Setiap hari pasti ada gambar dan video yang dikongsikan oleh Nur Amirah Maulat Abdullah di akaun media sosialnya. Pada mulanya beliau hanya suka-suka berkongsi kisah gaya hidup dan bisnes yang dilakukannya. Namun siapa sangka perkongsian gambar dan videonya itu mendapat perhatian followers.
Memiliki followers ramai, mengubah hidup Nur Amirah. Daripada hanya berkongsi kisah seharian di media sosial, kini beliau mampu menjadi usahawan dan menjana pendapatan di alam maya.
1. Apa yang menarik mengenai diri anda?
Saya dikenali kerana menggunakan loghat Kedah di media sosial. Selain itu, saya rajin buat makeup live dan boleh dikatakan hampir setiap hari sambil membincangkan isu yang berkaitan dengan kehidupan mahupun business.
Saya juga seorang yang rajin bersiap dan dress up mengikut citarasa sehingga boleh dikatakan ramai pengikut yang turut serta mahu menggayakan apa yang dipakai oleh saya.
2. Sejak bila berkongsi mengenai diri dan aktiviti di media sosial? Kenapa melakukannya?
Saya mula berkongsi mengenai diri pada tahun 2012. Pada ketika itu, saya menjadi reseller produk dan bila saya mula muat naik gambar di media sosial ia mendapat sambutan. Jadi, saya berasa seronok dan akhirnya menjadi satu kebiasaan dan rutin untuk saya sehingga ke hari ini.
Saya memang minat berniaga dan media sosial adalah salah satu platform terbaik untuk saya menguar-uarkan tentang business yang saya kendalikan. Media sosial adalah tempat saya berkongsi tentang kehidupan saya.
Namun begitu, tak semua perkara saya kongsikan kerana seperti yang kita sedia maklum, tak semua perkara boleh dijadikan tatapan umum bagi menjaga privasi dan keselamatan.
3. Identiti diri dan anda mahu dikenali sebagai apa?
Saya seorang yang mementingkan fesyen, tetapi pada masa sama, patuh mengikut syariah. Semua orang mahukan tampil cantik dan kemas, begitu juga saya. Tetapi, ia memerlukan kerajinan dan saya memang seorang yang rajin jika berkaitan dengan penampilan. Antara jenis konten yang saya paparkan adalah berkaitan dengan lifestyle.
4. Bagaimana peranan anda dapat membantu keluarga Malaysia menjadi lebih baik?
Sentiasa memberikan nasihat dan kata-kata sebagai panduan hidup kepada orang yang lebih muda supaya tidak tersilap langkah dalam memilih jalan hidup. Selain itu, sentiasa memberikan motivasi kehidupan supaya semua orang terus bangkit walaupun dalam keadaan lemah kerana percaya hidup di dunia hanya sementara.
Jadi, pilihan terbaik adalah memilih untuk terus bahagia dan kekal bersemangat untuk menghadapi kehidupan mendatang. Dari segi kekeluargaan, sentiasa membahagiakan orang yang paling dekat dengan kita terutama kedua ibu bapa kerana mereka adalah tonggak utama dalam setiap kejayaan kita.
5. Pengalaman tidak dapat dilupakan sejak menjadi Intafamous atau TikToker?
Dikenali ramai orang. Ke mana mana pergi, orang akan menegur walaupun memakai face mask.
6. Bagaimana menambah jumlah pengikut?
Mencipta konten yang menarik sehingga menarik minat orang ramai.
7. Harapan masa depan anda?
Meramaikan usahawan di bawah Kayra Health and Beauty selain menjadi seorang yang lebih dermawan dan berkongsi rezeki dengan ramai orang.
8. Sipakah idola anda?
Diri sendiri, kerana diri sendiri adalah motivator terbaik untuk menjadi lebih baik.
9. Setujukah kalau saya katakan Instafamous atau Tiktok membantu pembangunan masyarakat? Kalau bersetuju, bagaimana caranya?
Setuju, kerana mereka lebih mengikuti secara rapat ikon atau idola mereka. Jadi, dengan itu, tonjolan karakter yang baik secara impaknya menjadikan masyarakat lebih cenderung untuk mencontohi apa yang dipamerkan. Jika kita lihat hari ini, kebanyakan masyarakat lebih memilih untuk mendapatkan info atau maklumat serta ilmu yang dikongsikan di media sosial berbanding secara realiti.
10. Sejauh mana menjadi influencer mengubah diri dan kehidupan anda?
Ia menjadikan saya lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kerana saya sedar setiap perbuatan kita dinilai oleh masyarakat selain tuhan. Kerana apa yang kita lakukan, turut menjadi tanggungjawab dan dipersoalkan kelak di sana.










