Bertemakan konsep Nusantara, keindahan gaya wanita di kepulauan Nusantara yang tercatat dalam sejarah, menjadi inspirasi Datuk Jovian Mandagie beliau dalam menghasilkan koleksi premium Aidilfitri.
Ia menggabungkan seni batik dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia menerusi paparan perincian motif bunga raya dan bunga anggerik dalam 12 rekaannya.
Jovian berkata, fabrik polister campuran memberikan rasa sejuk dan ringan, selesa digayakan dalam cuaca di negara ini.
“Sesetengah baju didatangkan dengan lining atau lapisan dalam baju bagi memberikan keselesaan dan boleh digayakan sepanjang hari,” katanya.
Antara ada ialah baju kurung Kedah diberikan sentuhan kebaya yang terbelah di bahagian depan dengan jahitan sulaman serta kolar ala Mandarin, digayakan dengan kain dengan rona dan motif serupa. Selendang kain renda yang disangkut pada baju menambah keanggunan.
Baju peplum hijau kebiruan dilatari motif batik bunga kebangsaan dengan rona merah jambu lembut lebih menonjol digandingkan dengan kain polos menyerlahkan kelangsingan. Hujung baju dan lengan dihiasi jahitan sulaman.
Si bapa pula kacak bergaya dengan baju Melayu cekak musang hijau polos bersama sampin bermotif tampuk manggis berona pastel atau baju Melayu hitam dipadankan dengan sampin songket. Terdapat juga kemeja berlengan pendek untuk gaya lebih santai.
Anak kecil juga tidak ketinggalan mahu tampil beraya dengan penuh bergaya. Baju kemeja dengan motif batik sepadan dengan baju ayah mengeratkan hubungan bapa dan anak lelaki. Digayakan dengan denim, anak lelaki tampak santai ketika mengunjungi saudara mara.
Si gadis kecil juga tidak kurang menawan apabila menggayakan baju kurung berleher tradisional atau kebaya moden dengan motif dan warna serupa dengan ibu yang menyerlahkan gaya wanita Nusantara.
Selain rekaan eksklusif, perincian mewah seperti sulaman, butang bertahtahkan kristal dan mutiara menambahkan keindahan pada setiap koleksi ini.
Himpunan ini dihasilkan menerusi kerjasama yang pertama kali diadakan antara Jovian dengan AEON. Koleksi ini didatangkan dengan pelitup muka khas yang turut memaparkan motif serta rona yang sama.
Tips pakai samping:
Tidak lengkap berbaju Melayu jika tidak memakai samping. Jika mahu kelihatan bak pahlawan Melayu, ikuti tips memilih samping seperti di bawah:
» Kain samping berwarna cerah mudah dipadankan dengan apa saja warna baju Melayu. Pastikan kalau berwarna tidak lebih daripada dua warna.
» Gayakan kain samping bermotif ringkas untuk baju bercorak.
» Pastikan kain samping diikat dengan kemas walaupun anda mengikat bentuk bunga supaya tidak mudah tertanggal dan kelihatan serabut.










