20 tahun tanpa zuriat, pasangan setia jalani kehidupan - Utusan Malaysia

20 tahun tanpa zuriat, pasangan setia jalani kehidupan

Daripada makan ubat subur, melakukan pemeriksaan dan rawatan ke sana sini serta mendapatkan khidmat nasihat pakar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UJIAN Allah kepada setiap hambaNya berbeza-beza. Demikian juga ujian Allah berikan kepada pasangan berkahwin, namun tidak dikurniakan anak.

Ada yang tidak perlu menunggu lama memiliki cahaya mata, ada yang terpaksa bersabar sehingga bertahun-tahun lamanya.

Ada juga sehingga akhir hayat mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam situasi ini, sudah semestinya isteri yang paling terkesan kerana menjadi sasaran pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Minggu ini saya kongsikan kisah Nora (bukan nama sebenar) yang mendirikan rumah tangga lebih dua dekad, namun sehingga kini masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata.

Genap usia 50 tahun pada 25 Mei lalu, apa yang paling didambakan Nora kini adalah ketenangan jiwa.

Sepanjang tempoh melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Zainal (bukan nama sebenar), kesunyian tanpa gelak ketawa anak-anak cukup dirasai.

Namun Nora sering mengalih perhatiannya melakukan kerja-kerja sukarelawan selain menunaikan tanggungjawab hakiki sebagai isteri dan pekerjaannya sebagai guru.

Kisah Nora dan Zainal mungkin antara cebisan jutaan pengalaman insan-insan lain yang turut diuji apabila perkahwinan tanpa kehadiran zuriat.

Namun hebatnya, pasangan ini mereka masih setia bersama mengharungi ujian penuh sabar dan reda.

Pasangan bahagia ini meneruskan kehidupan dengan meletakkan setiap yang berlaku adalah perancangan Allah.

Bagi Nora, anak bukanlah penentu kebahagiaan sesebuah perkahwinan.

Ada yang bertahun-tahun menunggu, kemudiannya diberikan rezeki anak, namun akhirnya berpisah jua.

Pada 12 Jun depan, pasangan ini bakal meraikan ulang tahun ke 25 perkahwinan mereka.

Lebih 20 tahun bersama mengharungi susah senang, Nora tetap reda dengan takdir mereka berdua.

Sebelum ini Nora dan suami merupakan rakan sekolah rendah dan jiran lama ketika bapanya bertugas di selatan tanahair.

Pasangan ini bertemu semula di sekolah sama tempat mereka bertugas.

Nora bertugas sebagai guru, manakala Zainal seorang kerani.

Hampir dua tahun berkenalan, akhirnya mereka sepakat mendirikan rumah tangga.

Nora bersyukur dapat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya setelah mereka berpisah selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.

Dia berasa bahagia dan bersyukur mempunyai suami penyayang dan mengambil berat.

Bagaimanapun Allah uji pasangan ini, selepas setahun berkahwin mereka masih belum dikurniakan anak.

Bermulalah kisah pasangan ini untuk cuba mendapatkan zuriat sendiri.

Daripada makan ubat subur, melakukan pemeriksaan dan rawatan ke sana sini serta mendapatkan khidmat nasihat pakar.

Entah berapa banyak wang yang terpaksa dikeluarkan pasangan ini. Jika dihitung sudah mencecah puluhan ribu ringgit.

Melalui keputusan ujian kesuburan yang dilakukan menunjukkan mereka normal.

Pada awal perkahwinan Nora berasa tertekan dan pernah terlintas perkahwinan mereka bakal menemui kegagalan.

Namun setelah masuk tahun ke tujuh, dia rasa lebih baik dan boleh menerima kenyataan bahawa semuanya itu sebagai ujian Allah.

Nora sudah tidak kisah dengan kata-kata dan pertanyaan daripada kenalan dan ahli keluarga berkaitan anak.

Setiap kali bertemu, ada sahaja soalan sensitif daripada mereka.

Memang mengguris hati, namun Nora bersikap tidak ambil pusing dan sentiasa meletakkan keyakinan bahawa Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk mereka berdua.

Pasangan ini bukan jenis berputus asa. Mereka sentiasa berusaha mendapatkan zuriat tetapi belum ada rezeki.

Ini termasuk cadangan mengambil anak angkat, namun tidak dipersetujui Zainal.

Bagi Nora soal ajal, maut, jodoh pertemuan dan rezeki termasuk rezeki anak itu rahsia Allah.

Sebelum mengakhiri perbualan, Nora sempat menitip pesan kepada pasangan yang bertahun-tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak.

Mereka harus kuat. Dugaan yang datang dalam menanti kehadiran cahaya mata perlu diterima dengan keterbukaan hati dan fikiran.

Sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Apa yang berlaku semuanya dalam perancangan Allah.

Bagi keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan, sudah tiba masanya mereka menghentikan soalan-soalan yang boleh menguris perasaan.

Mempersoalkan zuriat seseorang sama seperti mempersoalkan Qada, dan Qadar Allah.

Siapakah kita selemah-lemah manusia untuk membanding dan mempertikaikan rezeki Allah kurniakan?

Sekiranya seseorang itu masih ada perasan sedih, iri hati kerana diuji dengan lambatnya dikurniakan zuriat, seseorang itu akan lebih tertekan.

Nora sentiasa mengingatkan dirinya, mungkin mereka tidak dikurniakan zuriat tetapi mempunyai keluarga, pekerjaan dan kawan-kawan yang baik.

Dia sentiasa memandang nikmat lain dalam perkahwinan yang dibina.

Pasangan ini hanya diuji dengan satu ujian iaitu tidak mempunyai zuriat, tetapi dalam masa sama Allah bentangkan mereka dengan 1,001 nikmat yang terindah.

Bukan sahaja nikmat wang ringgit, bahkan rezeki kesihatan untuk sama-sama terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan membantu golongan memerlukan.

Nora enggan menjadi orang yang sibuk menangisi nasib kerana tidak dikurniakan anak sehingga dia lupa mensyukuri nikmat lain yang Allah kurniakan kepadanya dan suami.

Firman Allah SWT di dalam Al quran bermaksud:

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi. Ia mencipta apa yang dikehendakiNya, ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya, Atau ia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak lelaki dan perempuan, dan ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya, mandul.Sesungguhnya, Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa (surah Ash-Shura, 49-50).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×