Aidilfitri menyemarakkan perasaan gembira umat Islam terutamanya kanak-kanak.
Di hari rayalah mereka akan berpeluang memakai baju serba baharu, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, mengutip duit raya berisi wang pelbagai warna dan mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai dalam keadaan.
Namun, suasana pasti berbeza apabila anak-anak seolah-olah ketagih dengan penggunaan telefon pintar. Mana tidaknya, mereka tidak hiraukan suasana sekeliling sebaliknya terlalu fokus dengan telefon pintar masing-masing.
Pensyarah Psikologi Universiti Segi, Dr. Mariani Md. Nor berkata, penggunaan peranti pintar yang tidak dikawal boleh menjadikan seseorang ketagihan sehingga boleh menghilangkan semangat perayaan Aidilfitri kerana lebih suka menghadap telefon untuk mengemaskini status di media sosial daripada menyambut perayaan dengan tradisi kekeluargaan.
“Orang ramai biasanya teruja pada awal raya sahaja, kemudian mereka sibuk dengan telefon, cuba menghubungi kawan-kawan dalam talian dengan memencilkan diri dari keluarga sendiri.
“Ketagihan telefon pintar ini bukan sahaja masalah orang muda, bahkan ia juga turut merebak kepada orang yang lebih tua dalam masyarakat.
“Penggunaan telefon adalah aktiviti rutin yang kemudian menjadi tabiat. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan,” katanya kepada Seri.
Penggunaan telefon boleh menghalang kita daripada berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka.
“Jangan guna telefon sehingga ia menjejaskan anda secara fizikal, psikologi dan sosial. Utamakan kesihatan dan keluarga dahulu,” katanya.
Mariani berkata ketagihan penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak yang membesar dengan peranti di samping kurangnya interaksi dengan orang lain.
Tambah beliau, ramai ibu bapa yang “merasuah” anak mereka dengan memberikan telefon pintar supaya anak-anak tidak ‘mengganggu’.
Namun katanya, dengan melakukan perkara demikian, anak-anak akhirnya akan merasakan alat peranti adalah lebih menyeronokkan daripada berinteraksi dengan orang lain sehingga menyebabkan kurang kemahiran bersosial.
“Anak-anak ini nantinya tidak mampu membawa diri ketika berziarah ke rumah orang dan mereka jadi sukar berinteraksi dengan orang yang mereka temui,” katanya.
Selain itu katanya, ada juga risiko anak-anak terdedah dengan kandungan tidak senonoh dalam Internet seperti video porno dan ganas.
Justeru, Dr. Mariani mengingatkan ibu bapa sentiasa memantau telefon anak-anak.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa mengawal penggunaan peranti elektronik dalam kalangan anak-anak dan diri mereka sendiri demi menunjukkan teladan untuk diikuti.
Katanya, ibu bapa muda perlu pantau perkembangan fizikal, emosi dan sosial anak-anak.
“Kawal penggunaan peranti elektronik anak-anak dan diri kita sendiri sebagai ibu bapa.
“Kita tak mahu anak-anak kita mengikut teladan yang tabiatnya sama macam robot dan kemudian menjejaskan mereka pada masa akan datang.
“Hadkan masa anak-anak dengan telefon pintar dengan cara kita berkomunikasi dengan mereka. Rancang masa mereka di rumah, dan pastikan mereka membesar dalam suasana positif,” ujarnya.
Tips elak anak ketagih telefon:
Sediakan rutin dan jadual kepada anak-anak
Rancang masa anak dengan aktiviti yang menarik dan bermanfaat agar masa anak-anak digunakan untuk melakukan sesuatu yang berfaedah.
Cipta beberapa permainan mudah kepada anak-anak di rumah yang membantu mereka kembangkan potensi diri dan kognitif mereka.
Had masa bersama telefon di rumah
Tetapkan had masa menggunakan telefon pintar ketika bersama anak-anak di rumah khususnya depan si kecil. Contohnya, semasa anak bermain, buat kerja rumah dan lain-lain, ibu bapa perlu elak menggunakan telefon untuk melayari Facebook atau menonton video dalam Youtube yang boleh menarik perhatian anak-anak.
Bawa anak-anak ziarah rumah saudara mara di Aidilfitri
Penuhkan jadual anak-anak dengan membawa mereka berhari raya di rumah saudara mara. Dengan ini mereka tidak berasa bosan dan bergantung kepada telefon pintar untuk mengisi masa.










