Mekah bumi Allah yang diberkati - Utusan Malaysia

Mekah bumi Allah yang diberkati

UMat Islam yang berada di Mekah terutama untuk menunaikan haji perlu mengambil kesempatan melipatgandakan ibadat di bumi suci itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanah suci dalam Islam merujuk kepada tiga masjid yang paling mulia di atas bumi Allah SWT ini, iaitu Masjid Haram di Mekah al-Mukarramah, Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah dan Masjid Aqsa di Baitulmaqdis.

Hendaklah setiap umat Islam memasang niat menziarahi ketiga-tiga tanah suci ini kerana ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang berpeluang melaksanakan ibadah di masjid-masjid ini.
Banyak kisah dan kemuliaan tiga tanah suci ini yang diabadikan di dalam al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan tidak kurang karya yang dikarang oleh ramai cendekiawan Islam tentang sejarah, kelebihan dan kemuliaan tanah suci ini.

Saya hanya berbicara mengenai kemuliaan Tanah Suci Mekah. Ia lebih sesuai dan dekat dengan situasi sekarang yang hampir dengan musim haji di Mekah.

Alhamdulillah syukur bagi yang terpilih melaksanakan rukun Islam kelima ini. Bagi yang belum sampai masanya masih boleh melakukan ibadah lain seperti puasa sunat 10 hari pertama Zulhijjah, melakukan ibadah korban, bersedekah daging sembelihan dan sebagainya.

Sungguh beruntung bagi sesiapa yang dapat menjejak kaki di bumi Mekah sama ada untuk melaksanakan ibadah haji, umrah atau ziarah pada bila-bila masa.

Al-Quran mengisahkan peristiwa Israk Rasulullah SAW yang berlaku di Mekah sebagai tanah yang diberkati dan tanah yang menjadi bukti kekuasaan Allah SWT. (al-Isra’: 1).

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu bersusah payah dalam perjalanan melainkan ke tiga tempat ini, iaitu Masjid Haram, Masjid Rasulullah SAW dan Masjid Aqsa. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sementara Jabir r.a pula menyatakan Rasulullah SAW menyebut: Satu solat di Masjid Haram menyamai 100,000 kali ganda berbanding masjid lain. (Riwayat Ahmad).

SETIAP SUDUT

Setiap sudut di sekitar tanah haram ini mengandungi berkat dan kelebihan ganjaran pahala walaupun hanya dengan melihat sahaja seperti melihat Kaabah.

Melakukan tawaf sunat pada bila-bila masa, solat sunat di Hijr Ismail, di belakang Maqam Ibrahim, berdoa dan sebagainya.

Menurut Sheikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri, binaan asal Kaabah yang mulia ini adalah daripada hasil tangan Jibril a.s ketika Allah SWT menyuruhnya turun ke dunia dan membuat satu tanda (lakaran) sebagai kiblat peribadatan para hamba-Nya (Tarikh Makkah al-Mukarramah).

Kaabah menjadi kiblat umat Islam sedunia sebagai simbolik tuhan yang esa, iman yang sama dan agama yang satu.

Kemudiannya, telaga Zamzam juga merupakan kemuliaan yang ada di tanah haram ini. Airnya yang paling baik lagi diberkati di atas bumi ini di samping mempunyai kelebihan bagi sesiapa yang meminumnya dengan niat yang betul dan memohon apa jua hajat kepada Allah SWT.

Imam Ibnu Kathīr menceritakan, telaga tersebut terpancar dengan izin Allah SWT ketika peristiwa Siti Hajar dengan bayinya, Nabi Ismail a.s yang menangis kelaparan sedangkan di situ tiada air walaupun setitik.

Berkat kesabaran ibu yang mulia ini, lalu terpancar air yang suci ini yang tidak pernah kering sehingga hari ini. Ambillah peluang minum air zamzam bagi sesiapa sampai ke tanah haram, bismillah dan berdoalah dengan nama Allah SWT.

DIMASUKI DAJJAL

Tanah haram juga tidak akan dimasuki Dajjal laknatullah. Menurut sebuah hadis, bumi Mekah dikawal malaikat sepanjang masa sehingga hari kiamat, lalu ia bergoncang sebanyak tiga kali sehingga ia mengeluarkan sejumlah golongan kuffar dan nifak (Riwayat al-Bukhari).

Begitulah kesucian tanah ini di sisi-Nya yang tidak akan sesekali dimasuki Dajjal, sebaliknya dikeluarkan orang kafir dan munafik dengan sendirinya.

Allah SWT menjamin keselamatan dan keamanan bagi sesiapa sahaja yang berada di tanah haram. Bukan sahaja orang Islam, tetapi orang kafir Quraisy sekalipun, bahkan ia menjadi tempat suci sejak zaman jahiliah.

Kafir Quraisy menjadikan Kaabah sebagai tempat upacara penyembahan berhala, majlis keraian dan aktiviti harian mereka seperti pertandingan syair.

Namun selepas peristiwa Fath al-Makkah (pembukaan Mekah) pada tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW mengisytiharkannya sebagai tempat suci umat Islam dan menjamin keselamatan nyawa, harta dan keluarga musuh jika mereka berada di dalamnya.

Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Masuklah ke dalamnya (Masjid Haram) dengan rasa selamat dan aman (daripada segala keburukan dan kecelakaan) (al-Hijr: 46).

——
Mohd. Fahimi Zakaria dari Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN