Mat Kilau yang luar biasa

Mat Kilau yang luar biasa

mat kilau
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PADA malam Khamis lalu, buat pertama kalinya filem Mat Kilau dipratonton kepada khalayak terpilih, terutama untuk wartawan. Ia mengharap mendapat publisiti meluas bagi mengajak penonton kembali ke pawagam. Apatah lagi, penerbitnya adalah pendatang baharu dalam dunia perfileman tanah air.

Lebih setahun lalu, ketika bersembang dengan kenalan saya, Zainal Johan, beliau memberitahu ikut terlibat secara tidak langsung dengan pengolahan semula skripnya. Di waktu itu saya tertanya-tanya, apakah alasannya untuk penerbit memilih tokoh Mat Kilau yang hanya merupakan salah seorang daripada puluhan orang pejuang tanah air yang menentang penjajah Inggeris mulai awal abad ke-19 hingga tiba di kemuncak pada Mac 1946 kebangkitan secara besar besaran orang orang Melayu menentang Malayan Union?

Dan pertanyaan kedua, apakah filem drama purba seperti Mat Kilau mampu menarik penonton ke pawagam? Bukankah trend penonton sekarang lebih berminat kepada cerita jenaka seperti Hantu Kak Limah Balik Kampung, Man Laksa atau Zombi Kampung Pisang, atau filem filem lasak seperti KL Drift dan filem seram Islamik saperti Munafik, Dukun, dan sebagainya?

Saya menganggap ia suatu keberanian bagi dua bersaudara sebagai penerbit, Shaharuddin Dali dan abangnya, Abdul Rahman Dali. Tidak disangka pula saya mereka ini berasal dari Perak dan bukannya kelahiran Pahang.

Jika saya sebagai penerbit sesebuah filem, tentulah perkiraan dan harapan utama saya ialah untuk meraih keuntungan (ROI) atau paling tidaknya sekadar pulangan modal yang minimum supaya saya boleh terus kekal melahirkan filem seterusnya. Lebih-lebih lagi dapat semarakkan niat atau tujuan mulia untuk terus menghasilkan filem-filem sejarah dan patriotik yang dalam keadaan semasa berada di pinggiran supaya filem genre ini dapat dibawa kembali ke arus perdana guna menanam semangat patriotisme dan cintakan tanah air pada generasi muda, di samping dapat terus memberi bakti kepada dunia perfileman negara hidup segan, mati tak mahu. Pelaburan RM8 juta bukanlah sesuatu yang mudah untuk memperoleh pulangan. Namun, saya percaya pastinya ada penerbit yang mendapat keuntungan daripada perniagaan dan bisnes lain dan kemudiannya membuat filem patriotik seperti Mat Kilau ini sebagai tanggungjawab sosial Korporat (CSR) mereka.

BERMUTU

Setelah terpaku pada kerusi empuk di dalam pawagam selama hampir dua jam, saya terpaksa mengakui bahawa filem Mat Kilau terbitan sulung Kembara Studio ini luar biasa baiknya dan bermutu tinggi. Ia sebuah filem purba klasik yang berjaya melepaskan diri jauh daripada format filem Melayu lama dari Jalan Ampas, Cathay Keris dan Studio Merdeka. Pastinya, kerana gandingan beberapa faktor saperti cerita asal, skrip dengan lakon layarnya yang mantap. Lebih penting adalah olahan daripada cerita asal serta pengarahan yang mantap penuh bijaksana oleh pengarah muda, Syamsul Yusof yang sudah terkenal dengan filem filem lasak serta ‘fast editing.’ Saya dimaklumkan bahawa filem telah melalui olahan semula sebanyak dua kali, sebelum tiba pada versi ketiga untuk tayangan kepada umum. Hampir dua jam menonton membuat kita sentiasa berada dalam keadaan cemas, serta tidak dapat meneka apa akan berlaku seterusnya?

Tidak kurang pentingnya adalah pilihan para pelakon dan watak-watak utamanya di mana Adi Putera selaku Mat Kilau adalah cemerlang. Ia didukung pelakon-pelakon veteran seperti Rahim Razali selaku Mufti Dato Haji Uthman; Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah; Jalaluddin Hassan sebagai Dato Haji Muhamad; Shaharuddin Thamby sebagai Dato Bahaman serta dibantu Khir Rahman, Fattah Amin, Nam Ron, Farid Amirul, Johan As’ari, Lily Suriati, A.Galak dan beberapa lagi. Tidak kurang istimewanya ialah penampilan, Betto Kusyairy yang memegang watak antoganistik propenjajah Inggeris, Wahid.

Satu lagi keistimewaan filem Mat Kilau ini ialah penampilan seni silat Melayu ketika dalam situasi peperangan menentang penjajah Inggeris. Pada masa masa lalu, ia amat jarang ditampilkan sedemikian. Akhirnya, sesuatu yang amat sukar dalam membuat filem sejarah adalah props, hiasan dan busana. Ia telah dapat ditangani oleh pengarah seninya dengan baik.

Semoga kejayaan penerbitan filem Mat Kilau ini akan meransang kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberi prioriti yang berbeza daripada filem-filem genre cinta muda mudi, jenaka atau pun cerita hantu dan seram.Harapan tinggi saya agar filem genre ini diterima baik oleh masyarakat Malaysia dan berjaya melebarkan sayapnya peringkat dunia.-UTUSAN

Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh ialah bekas Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS); Pengerusi Balai Seni Lukis Negara dan beberapa kali dilantik sebagai juri Malam Anugerah Seri Angkasa (RTM) dan Festival Filem Malaysia pada 1980-1990-an.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya