Praktis ithar dalam kegawatan ekonomi - Utusan Malaysia

Praktis ithar dalam kegawatan ekonomi

Ramai manusia membantu ketika senang, tetapi tidak ramai manusia membantu ketika diri sendiri susah, sedangkan pahala membantu ketika kita sendiri berada dalam kesusahan adalah lebih besar ganjarannya. – Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia sedang beransur pulih dari penangan Covid-19 yang memberi impak besar kepada kehidupan umat manusia. Walaupun masih berdepan dengan kesan pandemik dan inflasi, rata-rata pengguna bersikap positif bahawa ekonomi dunia akan bertambah baik.

Namun, malang terus melanda dunia bila tercetus perang Russia Ukraine yang tidak dapat dipastikan bila akan berakhir. Ini sudah tentu melengahkan lagi proses pemulihan ekonomi dunia.

Kesan serangan Russia terhadap Ukraine bukan sahaja memberi kesan kepada negara-negara sekitarnya malah akan turut dirasai oleh negara miskin dan negara membangun.

Krisis makanan dijangka bertambah meruncing dalam masa terdekat, menyaksikan peningkatan harga barang dan kekurangan keperluan asas seperti gandum dan minyak masak.
Ini pastinya detik sukar buat kita semua.

Harga minyak sawit turut meningkat memandangkan kekangan bekalan minyak masak dari Ukraine yang merupakan pengeksport terbesar minyak masak dunia. Nyatalah, pasca pandemik Covid-19 dan perang Russia Ukraine memberi impak besar terhadap ekonomi dunia. Bala yang menimpa kita semua.

Negara kita juga menerima kesan yang tidak kurang hebatnya kerana kita banyak mengimport makanan dari luar.

Bukan sahaja pengguna malah peniaga turut mengalami kesukaran mendapatkan bekalan bahan untuk kelangsungan perniagaan.

Peniaga tiada pilihan, sama ada untuk menaikkan harga makanan atau membuang pekerja rentetan peraturan had minima gaji pekerja yang telah mula berkuat-kuasa.

Kesannya, akan lebih ramai lagi yang akan kehilangan pekerjaan.

Apakah solusi kita pada zaman gawat ini? Tidak lain tidak bukan ialah dengan berjimat-cermat. Bagi individu yang belum berkahwin, mungkin perancangan kewangan lebih mudah dan tidak memeningkan kepala.

Namun, bagi mereka yang mempunyai tanggungan sama ada anak-anak atau ibu bapa, pastilah sukar menghadapi kegawatan ekonomi ini.

Peningkatan harga barang keperluan asas, kekurangan bahan makanan adalah sesuatu yang merungsingkan mana-mana ketua keluarga.

Namun, pada zaman gawat ini, berjimat-cermat bukan bermakna kita mengabaikan tuntutan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Ramai manusia membantu ketika senang, tetapi tidak ramai manusia membantu ketika diri sendiri susah, sedangkan pahala membantu ketika kita sendiri berada dalam kesusahan adalah lebih besar ganjarannya. Inilah yang dinamakan ithar, mengutamakan kepentingan orang lain dari kepentingan diri.

Sekiranya kita berada dalam golongan bernasib baik dan berpendapatan tetap, wajarlah kita membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Perancangan kewangan ketika kegawatan ekonomi bukan bermakna merancang kewangan untuk diri dan keluarga sahaja, sebaliknya merancang untuk membantu kewangan Muslim lain kerana setiap Muslim itu bersaudara.

Ithar amat dituntut dalam Islam.

Persoalannya, bagaimana mahu merancang sedekah kita? Bagaimana mahu merancang ketika kita sendiri berada dalam situasi yang sukar? Rasulullah SAW dan isteri baginda adalah contoh terbaik bagaimana boleh membantu orang susah pada saat baginda sekeluarga juga kelaparan. Tamar yang ada dikongsi bersama peminta sedekah dan baginda sama sekali tidak pernah menolak permintaan orang yang susah.

Dewasa ini banyak pelan sumbangan kewangan, sama ada potongan zakat bulanan, potongan wakaf mingguan, sedekah harian dan pelbagai lagi. Muslim yang bijak haruslah pandai membahagikan pendapatannya agar dapat sentiasa bersedekah. Zakat, sedekah, wakaf dan infak tidak hanya dilakukan ketika kita kaya, kerana sedekah sewaktu susah itu lebih banyak pahalanya.

Apa pun, paling penting pilihlah medium untuk bersedekah yang betul dan jauhi skim penipuan melalui sumbangan orang ramai.

Bijaklah memilih tempat untuk anda membayar zakat, sedekah, wakaf dan lainnya agar sumbangan anda dimanfaatkan kepada golongan yang sepatutnya.

Pandemik memberi kesan besar kepada ekonomi umat. Mereka yang diberi kelebihan rezeki hendaklah sama-sama membantu Muslim yang ditimpa kesempitan.

Perintah kawalan pergerakan, kekangan perniagaan dan pelbagai lagi menyebabkan ramai orang kehilangan pendapatan.

Mereka ini sangat wajar dibantu.

Selain berusaha membantu orang yang berhadapan dengan masalah kewangan, kita juga haruslah berjimat-cermat dalam berbelanja. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadith:

Bahawa Allah meredai umatnya tiga perkara dan membenci tiga perkara; Allah meredai kamu menyembah-Nya. Dan tidak menyekutui-Nya, dan berpegang dengan tali Allah dan tidak berpecah-belah. Dan Allah tidak menyukai kamu bercakap perkara tiada faedah, memperbanyakkan soal dan melakukan pembaziran.

Kerajaan turut memberikan pelbagai inisiatif bantuan kewangan kepada rakyat; antaranya Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Prihatin Nasional.
Amat malang apabila ramai yang tidak menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.
Zaman kegawatan ekonomi adalah tempoh masa kritikal bagi semua untuk bijak merancang dan berbelanja.

Merancang untuk diri dan keluarga dan dalam masa yang sama jangan lupa merancang untuk membantu orang lain.

Kegagalan merancang kerana terjebak dengan nafsu membeli yang tidak terkawal akan memburukkan lagi keadaan.

Lebih malang, anak-anak dan tanggungan kita yang akan terkesan.

Di dalam Islam, terdapat banyak kaedah yang boleh dipraktikkan dalam merancang kewangan, antaranya menggunakan fiqh awlawiyat dan fiqh muazanat.

Menentukan apakah perbelanjaan yang paling penting, daruri dan perbelanjaan yang kurang penting yang boleh dikesampingkan.

Ibrah dalam Surah Yusuf juga boleh dijadikan teladan untuk kita bersiap siaga dalam kegawatan ekonomi. Menyimpan dan berpada-pada ketika musim senang untuk persediaan musim susah.

Zaman dahulu, kegawatan ekonomi akan berlaku ketika musim kemarau, namun kini kegawatan ekonomi bukan disebabkan cuaca sahaja, boleh disebabkan oleh faktor wabak dan ketidakstabilan politik dunia akibat peperangan.

Tuntasnya, dalam membuat perancangan untuk diri dan keluarga, jangan lupa untuk bersikap ithar terhadap orang yang juga lebih memerlukan.

Selain itu, apa jua keadaan ekonomi kita, Islam mengajar kita untuk bersyukur sentiasa, dengan rezeki yang sedikit atau banyak, wajiblah kita bersyukur. Allah SWT telah berfirman bermaksud:

Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambahkan lagi dan sekiranya kamu tidak bersyukur dan kufur sesungguhnya azab-Ku adalah pedih. (Ibrahim: 7)

“And (remember) when your Lord proclaimed, ‘If you are grateful, I will certainly give you more. But if you are ungrateful, surely My punishment is severe.”
(Surah Ibrahim, 14:7)

PENULIS ialah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Anggota Majlis Agama Islam Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN