Dari segi syarak, sambutan Aidilfitri hanyalah sehari. Namun lazimnya di Malaysia, masyarakat Muslim menyambut perayaan Aidilfitri hingga sebulan Syawal.
Sunnah sambutan Hari Raya Aidilfitri ialah menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya dan menunaikan solat hari raya. Namun apakah hukumnya meraikan Aidilfitri melebihi 1 Syawal dan apakah hukum sambutan hari raya mengikut adat yang tiada nas di dalam al-Quran dan sunnah?
Umum mengetahui sambutan Aidilfitri adalah berbeza-beza mengikut tempat dan adat sesuatu bangsa. Secara umumnya, tidak salah meraikan adat kebiasaan sesuatu bangsa selagi adat tersebut tidak menyalahi syarak secara jelas.
Ibadat terpenting pada Hari Raya Aidilfitri selain membayar zakat fitrah ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri. Solat sunat ini sangat dituntut kepada semua Muslim menghadirinya termasuklah orang tua, wanita tua dan wanita muda. Malah wanita haid dan nifas juga digalakkan hadir untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Dalam masa yang sama, selain ibadat khusus yang disyariatkan, terdapat adat setempat yang diamalkan masyarakat membesarkan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimana adat bangsa yang tiada nas dalam sambutan perayaan? Sebagai contoh, adat memasak ketupat, lemang, rendang dan hiasan lampu adalah kebiasaan menyambut perayaan di nusantara.
Begitu juga adat kebiasaan negara lain juga berbeza dari segi menu, pakaian dan perhiasan lampu, sedekah Ramadan dan Syawal yang berbeza-beza antara bangsa dan agama. Semua adat yang makruf boleh diterima selama mana tidak menjurus ke arah maksiat dan pembaziran.
Perubahan gaya hidup masyarakat juga menyebabkan cara menyambut perayaan Aidilfitri berubah kepada bentuk yang lebih moden. Merai tetamu dan bersedekah bukan sahaja dilaksanakan pada hari pertama Aidilfitri, malah dipanjangkan hingga sebulan Syawal.
Menjadi kelaziman, tuan rumah memanggil tetamu dengan tujuan bersedekah di samping merayakan Aidilfitri.
Kebanyakan golongan pekerja yang telah berhijrah bekerja di bandar-bandar besar akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa dan sanak-saudara. Pulang bertemu ibu bapa adalah salah satu ihsan seorang anak yang dipanggil birr walidain.
Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhan Mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan “Ah” dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)”. (al-Israk: 23)
Rata-rata umat Islam akan pulang ke kampung yang jauh dari bandar mereka bekerja, malah ada yang bekerja di luar negara. Malah ada juga yang terpaksa bekerja pada Hari Raya. Justeru, hal ini menyukarkan untuk meraikan Aidilfitri pada hari raya pertama sahaja.
Maka tiada salahnya menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara melangkaui hari raya pertama. Pada 1 Syawal, sunnah yang diamalkan ialah solat sunat hari raya dan bertakbir.
Adapun perbuatan baik yang lain tidaklah terhad untuk diamalkan selain hari raya pertama. Aidilfitri juga adalah peluang terbaik bagi individu mengenali saudara-mara dan merapatkan silaturahim sesama insan setelah bekerja berhempas pulas selama setahun.
Begitu juga budaya bersedekah seperti duit Raya pada hari raya pertama. Sedekah adalah amalan yang dituntut, sama ada pada Ramadan, Syawal atau bulan lain.
Yang salah ialah menjadikan budaya duit raya satu kewajipan. Ibu bapa mesti mendidik anak tidak meminta-minta duit raya atau membanding beza antara duit raya orang kaya dan orang yang kurang berkemampuan.
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”.
Pemberian duit raya sama ada kepada kanak-kanak, orang tua dan orang miskin adalah di antara penzahiran kegembiraan pada hari perayaan Islam.
Selain itu, budaya rumah terbuka juga adalah amalah yang diterima oleh masyarakat kita. Bagaimanapun, tuan rumah dan tetamu haruslah memahami adab masing-masing.
Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Apabila seseorang kamu dijemput kepada jamuan makan hendaklah dia menghadirinya. Jika ia tidak berpuasa hendaklah dia makan dan jika dia berpuasa hendaklah ia berdoa untuk keberkatan yang menjemput. (Riwayat at-Tabrani)
Umumnya, adalah wajib bagi seseorang Muslim memenuhi jemputan jika tiada keuzuran. Ini adalah salah satu hak orang Islam ke atas saudaranya yang lain.
Rasulullah juga mengajar umatnya agar memuliakan tetamu. Tetamu membawa berkat dan keluarnya tetamu membawa dosa. Tetamu haruslah memenuhi masa jemputan tuan rumah, tidak meminta-minta sajian yang tidak disediakan dan tidak mencela makanan.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain itu, kita juga harus berhati-hati dalam mewajibkan sesuatu ibadah yang bersifat sunat.
Sebagai contoh, kita digalakkan puasa enam, tetapi tidaklah menjadikan puasa enam itu sebagai satu bentuk perayaan ‘inovasi’ dengan menyambut Hari Raya enam pula selepas tamat berpuasa enam hari Syawal.
Tiada istilah ‘Hari Raya Enam’. Hari Raya Aidilfitri adalah pada hari pertama Syawal. Amalan sunat tetap menjadi amalan sunat dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang diwajibkan.
Tuntasnya perayaan Aidilfitri adalah satu bentuk asimilasi antara syarak dan budaya setempat.
Namun apa yang wajib kekal menjadi wajib, apa yang sunat kekal menjadi sunat dan perkara adat yang harus adalah diterima selama mana tidak bersalahan dengan syarak.
———–
PM Dr. Yasmin Hanani Mohd Safian, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan Ahli JK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.










