Bila cinta bertukar benci... - Utusan Malaysia

Bila cinta bertukar benci…

Depp dan Heard mula mengenali satu sama lain pada 2009, sewaktu terlibat dalam penghasilan filem The Rum Diary.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemenangan pelakon kesayangan ramai, Johnny Depp terhadap saman fitnah yang dikemukakan beliau terhadap bekas isterinya, Amber Heard bagaikan satu kejayaan besar buat ratusan ribu penyokong beliau yang mengikuti perjalanan kes tersebut sejak hari pertama lagi.
Keputusan mahkamah Fairfax County yang memihak kepada Depp menjadi satu titik penting yang merubah perspektif ramai terhadap keganasan rumah tangga yang realitinya turut dideritai kaum lelaki.
Berikut rangkuman kronologi, dari awal bibit-bibit percintaan yang akhirnya bertukar menjadi babak-babak pertembungan antara bekas suami isteri paling kontroversi itu.

Pertemuan awal
Depp dan Heard mula mengenali satu sama lain pada 2009, ketika kedua-duanya terlibat dalam penghasilan filem The Rum Diary. Depp pada ketika itu berusia 46 tahun manakala Heard, 23.
Depp waktu itu masih mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi asal Perancis, Vanessa Paradis. Mereka mula bercinta sejak tahun 1998 dan mempunyai dua anak, Lily-Rose dan Jack.
Namun, Depp dan Paradis berpisah pada 2012. Pada masa yang sama, pelakon Pirates of the Caribbean itu dikhabarkan intim dengan Heard sejak 2011 lagi.
Depp dan Heard akhirnya disatukan dalam sebuah majlis tertutup di kediaman Depp di Los Angeles sekitar Februari, 2015. Mereka meraikan perkahwinan tersebut di sebuah pulau, dekat Bahamas.

Perceraian dan dakwaan keganasan rumah tangga
Bagaimanapun pada 23 Mei 2016, Heard memfailkan permohonan cerai terhadap Depp. Empat hari kemudian, perintah dikeluarkan mahkamah terhadap Depp agar pelakon itu tidak mendekati Heard. Perintah itu dibuat selepas Heard mendakwa dirinya menjadi mangsa dera kepada pelakon Edward Scissorhands itu.
Heard mendakwa dirinya dikasari Depp. Menurutnya, perkara itu sering berlaku ketika Depp berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Beberapa hari sebelum memfailkan perceraian, Heard mendakwa Depp mengasarinya, dengan membaling telefon pintar ke arahnya sehingga mengakibatkan lebam di bahagian muka.
Depp menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa cerita berkenaan direka atas motif wang dan harta.
Pada 16 Ogos 2016, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu secara baik. Heard membatalkan permohonan perintah larangan terhadap Depp dan menarik semula tuntutan kewangan berjumlah AS$50,000 (RM219,550) sebulan yang dibuat ke atas pelakon tersebut.
Menurut majalah People, Heard yang menerima AS$ 7 juta (sekitar RM30 juta) selepas diceraikan bertindak memberikan wang tersebut kepada badan amal.
Depp dan Heard secara rasmi bercerai setahun selepas permohonan (perceraian) itu dibuat.

Artikel Washington Post
“Saya menjadi figura mewakili mangsa keganasan rumah tangga dan saya merasakan tekanan budaya terhadap wanita yang bersuara,”
Itu antara petikan yang ditulis Heard di dalam sebuah artikel yang diterbitkan Washington Post sekitar Disember 2018. Heard, tanpa menyebut nama Depp di dalam artikel itu, mengkategorikan dirinya sebagai mangsa keganasan rumah tangga.
Depp menegaskan kenyataan yang ditulis itu sebagai satu pembohongan yang direka Heard. Justeru, Depp memfailkan permohonan saman fitnah berjumlah AS$50 juta terhadap Heard.
Dalam cubaan membatalkan saman tersebut, Heard tampil dengan pertuduhan demi pertuduhan yang menyatakan secara terperinci tentang keganasan yang kononnya dilakukan Depp terhadapnya.
Dalam permohonan tersebut, Heard disebut sebagai bukan mangsa keganasan rumah tangga, sebaliknya seorang pengkhianat.
Pelakon Aquaman itu juga dikatakan mengada-adakan cerita untuk mencipta publisiti untuk kepentingan sendiri.

Rayuan keputusan mahkamah ditolak dua kali
Depp juga mengheret News Group Newspaper ke mahkamah selepas akhbar terbitan syarikat itu, The Sun menerbitkan artikel yang antara lain menggelar Depp sebagai pendera isteri.
Depp mengambil tindakan saman terhadap syarikat tersebut dan juga penyunting eksekutif akhbar terbabit, Dan Wootton kerana memfitnahnya.
Perbicaraan bagi kes tersebut berlangsung di sebuah mahkamah di London, bermula awal Julai 2020 dan berakhir selama tiga minggu.
Bagaimanapun, hakim memutuskan akhbar The Sun berada di pihak benar dalam melaporkan tentang kononnya berlaku penderaan dan keganasan terhadap Heard.
Depp menafikan semua pertuduhan terhadapnya. Namun permohonannya untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah ditolak sebanyak dua kali, iaitu pada November 2020 dan Mac 2021.

Cahaya di hujung terowong
Langit tidak selamanya cerah buat Heard apabila perbicaraan kes saman fitnah terhadap artikel Washington Post akhirnya memihak kepada Depp.
Meskipun menerima kekalahan di London, namun keadilan berpihak kepada Depp apabila menang di Amerika Syarikat.
Tujuh juri sebulat suara memutuskan pelakon filem Pirates of the Caribbean itu berjaya dalam kes samannya dan menganugerahkan ganti rugi sebanyak AS$15 juta (RM65.8 juta).
Heard diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$10 juta (RM43.9 juta) berserta ganti rugi punitif AS$5 juta (RM21.9 juta) kepada Depp.
Pada masa yang sama, barisan juri turut menganugerahkan Heard ganti rugi sebanyak AS$2 juta (RM8.78 juta) bagi satu daripada tiga tuntutan saman balas terhadap Depp.
Keputusan itu dicapai selepas perbincangan selama 12 jam. Perbicaraan kes tersebut pula berlangsung selama enam minggu.

Sumber: Insider

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN