Lukisan, mural 3D Zakariya laris sampai ke luar negara

Lukisan, mural 3D Zakariya laris sampai ke luar negara

ZAKARIYA Mamat menunjukkan mural dinding 3D yang dihasilkannnya. – Utusan/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA bukan penghalang seorang warga emas di Taman Kesedar Jaya, Gua Musang, Kelantan untuk menjadi pelukis lukisan mural.

Malah kerana minat mendalam dalam bidang seni lukis itu, Zakariya Mamat, 63, nekad meninggalkan kerjayanya sebagai kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), tujuh tahun lalu.

Ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, Zakariya tidak menyangka melukis yang pada mulanya sekadar hobi masa lapang boleh bertukar menjadi sumber pendapatan tambahan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut Zakariya, selepas dia bersara pada usia 56 tahun, dia menghasilkan lebih 200 lukisan dinding atau mural termasuk bertemakan tiga dimensi (3D) dan 700 lukisan potret.

Dia juga tidak pernah belajar kemahiran itu secara formal, sebaliknya hanya menonton tutorial di laman sosial YouTube.

ZAKARIYA Mamat menunjukkan lukisan kanvas yang dihasilkannya. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

Bengkel

“Semasa saya masih bekerja di Kesedar, saya melukis potret dan mural secara sambilan. Lama-kelamaan minat melukis semakin mendalam menyebabkan saya mahu jadi pelukis sepenuh masa dan mewujudkan bengkel di rumah.

“Saya sentiasa belajar dan membuat kajian corak lukisan negara lain serta membandingkan dengan corak di Malaysia.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, antara pencapaian membanggakan apabila hasil karya saya ‘terbang’ jauh apabila turut mendapat permintaan daripada pembeli dari luar negara,” katanya.

Zakariya berkata, bagi mengekalkan hasil lukisan yang berkualiti dan cantik, dia memilih berkarya di rumah selepas mendapat idea dari tempat yang dikunjungi.

Pada 2016, dia menerima pentauliahan daripada Persatuan Pakar Pengajar dan Pakar Industri Negara dan kini mempunyai anak didik sendiri yang bakal menjadi pelapis kepadanya.

“Saya berhasrat untuk mencari lebih ramai pelapis muda tanpa mengira usia dan bangsa.

“Ketika ini lukisan mural 3D mendapat permintaan tinggi. Saya berusaha menghasilkan karya mengikut kehendak pelanggan namun dengan harga berpatutan.

“Pada masa lapang saya akan melukis pelbagai corak bagi menceriakan bangunan terbiar di kawasan taman perumahan dan kawasan bandar ini,” katanya.

lukisan
ZAKARIYA Mamat bersara awal sebagai kakitangan kerajaan kerana terlalu meminati seni lukisan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

Kepuasan

Mural dihasilkan Zakariya, adalah secara langsung di permukaan dinding atau permukaan lain. Cara itu memberi lebih kepuasan kepada dirinya, berbanding melukis di atas kertas atau kanvas.

“Lukisan mural boleh dilihat secara meluas, manakala lukisan di kertas pula agak terhad kerana hanya dapat dilihat oleh pembeli atau pemiliknya sahaja.

“Antara konsep dan tema yang pernah saya hasilkan ialah pemandangan alam sekitar, air terjun, corak abstrak dan beberapa yang lain.

“Kerjaya sebagai pelukis mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya pelukis itu bijak mengambil peluang dan tahu strategi pemasaran,” katanya.

ZAKARIYA Mamat menunjukkan lukisan mural dinding 3D yang dihasilkannnya. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

Zakariya berkata, kemahiran seni ini harus dipelihara dan terus dipromosikan agar generasi akan datang mewarisi seni itu.

Katanya, seni lukis merupakan satu kemahiran yang harus diajar kepada anak-anak muda kerana ia boleh menjana pendapatan malah seni juga mampu terus berkembang.

“Saya mempromosikan karya saya melalui media sosial seperti Facebook ketika musim pandemik Covid-19 ini.

“Bagi lukisan mural dinding saya hanya mengambil upah RM15 setiap kaki persegi manakala lukisan lantai 3D, RM30 setiap kaki persegi.

“Lukisan kanvas seluas sekaki hingga dua kaki persegi pula berharga antara RM150 hingga RM160,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN