fbpx

Kahwin muda bukan trend, tepuk poket tanya diri

KAHWIN
Satu pilihan jangka pendek merugikan ialah memaksa anak berkahwin pada usia mentah.

Kian ramai anak muda terpengaruh dan terikut-ikut rakan dan terburu-buru melihat orang lain berkahwin. Ia seakan satu tekanan atau ‘takut ketinggalan’ (fear of missing out) dalam kehidupan.

Usia muda bukan penghalang, namun ia perlu diiringi dengan kematangan dan tanggungjawab. Memasuki alam perkahwinan adalah tanggungjawab paling besar setiap individu kerana ia melibatkan banyak pihak seperti keluarga mentua dan juga keluarga sendiri. Silap langkah, ia akan mengubah landskap keluarga ke arah yang menyusahkan mereka.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, ramai suami muda tidak bersedia memikul tugas dan tanggungjawab bila berkahwin.

Sebagai alternatif, mereka mula mencari jalan keluar daripada beban perkahwinan.

“Sikap tidak matang inilah yang akan mempengaruhi segenap aspek kehidupan termasuk hubungan.

“Sebaliknya wanita lebih cepat matang berbanding lelaki walaupun mereka mempunyai usia yang sebaya. Tanggungjawab di rumah sering diserahkan kepada wanita sejak kecil menjadikan mereka dewasa awal daripada usia.

“Ini kebiasaannya yang berlaku dalam budaya kehidupan kita. Anak lelaki pula tidak ditekankan akan aspek tugas dan tanggungjawab di rumah. Ini yang menimbulkan masalah apabila mereka berkahwin di usia muda,” katanya kepada Seri.

KELUARGA BERI GALAKAN 

Alasan keluarga tidak mahu anak buat dosa dengan kahwinkan anak awal boleh mendorong anak gadis bergelar janda di usia muda.

Ujar Zaid, satu pilihan jangka pendek yang mungkin merugikan banyak pihak apabila memaksa anak untuk berkahwin di usia mentah.

“Sikap menyalahkan anak perempuan semata-mata adalah salah (bimbang melakukan dosa berzina) kerana anak lelaki yang sepatutnya memikul tanggungjawab lebih besar dalam memelihara maruah dan kehormatan wanita.

“Sebaiknya, anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan, dididik dan dikawal daripada melakukan dosa. Anak perempuan perlu diajar menjaga kehormatan diri manakala anak lelaki pula mesti diajar untuk menghormati dan melindungi wanita.

“Ia bermula di rumah oleh ibu bapa sendiri. Kita tidak boleh menyerahkan pendidikan ini kepada pihak lain seperti sekolah atau kerajaan semata-mata, kerana risikonya terlalu besar,” katanya.

TUNTUTAN LAIN

Kata beliau, tiada umur tertentu sesuai atau digalakkan berkahwin tetapi terdapat beberapa indikator penting yang boleh dijadikan panduan.

“Indikator ini berdasarkan keadaan tuntutan kehidupan semasa seperti keupayaan kewangan, kestabilan karier, kematangan fikiran, kelaziman sosial dan persediaan menempuh fasa baharu kehidupan.

“Berdasarkan faktor ini, umur akhir 20-an hinggalah awal 30-an adalah masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Namun, perlu ditekankan, faktor ini berbeza bagi setiap individu, lokasi tempat tinggal dan juga karier yang diceburi.

“Prinsip utama yang boleh dijadikan panduan ialah persediaan daripada segi mental, emosi, kewangan dan kematangan bakal pengantin itu sendiri, berdasarkan indikator dinyatakan,” katanya.

Beliau menambah, usia muda juga sesuai untuk menghabiskan pendidikan formal, menimba pengalaman bekerja atau berniaga dan meningkatkan kualiti hubungan secara dewasa.

“Tidak perlu terburu-buru berkahwin sebelum melalui beberapa pengalaman hidup yang pahit dan manis, agar menjadi seorang yang benar-benar matang untuk mengharungi cabaran paling besar dalam hidup iaitu mendirikan rumah tangga,” katanya.

RUMAH TANGGA YANG SAKIT

Bagi Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop, berkahwin pada usia muda mempunyai potensi mudah berbalah, bergaduh dan kurang bertolak ansur.

“Jika perbalahan tidak diurus dengan baik, akan wujud episod demi episod perbalahan yang boleh membawa kepada ‘rumah tangga yang sakit’.

“Sekiranya mereka benar-benar faham apa itu perkahwinan dan tujuan sebenar berkahwin, di samping menimba ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan rumah tangga, perbalahan ini boleh diatasi,” katanya.

EKSPEKTASI TIDAK REALISTIK

Perceraian berlaku dalam kalangan pasangan muda berkemungkinan berpunca ekspektasi tidak realistik.

Sebelum berkahwin inginkan begitu dan begini, tetapi selepas berkahwin rupanya keinginan itu jauh daripada yang diharapkan.

“Selain kurang kefahaman tentang erti dan tujuan perkahwinan, hanya fikir perkahwinan untuk ‘halalkan’ hubungan semata-mata. Apabila tidak jelas tentang tanggungjawab dan tuntutan yang perlu dilaksanakan sebagai suami isteri selepas berkahwin malah terikut-ikut dengan trend ‘kahwin awal’ maka timbullah ketidaksefahaman,” katanya.

TAK SEDIA JANGAN KAHWIN

Tegas Yusni, perkahwinan yang berlaku semata-mata untuk mengelak anak atau pasangan muda melakukan dosa belum cukup untuk melayakkan seseorang itu berkahwin dan menjadi suami isteri.

“Pasangan muda perlu tahu kemahiran mengendalikan cabaran rumah tangga. Pentingnya, ilmu pengetahuan khususnya berkaitan hal rumah tangga, seperti kemahiran memasak, mengurus rumah, mengatur kewangan dan lain-lain.

“Sebab itu, setiap pasangan muda perlu mendapatkan nasihat dan pandangan ibu bapa kedua-dua belah pihak mahupun daripada pasangan suami isteri yang lebih tua dan berpengalaman untuk menilai sejauh mana kesediaan dalam mendirikan rumah tangga,” katanya.

UMUR DAN TEORI

Peringkat umur digalakkan berkahwin adalah bermula pada pertengahan 20-an dengan merujuk kepada Teori Perkembangan Kerjaya dan Perkembangan Fisiologi Manusia.

“Pakar obstetrik dan ginekologi mengesyorkan umur 20 hingga 35 tahun sebagai umur kehamilan yang optimum. Kesuburan wanita menurun apabila mencapai pertengahan hingga akhir 30-an,” katanya.

Namun katanya, usia bukan ukuran kebahagiaan.

Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020 menunjukkan perceraian tertinggi berlaku melibatkan purata kumpulan usia 30 hingga 34 tahun.

“Maka berkahwinlah ketika pasangan benar-benar faham tuntutan perkahwinan, kesediaan yang tinggi daripada aspek mental, fizikal, psikologikal dan kewangan, ada sumber pendapatan yang stabil serta ilmu rumah tangga dan ilmu agama yang cukup,” katanya.

Hang bila nak kahwin?
SAYA pasti ramai yang masih bujang tidak suka ditanya soalan bila mahu kahwin? Atau kenapa tak kahwin-kahwin lagi ini? Ini antara dilema anak muda sekarang atau yang sudah berusia tetapi belum berkahwin apabila ditanya soalan sebegini.

Kalau pergi kenduri kahwin, ziarah rumah saudara mara atau beraya, ini selalunya soalan popular yang akan ditanyakan dan empunya diri sama ada suka atau tidak, terpaksa memberi alasan.

Pada saya, soalan ini tak perlu ditanya. Kalau sudah ada jodoh tunggulah saja jemputan kenduri. Tak perlu membuatkan orang yang belum berkahwin itu merasa tertekan dan kesannya ‘menyambar’ saja sesiapa yang ada tanpa mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. Selepas itu, baru kahwin setahun dua, sudah berantakan dan memfailkan perceraian.

Perkahwinan bukan boleh dipaksa atau didesak. Berkahwin cepat atau dalam usia muda bukan jaminan kekal bahagia. Apatah lagi dalam usia mentah, pasangan cenderung tidak dapat menyesuaikan diri atau tidak puas hidup bujang tetapi berkahwin kerana cinta dan tidak mahu berbuat dosa.

Tentunya perkahwinan adalah baik dalam agama tetapi pada masa sama culas tanggungjawab, kecurangan yang boleh membawa maksiat dan perceraian juga perkara amat dilarang agama. Jangan kerana tidak mahu rasa ketinggalan, bimbang tiada jodoh kerana usia semakin meningkat, telinga pula tidak tahan asyik ditanya bila mahu kahwin? Dan tidak mahu melakukan dosa maka perkahwinan yang tergesa-gesa adalah jalan selesainya. Sedangkan perkahwinan bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab dari segi batin manakala yang lain-lain tidak diambil kisah.

Dalam hal ini ibu bapalah sepatutnya memberi didikan agama secukupnya untuk anak agar tidak terjerat dalam kancah dosa dan menasihati mereka berkahwin pada usia sepatutnya iaitu sudah matang dan boleh memikul tanggungjawab berkeluarga.

Menurut Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada umur lewat 20-an berbanding pada umur awal 20-an pada 1980-an.

Berdasarkan penemuan Banci Penduduk pada 1980, 2000 dan 2010, umur purata perkahwinan perempuan meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun dan kemudian meningkat kepada 25.8 tahun pada 2010.

Senario semasa menunjukkan perkahwinan lewat adalah dalam kalangan berpendidikan tinggi dan bekerja. Mereka ini mahu mengukuhkan kedudukan kewangan, terutamanya yang tinggal di bandar sebelum berkahwin.

Betullah, kukuhkan kedudukan kewangan terlebih dahulu, barulah berkahwin. Kasih sayang dan cinta saja bukan boleh bayar ansuran rumah, kereta, barangan dapur, bil-bil utiliti dan macam-macam lagi. Ini fakta.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!