Puisi dalam Kejora banyak berhubung kait membentuk sebuah ceritera. Penulis, Nurul Ashikin Muhiyuddin berkata, antologi puisi sulungnya itu menghimpunkan 30 buah puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa.
“Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan buku ini. Daripada ilham sehinggalah ke peringkat penghasilan beberapa lagu puisi Kejora bertemankan komposisi Ayop Azril, seorang komposer berbakat yang amat memahami perjalanan cerita yang diketengahkan dalam buku ini” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berkenaan pada Pesta Buku.
Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini. Pelancaran buku disempurnakan Pengarah Filem, U-Wei Saari yang turut mendeklamasikan sebuah puisi daripada Kejora.
Ashikin M bukan sahaja dikenali sebagai penulis, tetapi juga seorang pengembara dan pakar strategi di sektor korporat.
Wanita asal Ipoh, Perak, ini pernah bekerjasama dengan penulis Indonesia untuk menghasilkan buku The Colour of Regret pada 2021.
Antara buku pernah diterbitkannya ialah Pabila Pesawat Bertemu Bulan, Mimpi-Mimpi Nomad, Mencari Warna Malaikat dan Si Romantik Yang Sudah Mati.
“Saya sudah lama ingin menghasilkan buku himpunan puisi namun puisi adalah seperti cinta dalam waktu yang tak mengerti. Saya perlu melalui perjalanan jauh untuk memahami kekuatan suara dalam penulisan, di mana saya bermula dengan menulis cerita pendek.
“Kemudian, beralih ke novel dan seterusnya mencuba bentuk puisi yang pelbagai. Saya masih mengekalkan suara berbunyi prosa di dalam perjalanan puisi-puisi kali ini kerana pada akhirnya, niat utama saya adalah hanya untuk bercerita. Bercerita adalah sesuatu yang takkan dapat saya hentikan sehingga saat ini,” katanya.
Lebih mengagumkan, 30 puisi beliau yang terdapat di dalam buku ini dihasilkan dalam tempoh tujuh tahun.
Buku bertemakan bintang kejora itu adalah karya ke-11 Nurul Ashikin atau lebih dikenali sebagai Ashikin M sejak menceburi dunia penulisan sejak 2015.
Sebanyak 1,000 naskhah dicetak bagi penerbitan sulung, namun dalam tempoh beberapa hari sahaja, sebanyak 500 berjaya dijual.
Rata-rata pembelinya adalah dalam kalangan pelajar sekolah, golongan dewasa bahkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas juga.
Buku Terbitan Langit dan boleh didapati di laman Instagram @terbitanlangit @puisikejora dan @ashmhydn dengan harga RM25 (tidak termasuk caj penghantaran). Maklumat lanjut layari laman sesawang www.ashikinm.com.
U-Wei menyifatkan naskhah terbaharu dari Ashikin M tersebut sebagai ‘berani dan amat tepat pada masanya’.
“Saya amat berbangga dengan inisiatif Ashikin M dalam penghasilan buku ini, lebih-lebih lagi ia merupakan buku puisi yang pertama darinya dan ianya 100 peratus dalam Bahasa Melayu.
“Jutaan tahniah buat Ashikin M. Saya yakin perjalanan dan masa depannya dalam bidang penulisan amat cerah. Komuniti penulis negara ini begitu berbangga dengan pencapaiannya,” katanya memberi reaksi.







