Manusia dijadikan Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi selaras dengan firman Allah dalam surah al Baqarah.
Tujuan manusia dijadikan juga adalah untuk beribadah seperti yang disebut dalam surah al-Zariyat ayat 56. Persoalannya adakah hidup manusia ini hanya dipenuhi dengan tanggungjawab dan beban, dan tiada masa senggang langsung untuk berhibur dan bersuka ria?
Tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini sangat banyak. Ini termasuklah tanggungjawab bersifat fardu ain seperti puasa dan solat hinggalah tanggungjawab fardu kifayah seperti memajukan ekonomi ummah dan membangunkan politik Islam.
Wajib ke atas setiap umat Islam menegakkan syariat Allah di atas muka bumi ini mengikut kemampuan masing-masing.
Menunaikan pelbagai tanggungjawab terhadap agama, dalam masa yang sama memikul beban meneruskan hidup mencari nafkah amat memenatkan kita sebagai Muslim.
Maka fitrah manusia juga inginkan kerehatan. Allah telah menjadikan nafsu sebagai pelengkap hidup manusia. Nafsu itu menyeronokkan dan menghiburkan.
Walau bagaimanapun, nafsu manusia haruslah dilorongkan dengan cara yang halal. Nafsu makan perlu dihadkan kepada pengambilan makanan yang halal dan toyyib. Nafsu kepada hubungan seksual hendaklah dilorongkan kepada pasangan yang sah dan halal.
Nafsu terhadap hiburan juga hendaklah dilorongkan kepada hiburan yang patuh syarak dan tidak melalaikan atau memudaratkan.
Begitulah juga pelbagai lagi jenis gaya hidup santai sebagai pelepas lelah kita bekerja dan beribadah di atas muka bumi ini.
Maka Allah memerintahkan manusia bersenang-lenang dengan isteri dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (al-Rum: 21)
Nafsu syahwat harus dipandu ke arah perhubungan yang halal, dan haram ke atas Muslim mendekati perzinaan, berdasarkan amaran Allah Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).
Namun, malangnya manusia hari ini, seolah-olah telah lupa dengan panduan yang ditetapkan di dalam al-Quran. Bukan perlakuan zina sahaja yang ditegah, malah segala perlakuan yang membawa kepada zina juga wajib ditutup atau disebut sebagai sad zariah (menutup lorong kerosakan).
Ini termasuklah pergaulan bebas tanpa had, berdua-duaan di tempat yang membawa fitnah dan pelbagai bentuk hubungan yang boleh membawa kepada perkara haram.
Dewasa ini, dengan perkembangan teknologi, perhubungan lelaki perempuan telah berubah ke satu fasa yang lebih terbuka dan sukar dikawal. Anak-anak muda bebas berhubungan tanpa had, begitu juga orang dewasa sama ada yang telah berkahwin atau belum.
Pelbagai medium perhubungan sosial yang pada asalnya untuk memudahkan komunikasi manusia telah disalahgunakan untuk perkara maksiat.
Lebih menakutkan, jenayah seksual telah berkembang pesat sejajar dengan perkembangan teknologi moden. Iklan perempuan simpanan, iklan perhubungan sejenis, malah iklan bertukar-tukar pasangan melalui media sosial sudah tidak terkawal.
Kesemua jenayah sosial begini merupakan ancaman terbesar kepada institusi kekeluargaan kita.
Keluarga akan berpecah-belah, pasangan bercerai-berai, bilangan anak luar nikah dan kes penyakit kelamin akan meningkat dengan dahsyat. Inilah bahananya apabila manusia tidak memandu nafsu dengan hudud yang ditetapkan syarak.
Namun, peranan agama yang memandu hidup manusia inilah yang ditentang oleh golongan Liberal.
Mereka menyatakan bahawa manusia perlu bebas untuk menentukan kebahagiaan hidup masing-masing.
Hubungan seksual tidak boleh dibataskan dengan perkahwinan sahaja, malah manusia juga perlu diberi kekebasan sekiranya mencintai pasangan sejenis. Manusia yang memandu nafsu menggunakan akal tanpa batasan Syarak ini adalah lebih teruk daripada binatang yang tidak berakal.
Begitulah juga nafsu manusia yang cintakan hiburan. Bagi golongan tidak beragama, apa sahaja cara yang membahagiakan manusia tidak seharusnya dilarang.
Islam tidak melarang hiburan selama mana tidak membawa kepada kelalaian, maksiat dan pembaziran. , Malangnya ramai manusia mudah tersesat dan hanyut dalam hiburan. Drama, filem, persembahan nyanyian yang mendedahkan aurat lelaki dan perempuan, kebebasan dalam perhubungan malah penggunaan dadah sintetik semuanya dibenarkan atas dasar kononnya manusia ingin bebas.
Begitulah juga seni persembahan dan lakonan, semua dihalalkan atas nama seni.
Di negara Barat, hiburan telah melepasi norma manusia bertamadun.
Ini temasuklan industri pornografi, filem, teater, konsert yang memaparkan perbuatan manusia tidak berakhlak telah diterima.
Kita telah dikejutkan dengan perbuatan seorang artis wanita Barat yang membuang air ke atas muka peminatnya di atas pentas beberapa bulan lalu.
Perbuatan tidak masuk akal ini bukanlah satu perkara pelik di sana.
Manusia mencipta alasan dan justifikasi untuk membenarkan nafsu mereka agar bebas memenuhi fantasi ghairah mereka yang tidak bertepi.
Seni yang diharuskan menjadi haram akibat kejahilan manusia. Seni yang boleh menghiburkan duka-lara manusia menjadi satu dosa apabila disalah guna.
Tuntasnya, Islam adalah agama fitrah dan bukanlah agama yang berlawanan dengan kehandak manusia. Islam tidak mengharamkan perhubungan seksual tetapi haruslah berlandaskan Syarak iaitu melalui perkahwinan.
Malah Islam juga menegah perbuatan mengharamkan diri dari perkahwinan seperti yang dilakukan oleh penganut agama lain. Islam juga membenarkan hiburan seperti mana nyanyian dan tarian juga pernah diadakan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Namun, hiburan haruslah sesuai dengan adab manusia dan menjaga batasan Syarak.
Hiburan yang melampaui batas adalah dilarang keras kerana boleh membuka pintu kepada maksiat yang lebih besar yang boleh meruntuhkan moral dan tamadun manusia.
Wahai manusia, hiduplah dengan syarak kerana hanya agamalah yang memandu manusia dan membezakan kita daripada binatang yang tidak berakal.
——–
Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.










