Pengalaman indah 10 pasangan etnik Semai berkahwin serentak - Utusan Malaysia

Pengalaman indah 10 pasangan etnik Semai berkahwin serentak

Sebahagian daripada ahli keluarga dan tetamu merakamkan gambar ketika 10 pasangan pengantin bersanding di atas pentas di Pos Betau, Lipis, Pahang baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKAHWINAN ialah suatu akad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajiban antara kedua-dua mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd. Fadzli Mat Saman, berkata, perkahwinan merupakan ikatan lahir di antara dua orang, lelaki dan perempuan untuk hidup bersama di dalam sebuah rumah tangga di samping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas (disiplin) hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak.

Mohd. Fadzli menyatakan demikian ketika menyampaikan tazkirah sebelum acara akad nikah sempena sempena Majlis Walimatul Urus Saudara Baharu Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) di Pos Betau, Ulu Jelai, Lipis baru-baru ini.

Pasangan mempelai Orang Asli etnik Semai itu berusia 18 tahun hingga 40 tahun terdiri daripada penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Betau, KOA Pantos, KOA Sungai Padi dan KOA Sungai Temetong daerah Lipis.

Menurut Mohd. Fadzli, Allah menghalalkan seorang lelaki dan wanita yang soleh, iaitu masing-masing menjaga kehormatan dirinya untuk menyatukan hubungan mereka dalam ikatan yang halal.

“Hal ini merupakan satu nikmat terindah daripada Allah jika dua orang yang saling mencintai bersatu dalam ikatan yang halal dengan niat beribadah kepada-Nya,” jelasnya.

Dia selanjutnya berkata, Allah memerintahkan hamba-Nya untuk bertakwa agar memperoleh jodoh yang bertakwa pula, dengan jodoh Allah akan menciptakan keturunan dan perasaan saling mencintai satu sama lain.

Allah berfirman bermaksud:
Hai sekalian manusia bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri) dan lalu keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu. (surah An-Nisa: 1)

Mohd. Fadzli yang banyak mengetuai usaha dakwah menerusi pembangunan pendidikan dan sosial saudara baharu Orang Asli di Pahang turut menyampaikan tazkirah mengenai perkahwinan dari perspektif Islam termasuk adab hubungan suami isteri, adab hubungan dengan ibu bapa dan keluarga kedua belah pihak pasangan, nafkah pasangan, keharmonian rumah tangga dan sebagainya.

Majlis akad nikah pasangan Orang Asli tersebut dikendalikan wali hakim, iaitu Timbalan Kadi Lipis, Wan Mohd Azrul Wan Adnan dan Penolong Pendaftar Nikah Ulu Jelai, Mokhtar Mat Taha.

Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis yang juga penyelaras program, Muhammad Syafiq Abdul Aziz, 31, berkata, program walimatul urus pasangan saudara baharu Orang Asli diadakan setiap tahun antara usaha MUIP Cawangan Lipis untuk meringankan belanja pengurusan menerusi majlis perkahwinan beramai-ramai.

“Apa yang lebih penting usaha dakwah kita untuk memahami pasangan saudara baharu ini bahawa Allah sudah menciptakan manusia berpasang-pasangan, mempunyai rasa cinta dan berasa tenteram setelah disatukan menerusi ikatan pernikahan,” katanya.

“Majlis kenduri-kendara dan atur cara mengikut adat orang Melayu turut dibiayai serta diadakan secara bergotong-royong oleh kakitangan MUIP cawangan Lipis, Pejabat Kadi, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) daerah ini,” katanya.

Antara adat perkahwinan orang Melayu dilakukan ialah diarak dengan bunga manggar, bersanding di pentas, makan beradab serta diwarnai dengan pakaian sedondon oleh pasangan tersebut.

SANGAT GEMBIRA
Pasangan pengantin dari Pos Betau, Anuar Bah Jat, 31, berkata, dia gembira dan bersyukur dapat menjejak ke jenjang pelamin setelah melafazkan akad nikah dan sah disatukan dengan Roslin Lawat, 27, iaitu rakan sekampung yang sudah dikenali lebih lima tahun lalu.

“Sebelum ini, kami sudah lebih dua tahun melafazkan kalimah syahadat dan mendalami hal ehwal Islam menerusi bimbingan petugas PePIMA yang berkhidmat di kampung ini.

“Saya lega selesai diijabkabul dan kini akan mencongak kebahagian rumah tangga, memperoleh zuriat kami dan paling utama, iaitu untuk mendalami Islam untuk menjadi insan yang soleh di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Anuar yang bekerja sebagai buruh di Pos Betau berkata, selepas ini, beliau dan isteri berharap dapat melayari kehidupan rumahtangga yang bahagia di samping mengajak rakannya yang belum memeluk agama Islam dengan berdoa supaya mereka memperoleh hidayah Allah SWT.

Bagi seorang jejaka Melayu dari Rantau Panjang, Kelantan, Muhammad Amir Che Mani, 23, berkata, beliau memilih wanita keturunan Orang Asli etnik Semai, Norhafiza Mohamad Fadli, 41, untuk menjadikan teman hidupnya sehingga akhir hayatnya.

Beliau turut menepis skeptikal sesetengah pihak mengenai perkahwinan campur dengan wanita Orang Asli kerana keluarga sebelah isterinya sudah lama memeluk agama Islam. Malahan (isterinya) kuat menjalani rutin beribadat, iaitu menunaikan solat, bertadarus al-Quran dan berpuasa di bulan Ramadan.

“Walaupun pada awal pertemuan, saya mendapat tahu status isteri keturunan Orang Asli, tetapi saya tidak kisah dan menganggapnya sebagai jodoh kerana ramai orang Melayu berkahwin dengan dengan gadis daripada keturunan Orang Asli atau kaum lain.

“Norhafiza yang berasal dari Pos Betau memiliki sikap tanggungjawab tinggi. Saya yakin dengan perkahwinan ini dan mahu mencipta bahagia sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN