Bekas adik ipar tikam belakang, Zaidah beri kemaafan - Utusan Malaysia

Bekas adik ipar tikam belakang, Zaidah beri kemaafan

Rumahtangga yang dibina selama 18 tahun musnah sekelip mata kerana terlampau percayakan orang yang sangat rapat dengannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah kecurangan suami dengan kawan baik isteri mungkin sudah biasa kedengaran.

Hati remuk dan terluka apabila suami yang dicintai bermain kasih dengan orang yang sama-sama susah senang, bergelak ketawa dengan mereka.

Pun begitu ada yang lebih menyakitkan hati apabila suami dirampas dan curang dengan wanita yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Bayangkan, depan berlagak baik, di belakang sebaliknya.

Menerusi emel dikirimkan kepada saya baru-baru ini Zaidah (bukan nama sebenar) meluahkan rasa terkilannya apabila suami, Farid (bukan nama sebenar)curang dengan bekas birasnya sendiri.

Rumahtangga yang dibina selama 18 tahun musnah sekelip mata kerana terlampau percayakan orang yang sangat rapat dengannya.

Hanim (bukan nama sebenar) merupakan bekas adik ipar Zaidah. Segala-galanya bermula selepas kematian adiknya, Khairul (bukan nama sebenar) akibat kemalangan jalan raya.

Di sebalik kisah kemalangan yang terjadi, Allahyarham Khairul baru dua tahun berkahwin dengan Hanim.

Ternyata pemergian suami tercinta memberikan dugaan kepada Hanim kerana kejadian itu langsung tidak disangka.

Walaupun Khairul sudah tiada, hubungan Hanim dan keluarga Zaidah tetap baik seperti sebelumnya.

Apatah lagi Hanim mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup dengan Khairul. Layanan seluruh ahli keluarga Zaidah terutama ibu dan bapanya terhadap Hanim juga tidak pernah berkurang, malah makin bertambah.

Sifat lemah lembut dan penyayang Hanim menambat hati seisi keluarga.

Hanim sering meluahkan kerinduan dan perasaan sedih selepas suami meninggal dunia.

Zaidahlah tempat mengadu dan menjadi pendengar setia.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Sepanjang tempoh itu, Zaidah tidak pernah mengesyaki Hanim dan Farid menjalinkan hubungan cinta secara diam-diam.

Seperti biasa, Zaidah melayan Hanim dengan baik dan jika ada majlis keluarga, Hanim akan dipastikan ada bersama.

Disebabkan terlampau percaya, setiap kali keluar bersama suami, Zaidah akan mengajak Hanim untuk turut serta. Zaidah menyayangi Hanim dengan seikhlas hati tanpa sebarang prasangka buruk.

Apa yang menimbulkan rasa terkilan, bagaimana seorang yang dianggap seperti adik sendiri sanggup menikamnya dari belakang.

Pada awalnya, Zaidah tidak dapat menghidu hubungan sulit mereka sehinggalah suaminya mula menukar semua kata laluan bagi akaun media sosial, emel termasuk telefon bimbit.

Sikap Farid juga semakin berubah. Dia sering pulang lewat dan setiap hujung minggu tidak pernah lekat di rumah.

Sehinggalah pada suatu hari, Zaidah didatangi Hanim yang secara terus terang meluahkan tentang hubungan sulitnya dengan Farid.

Hanya Allah yang tahu perasaan Zaidah apabila mendapat tahu perkara itu. Marah, takut dan benci bersilih ganti.

Ketika ditanya mengenainya, Farid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Hanim.

Bagaimanapun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tersungkur ke tanah juga.

Begitulah juga dengan hubungan sulit Farid dan Hanim apabila kegiatan mereka berjaya dihidu Zaidah.

Dalam hal ini, Zaidah tidak menyalahkan Hanim mahupun Farid sepenuhnya yang tentunya ada kekurangan diri.

Zaidah sendiri tetap meletakkan punca kecurangan Farid disebabkan dirinya sendiri yang terlalu percayakan orang lain.

Jika pada awalnya, dia memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku, perkara itu tidak akan terjadi.

Tulis Zaidah dalam emelnya lagi, orang jahat tidak menakutkan sangat kerana segala perbuatan jahatnya dilakukan di depan mata.

Yang paling menakutkan, apabila seseorang itu nampak baik tetapi berniat tidak baik di belakang.

Alangkah hancurnya hati seorang isteri apabila suami yang disanjungi dan disayangi berlaku curang. Segala pengorbanan yang dilakukan selama ini hanya untuk membahagiakan suami sia-sia.

Hampir dua bulan Zaidah berendam air mata mengenangkan kecurangan suaminya itu. Namun semangat yang dititip kawan-kawannya menguatkan semangat Zaidah untuk bangkit dan tidak terus-terusan meratapi apa yang berlaku.

Setelah perbincangan yang disertai seluruh ahli keluarga, Farid memutuskan untuk melepaskan Zaidah dan memilih Hanim.

Walaupun agak berat, Zaidah tetap menerimanya dengan hati terbuka dan sedia memaafkan bekas suami dan Hanim.

Pada awalnya dia amat sedih namun kesedihan atas perpisahan tersebut hanya sementara. Ini kerana habis sahaja tempoh iddah, Zaidah telah berkahwin dengan Azman (bukan nama sebenar) rakan sekolah menengahnya.

Zaidah telah melangsungkan perkahwinan baharu selepas tamat tempoh iddah pada hujung tahun yang sama dan dia mengakui sangat bahagia dengan perkahwinan tersebut. Tak siapa yang mahu rumahtangga yang dibina berpaksikan cinta akhirnya hancur kerana kecurangan.

Akan tetapi kegagalan dalam perkahwinan pertama kali bukan titik noktah untuk merasai kebahagiaan pada perkahwinan kedua.

Bagi Zaidah dia mungkin pernah berduka dan bersedih di atas kegagalan perkahwinan pertama, namun dia tetap mencari pengganti yang sanggup hidup semati dan susah payah bersama.

Walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya yang memilih untuk mendirikan rumah tangga semula, Zaidah tetap berpegang kepada soal jodoh adalah ketentuan Allah. Sebagai seorang wanita, Zaidah enggan terus meratap dan menangisi kegagalannya dalam rumah tangga.

Adalah lebih baik dia bangkit serta mencari kebahagiaan baru bersama lelaki yang lebih menghargainya. Zaidah juga reda jodohnya dengan Farid, cinta pertamanya itu tidak panjang.

Sesungguhnya, Allah telah menetapkan takdir setiap manusia dan makhluknya yang dicipta di muka bumi ini.

Allah menyimpannya dalam Ummul Kitab atau Lauh Mahfudz, sebagaimana firmanNya.
Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki Dan di sisiNya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuzh) (QS Ar Ra’d 39).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya