Ibrahim dengan majoriti tipis 460 undi, strategis Parti Amanah Negara (Amanah) itu tampil menang bergaya dalam 9 Mei 2018. Berjaya lunaskan dendam ke atas lawan sama meraih majoriti besar 8,498 undi.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar demikian jua. Khabarnya menteri yang sama turut meninjau kerusi serupa. Eh! takkan lah pulun dua-duanya sekali, DUN dan Parlimen serentak. Itu perihal di Selangor. Fakta? Sudah mendapat restu presiden UMNO? Oh! itu dengar-dengar sahaja, kata orang kuat UMNO kepada saya kelmarin.
Di kawasan-kawasan parlimen dan DUN, Utusan Malaysia difahamkan, setiap parti utama sudah bersedia bila-bila masa untuk masuk gelanggang PRU.
Apa lagi DAP dan PKR, depa sudah disuntik semangat dengan kehadiran dua hulubalang mereka, setiausaha agung, Anthony Loke dan timbalan presiden, Rafizi Ramli. Parti Warisan Sabah (Warisan) pula, selain di negeri asal parti itu, mereka sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 kerusi parlimen di Semenanjung untuk diletakkan calon.
Di pihak Perikatan Nasional (PN), Pas dijangka lebih fokus untuk pertahankan kerusi-kerusi di kubu mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Negeri-negeri lain, sekadar ‘ada satu dua cukup’. Biarpun begitu, cabaran Pas kali ini bukan mudah. Kegagalan parti itu menampakkan diri sebagai parti memperjuangkan isu-isu berteraskan Islam dan berkepentingan rakyat, dengan sekadar bermain di belakang tabir kerajaan, sekali gus meletakkan Pas dalam keadaan bahaya hari ini. Dijangkakan kerusi Parlimen yang akan diraihnya dalam PRU15 ini kurang dari 10, berbanding 18 diperoleh empat tahun lepas?
Sekutu Pas iaitu Bersatu kali ini pastinya berdepan laluan cukup berliku. Tanpa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bersatu pincang. Kuyup setelah kalah teruk dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, selain gagal menempatkan diri di Sarawak akibat sekatan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Walaupun tampak `melabur sakan’ di Melaka dan Johor dengan persiapan lebih `gah’ dari Barisan Nasional, Bersatu tanpa akar umbi dan strategi, tidak ke mana akhirnya.
Dengan label parti `MP lompat’ , PRU15 adalah gelanggang ‘hidup mati’ Bersatu. Bahkan difahamkan, ada kalangan ahli parlimennya sudah berkira-kira mahu menyeberang balik ke UMNO.

SOLO
Dua lagi parti, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijangka berpeluang meraih kerusi Parlimen kali ini. Di Johor 12 Mac lalu, Pejuang pulang hampa, barangkali ‘baharu’, kurang dikenali seperti didakwa oleh Dr. Mahathir kepada akhbar ini. Muda sahaja yang boleh berbangga menang satu kerusi. Dalam PRU15 nanti, paling tidak, kurang lima kerusi dijangka lekat masing-masing di tangan Pejuang dan Bersatu. Barangkali kerana agenda penubuhan dua parti ini bersesuaian dengan sentimen masyarakat Malaysia hari ini yang dahagakan slogan integriti serta bersentimenkan orang muda serta wajah baharu.
BN, khusus tonggaknya UMNO sekiranya PRU berlangsung awal sebelum September atau paling lewatpun November ini, dijangka berpeluang secara solo menguasai antara 75 hingga 90 kerusi Parlimen. Dengan momentum kemenangan di tiga dari empat pilihan raya negeri, iaitu Sabah, Melaka dan Johor selain tidak kurang 10 kerusi diraih dalam pilihan raya kecil tempoh hari, aura itu bagaimanapun akan lenyap andai kata gelanggang PRU hanya dibuka tirainya tahun depan.
Ya, memang sukar diramalkan krisis ekonomi, apa lagi inflasi yang mendatang dalam beberapa bulan mendatang ini. Namun kerana politik memang bersandarkan momentum, setidak-tidaknya ada ‘isu, fakta dan sejarah’ yang mahu atau boleh dibentangkan UMNO dalam waktu terdekat ini.
Dan al-kisahnya, mana-mana parti politik tanah air kala ini menghadapi masalah dan isu serupa – pengkhianat parti. Baik UMNO, DAP, PKR, waima Pas pun, masing-masing pernah ada parutnya akibat didurhakai oleh orang parti masing-masing.
Kekecewaan paling teruk dialami UMNO. Tidak kurang 17 ahli parlimennya termasuk lima dari Sabah berpaling tadah. Namun yang ajaibnya, di peringkat akar umbinya tidak kacau bilau. Baik cawangan dan bahagian, tidak ada pula yang bubar.
Berpijak di bumi nyata, tentunya mana-mana nakhoda parti cukup hampa kecewa apabila anak kapal menjadi si gunting dalam lipatan, si dedalu dan pengkhianat.
Padahal bukannya tidak disebut atau diingatkan oleh ketua parti, yang dalam konteks UMNO misalnya seperti dipertegaskan oleh presiden – tidak ada pintu belakang untuk lompat ke parti lain. Apa sahaja tindakan yang dilakukan mestilah dilakukan bersama secara en bloc.
POHON KUAT
UMNO di awal 9 Mei 2018 ibarat pohon yang kuat. Tetapi disebabkan pengkhianat parti, 54 kerusi Parlimen yang diraihnya, susut tinggal 38 sahaja. Hal ini berbeza dengan prinsip DAP yang dipegang cukup meyakinkan – lompat parti suatu pengkhianatan besar kepada rakyat dan pengundi mereka.
Demikianlah al-kisahnya – mana-mana parti politik akan ada ‘abu jahal’nya. Lompat parti bererti berpaling tadah – mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan itu bertukar arah. Lebih parah lagi, menentang parti asal.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat.
Ada hikmahnya bila mana semua parti politik sudah mula mencantas dedalu-dedalu ini. Biarlah dedalu-dedalu ini membesar dan merimbun pula di pokok baharu yang rendang.
Ya, kerana biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara natural akhirnya.”
Bak kata seorang netizen terhadap posting seorang pemimpin parti yang beria-ia menyerang partinya dari dalam, terbaharu dalam isu MoU kerajaan-pembangkang:
“Saya nak tanya…kenapa Tan Sri terpaksa selak dari setiap celah yang sukar untuk mengagalkan apa yang diputuskan secara bersama oleh majoriti pemimpin dan ahli UMNO? Bukankah lebih mudah untuk bersama sebagai bukti Tan Sri pemimpin terpuji? Saya percaya Tan Sri orang yang sangat lama dalam parti, berhentilah buat hal. Tan Sri juga sudah lebih dari cukup dengan apa yang ada pada Tan Sri selama dalam UMNO…”
Kita rakyat, mendambakan PRU15 satu pilihan raya yang bersih dan telus – tanpa dedalu dan pengkhianat parti.










