Jangan percaya lelaki panas baran - Utusan Malaysia

Jangan percaya lelaki panas baran

Laporkan kejadian di balai polis berhampiran atau mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan atau Perintah Perlindungan Sementara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harapkan pegar, pegar makan padi. Itu ungkapan paling sesuai ditujukan untuk para lelaki yang tanpa rasa bersalah sanggup memukul bahkan meragut nyawa pasangan sendiri.

Buktinya, banyak kejadian-kejadian kes suami bunuh isteri yang tidak henti-henti dilaporkan di media ketika ini.

Mekanik pukul isteri hingga mati pada malam Aidilfitri, Pegawai Eksekutif sebuah syarikat cari gali terkenal tikam isteri hingga maut dan kejadian suami menembak isteri yang berlaku di Johor dan kemudian membuang mayat isterinya itu di dalam tong air biru.

Amat menyedihkan kerana lelaki bergelar suami yang dianggap sebagai pemimpin dalam keluarga menjadi makhluk paling ramai melakukan kekejaman dan penderaan terhadap isteri.

Perkara itu diakui Pengamal Undang-undang, Rabiatul Adawiyah Ramli yang menjelaskan mangsa bagi setiap kes keganasan rumahtangga adalah isteri kerana sifat semula jadi wanita yang lemah kekuatan fizikal berbanding lelaki.

Oleh itu, katanya isteri perlu lebih cakna dalam menangani permasalahan berkenaan serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian-kejadian lebih buruk daripada berlaku.

“Apabila berlaku sahaja sebarang bentuk ancaman yang boleh menjurus kepada keganasan rumahtangga, isteri perlu mengambil tindakan dengan kadar segera.

“Keganasan rumahtangga sukar dikawal jika suami menunjukkan perubahan sikap atau tingkahlaku ke arah memudaratkan pasangan kerana ia melibatkan tahap kesihatan mental yang terganggu dan boleh menjadi lebih agresif sekiranya tidak ditangani,” katanya kepada Seri.

Antara tindakan awal yang boleh dilakukan ialah, melaporkan kejadian di balai polis berhampiran atau mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan atau Perintah Perlindungan Sementara.

“Dalam situasi sekiranya si isteri dikawal atau dihalang mengakses telefon atau dihalang untuk keluar dari rumah, saya cadangkan cari peluang ketika suami keluar dari rumah dengan cara menjerit untuk mendapatkan pertolongan daripada jiran terdekat,” katanya.

Insiden keganasan suami ke atas isteri, jelas menunjukkan ramai lelaki bertuhankan emosi sehingga sanggup melakukan sesuatu tindakan di luar batasan norma.

Pengarah yang juga Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad berkata, lelaki berpersonaliti panas baran selalunya dikaitkan dengan kegagalan mengawal dan mengurus emosi dengan baik sehingga melakukan sesuatu yang di luar kawalan.

“Kadangkala, jika panas baran sehingga berlakunya pembunuhan boleh dikaitkan dengan penyakit mental seperti bipolar atau kecelaruan emosi sehingga menyebabkan keganasan.

“Bagaimana pun, tahap kewarasan itu memerlukan pemeriksaan lanjut daripada pakar yang bertauliah untuk pengesahan,” katanya.

Keturunan baran
Zulfikar berkata, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada tindakan agresif berkenaan dan yang paling utama adalah faktor keluarga dan keturunan.

“Siapa kita sekarang adalah bagaimana kita dibesarkan. Kebiasaanya, bapa yang panas baran dan kaki pukul akan menjadikan anaknya itu kemungkinan turut akan mempunyai perangai yang sama apabila berkahwin kelak,” ujarnya.

Faktor lain adalah sikap dominan suami dalam sesebuah perkahwinan yang mengakibatkan mereka tanpa rasa bersalah bertindak sesuka hati kepada isteri yang dianggap sebagai tanggungan.

Ujian personaliti
Tegasnya penting untuk pasangan terutamanya wanita untuk membuat ujian personaliti bersama bakal suami sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Biarpun ia dilihat remeh dan ramai yang mengabaikan prosedur berkenaan, namun ia mempunyai implikasi besar dalam keharmonian perhubungan yang akan dibina kelak.

“Sekarang ini terutamanya apabila semuanya di hujung jari, mudah sahaja untuk buat ujian personaliti. Melalui ujian ini kita akan dapat mengenalpasti sikap pasangan terutamanya jika si dia memiliki sikap panas baran yang sangat bahaya dalam institusi perkahwinan,” ulasnya.

Bagi wanita yang sudahpun berhadapan dengan suami yang memiliki sikap agresif itu, mereka perlu lebih berwaspada dan awasi tanda-tanda sekiranya suami sedang marah.

“Bagi wanita yang bersuamikan lelaki panas baran, ambil maklum keadaan suami sama ada baik atau tidak. Ambil sikap berjaga-jaga apabila suami kelihatan seperti sesak nafas, menggigil, bercakap dengan nada suara yang menggeletar atau ungkapan sudah tidak sekata kerana mungkin ketika itu amarahnya sedang meluap,” terangnya.

Angkat kaki
Namun, wanita yang memiliki suami panas baran melampau sehingga sudah berani angkat tangan kepada isteri dan anak-anak seharusnya tidak lagi bertahan dalam perhubungan berkenaan.

Menurut Dr. Zulfikar, kebiasaanya lelaki yang memukul isteri dan anak akan cenderung untuk mengulangi perbuatan berkenaan pada masa akan datang walaupun sudah meminta maaf sebelumnya.

“Laporkan sahaja kepada pihak berkuasa apabila kejadian berkenaan berlaku.

“Tidak perlu takut dan bertahan kerana ia hanya akan memberikan risiko yang lebih besar. Jangan percaya dengan janji lelaki yang mereka tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan kerana sudah pasti kejadian sama akan terus berlaku jika tiada tindakan diambil,” tegasnya.

Dipukul di khalayak ramai
Serik dan kecewa bersuamikan lelaki panas baran dan cemburu buta membuatkan kisah tragis itu terus segar dalam ingatan Shiella Tukimin.

Shiella, seorang ibu tunggal dua anak menderita bersuamikan seorang lelaki dayus yang sewenang-wenangnya memukul wanita tanpa rasa belas kasihan hanya kerana disebabkan rasa amarah dan cemburu di luar kawalan.

Biarpun sudah lama berlalu dan penceraian berlaku sekitar tahun 90-an, namun Sheilla tidak pernah lupa bagaimana bekas suaminya itu menamparnya sehingga jatuh tersungkur di hadapan khalayak ramai.

“Ketika itu kami sedang dalam proses penceraian kerana saya sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta dia yang berlebihan dan tekad untuk membawa haluan sendiri ke Kuala Lumpur.

“Tidak sangka pula ketika itu dia mengekori saya sehingga ke kotaraya tersebut. Kebetulan pula ketika itu saya sedang menunggu keretapi di sebuah stesen dan ada seorang lelaki yang menyapa bertanyakan arah.

“Dia merasa cemburu apabila saya melayan pertanyaan lelaki berkenaan sehingga bertindak menampar saya sehigga jatuh tertiarap dan meluncur ke hadapan ketika itu di hadapan semua orang,” ujarnya.

Dia menyesali kesilapannya pada waktu itu kerana menghalang pengawal keselamatan untuk menahan suaminya itu atas dasar belas kasihan dan masih mahu berlembut.

Sedangkan sepatutnya sudah lama dia harus membiarkan lelaki berkenaan menerima hukuman setimpal dengan tindakan yang dilakukan agar tidak berlaku lagi di masa hadapan.

Shiella yang juga Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus) hidup lebih tenang dan berdikari kini.

Malah, dia bersedia membantu semua wanita senasib dengannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibangunkan itu.

Isteri terseksa, masih bagi muka?
KEBIASAANNYA, kalau sekali sudah ringan saja tangan naik tangan ke muka, ia pasti berlaku lagi untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Jika betul trend ini berlaku, sepatutnya perbuatan ini tidak boleh didiamkan. Mangsa perlu segera cari jalan keluar. Bukan duduk diam meratapi nasib diri dan terus berdoa agar keajaiban berlaku.

Inilah yang berlaku dalam kebanyakan kes keganasan rumah tangga. Mangsa lebih suka mendiamkan diri dan apabila kes sudah menjadi serius dengan kecederaan parah atau lebih teruk membabitkan kematian, barulah perbuatan ganas si suami itu dilaporkan kepada polis.

Sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan kertas siasatan dibuka tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan 42 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,260 kes.
Bagaimana pula dengan yang tidak dilaporkan kerana takut atau memberi peluang yang ke sejuta kali pada suami?

Mengapa keganasan rumah tangga berlaku? Tentunya punca utamanya adalah panas baran dan tidak boleh mengawal emosi. Punca memukul adalah hal-hal sampingan yang kecil dan boleh diselesaikan dengan komunikasi yang baik.

Kalau jenisnya memang panas baran, kucing jalan lambat di depan pun boleh mencetuskan kemarahan besar dan disepaknya kucing itu.

Bolehkah kita memberi peluang kepada si panas baran? Tentu boleh. Tapi kalau ada nampak usahanya untuk berubah dan memperbaiki hubungan.

Tetapi kalau selepas memukul, menyesal dan meminta maaf serta berjanji akan berubah, memukul lagi selepas itu, minta maaf lagi dan mengulanginya semula, tidak payahlah memberi peluang.

Saya masih ingat lagi kata seorang pegawai polis kepada saya, ada isteri yang lebih rela kehilangan anggota badannya kerana dipukul suami daripada dia kehilangan seorang suami yang sebegitu.

Paling teruk ada isteri yang rela melihat anaknya dipukul dan dirogol oleh bapa kandung atau bapa tiri daripada suaminya itu meringkuk dalam penjara atau bercerai dengannya.

Suami adalah segala-galanya! Walaupun dia ‘haprak’ sekali pun.

Sebenarnya mangsa boleh saja menunjukkan ‘jalan keluar’ kepada suami sebegini. Jangan biar diri dan anak-anak disakiti. Jika tidak mampu menghadapi keadaan ini seorang diri ahli keluarga boleh membantu dan orang sekeliling pun tidak akan membiarkan keganasan ini berlaku.

Silapnya bila ada wanita yang menganggap suami berperangai ganas ini adalah manusia paling perlu ditaati sedangkan suaminya itu tidak sedikit pun ada jiwa sebagai seorang lelaki yang melindungi dan bertanggungjawab terhadap keluarganya seperti yang diperintah agama.

Jadi betulkah ada jalan keluar? Hidup ini ada pilihan. Mahu bahagia kita cari bahagia itu.

Mahu derita, duduklah diam-diam dalam kesakitan itu.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN