Pada tulisan yang lepas, saya mendedahkan beberapa maklumat berkaitan tokoh penulis terkenal Malaysia iaitu Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi. Antara kitab dihasilkan adalah berjudul Bahrul Mazi, bererti lautan madu.
Bahrul Mazi adalah huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi.
Kitab ini menggunakan bahasa Melayu klasik tetapi masih mudah untuk difahami generasi hari ini.
Kitab ini setakat yang diketahui adalah kitab hadis terpanjang di alam Melayu iaitu berjumlah 22 juzuk yang dicetak sebanyak 11 jilid oleh syarikat percetakan di Mesir, Maktabah Mustofa al-Babiyy al-Halabiyy Wa Awladihi.
Manhaj Penulisan Kitab Bahrul Mazi
Saya dapat mengambil kesimpulan ada lapan manhaj utama dipegang Syeikh Idris al-Marbawi semasa menghasilkannya.
1: Syeikh Idris al-Marbawi menjadikan kalam al-Imam al-Tirmidzi sebagai asas. Dalam kitab ini, beliau membawa kalam al-Imam al-Tirmidzi dalam menghuraikan darjat sesuatu hadis ataupun dalam membicarakan pandangan ulama salaf terhadap hukum fikah berkaitan.
2: Tidak mendatangkan seluruh rantaian sanad sesuatu hadith yang dihuraikan. Sebaliknya beliau biasanya hanya mendatangkan nama sahabat Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadis tersebut Ada juga dalam beberapa keadaan beliau akan turut mendatangkan nama perawi yang meriwayatkan hadis daripada sahabat Rasulullah SAW yang berkenaan.
3: Menjadikan bahasa Melayu dan beberapa dialek Kuala Kangsar sebagai bahasa pengantar kitab ini. Kadang-kadang kalimah digunakan terlalu asing pada hari ini. Contohnya gompong, lugu, canggih (dengan bermaksud jijik) dan pelbagai kalimah yang lain.
4: Banyak menukilkan pandangan para ulama daripada kitab terkenal khususnya kitab al-Umm karangan al-Imam al-Syafi’iyy, kitab Syarh al-Nawawi ‘Ala Sohih Muslim karangan al-Imam al-Nawawi, kitab Irsyad al-Sari karangan al-Imam al-Qostollaniyy dan kitab Aridhoh al-Ahwaziyy karangan al-Imam Abu Bakr Ibnu al-‘Arobiyy al-Malikiyy.
Namun kitab yang menjadi rujukan utama Syeikh Idris al-Marbawi adalah kitab al-Umm dan kitab Syarh al-Nawawi ‘Ala Sohih Muslim.
5: Syeikh Idris al-Marbawi ketika menterjemahkan hadis atau ucapan para ulama tertentu kebiasaannya akan turut mendatangkan huraian peribadi beliau agar pembaca kitab Bahrul Mazi dapat menerima maklumat yang tepat.
Cuma pembaca mungkin menyangka bahawa tambahan huraiannya adalah terjemahan teks asal dalam bahasa Arab sedangkan ia hanyalah huraian daripada Syeikh Idris al-Marbawi.
Contohnya ketika beliau menterjemahkan hadisi: La Tuqbalu Solatun Bighoyri Tuhur, beliau menterjemahkannya: Tiada diterima sembahyang fardu atau sunat dengan ketiadaan cuci daripada hadas.
Sekiranya diamati, kita akan menyedari bahawa kalimah ‘fardu atau sunat’ dan kalimah ‘daripada hadas’ adalah huraian Syeikh Idris al-Marbawi dan bukannya asal sabdaan Rasulullah SAW.
6: Tidak menterjemahkan kalam seseorang ulama mengikut urutan asal teks ucapan tersebut sebaliknya mendatangkan dahulu ucapan yang akhir lalu diikuti dengan ucapan yang awal. Syeikh Idris al-Marbawi melakukan demikian kerana ingin menyesuaikan maksud utama yang beliau inginkan.
7: Dalam beberapa keadaan, beliau tidak mengikut istilah fikah yang disusun oleh al-Imam al-Nawawi dalam menentukan status kekuatan sesuatu pandangan dalam mazhab al-Imam al-Syafie.
8: Kadangkala memasukkan kalimah Arab dalam kitab Bahrul Mazi yang mungkin tidak diketahui oleh ramai masyarakat Melayu. Sikap ini berkemungkinan untuk mendedahkan masyarakat Melayu dengan kalimah Arab di samping mendidik masyarakat agar merujuk para ulama apabila sesuatu perbahasan tidak difahami secara baik.
Keistimewaan Kitab
1: Membantu orang Melayu yang tidak tahu berbahasa Arab untuk menyelami mutiara-mutiara ilmu ulama silam yang tercatat di dalam kitab-kitab mereka yang ditulis di dalam bahasa Arab.
Maka melalui kitab ini, para pembaca dapat mengambil faedah secara langsung daripada kalam al-Imam al-Syafie, al-Imam Abu Isa al-Tirmiziyy, al-Imam al-Nawawi, al-Imam al-Qodhi Ibnu al-‘Arobiyy al-Malikiyy, al-Imam al-Qostollaniyy, al-Imam Badr al-Din al-‘Ayniyy dan tokoh-tokoh lain yang ucapan mereka telah diterjemahkan oleh Syeikh Idris al-Marbawi.
2: Mendedahkan kepada masyarakat Melayu yang secara umumnya bermazhab al-Imam al-Syafie akan pandangan para fuqaha yang pelbagai di dalam masalah tertentu secara ringkas. Ini dapat mendedahkan masyarakat Melayu akan keluasan ilmu fikah serta dapat mengelakkan berlaku sikap taasub di dalam hukum-hukum fikah.
3: Memiliki maklumat bersifat pertengahan yang sangat sesuai dipelajari masyarakat umum.
4: Kitab ini berperanan mempertahankan tulisan jawi bahkan kitab ini juga boleh menjadi rujukan generasi baru yang ingin mengetahui ejaan jawi versi lama. Semasa menziarahi Almarhum Datuk Syeikh Mohd Ghazali Abdul Wahid iaitu menantu Syeikh Idris al-Marbawi di kediaman beliau di Ipoh saya diberitahu bahawa Syeikh Idris al-Marbawi tidak membenarkan kitab beliau ditulis dalam rumi.
5: Kitab ini sangat kaya dengan kalimah-kalimah Melayu yang asli yang sudah jarang dipertuturkan oleh orang-orang Melayu pada hari ini. Sebahagian besar kalimah-kalimah ini ada direkodkan di dalam kamus Dewan. Selain itu Syeikh Idris al-Marbawi juga ada menggunakan loghat Kuala Kangsar di dalam kitab ini.
6: Walaupun menggunakan gaya penulisan bahasa Melayu klasik, beliau tidak pula menggunakan laras bahasa yang rumit sebaliknya beliau menggunakan gaya bahasa yang mudah serta ejaan jawi yang tidak terlalu sukar untuk dibaca dan difahami.
7: Kitab Bahrul Mazi dipercayai adalah kitab karangan ulama Melayu yang terpanjang di alam Melayu setakat ini khususnya dalam bidang hadis.
8: Kitab ini berperanan mendekatkan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia dengan majlis pembacaan hadis-hadis Rasulullah SAW yang dikenali sebagai Majlis al-Sama’ yang masih lagi janggal di Malaysia.
Maka dengan adanya buku-buku yang menterjemahkan hadis Rasulullah SAW ke dalam bahasa Melayu, ini akan menguatkan lagi keinginan untuk dihidupkan majlis mendengar hadis Rasulullah SAW di Malaysia.
9: Kitab ini mencabar para ulama Melayu untuk lebih giat menterjemahkan kitab-kitab Arab ke bahasa Melayu terutamanya kitab-kitab hadis. Sehingga ke saat ini, belum ada lagi kitab-kitab huraian hadis Rasulullah SAW di dalam bahasa Melayu yang berskala besar telah dihasilkan oleh para ulama Melayu selain kitab Bahrul Mazi.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










