Hikmah di sebalik Syawal - Utusan Malaysia

Hikmah di sebalik Syawal

Muhammad Fahmi Md. Ramzan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syawal bulan ke 10 menyusul setelah berlalunya Ramadan berdasarkan kalendar hijrah. Etimologi, kata ‘Syawal’ berasal dari Bahasa Arab, iaitu ‘syala’ yang sinonim dengan kalimah ‘irtafa’a’ bermaksud menaik, meningkat atau meninggi.

Sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Manzur dalam kitab Lisan al-Arab, “Dinamakan bulan Syawal dari kata ‘syalat an-naqah bi dzanabiha’, bermaksud unta betina menaikkan ekornya.”

Berdasarkan takrifan ini, Syawal adalah waktu di mana unta betina tidak mahu dikahwini oleh unta jantan. Ketika didekati unta jantan, unta betina akan menaikkan ekornya sebagai isyarat penolakan.

Muhammad Ibnu Allan di dalam kitabnya, Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh as-Salihin pula menyatakan: “Syawal dinamakan demikian kerana dahulu orang-orang Arab menggantungkan alat-alat perang (di tempat yang tinggi) disebabkan sudah dekat dengan bulan-bulan haram yang merupakan bulan larangan berperang.”

Sebahagian pemikir pula berpendapat bahawa dinamakan Syawal kerana terdapat ‘pening­katan’ populasi penduduk Mekah kerana orang dari luar kota mulai berkumpul untuk melaksanakan ibadah haji.
Melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan, setidak-tidaknya dapat ditarik dua hikmah di sebalik penamaan bulan Syawal untuk dihubungkan dengan kondisi setelah berlalunya bulan Ramadan:

Pertama: Pada Syawal, darjat kaum Muslimin meningkat di sisi Allah disebabkan mereka mendapat pengampunan setelah menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Sebagaimana sabda Rasulullah: Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan kerana iman dan pengharapan, maka dosa-dosanya akan diampuni oleh Allah. (HR. al-Bukhari, no. 38)

Kedua: Secara moral dan spiritual, kaum Muslimin perlu istiqamah meneruskan nilai-nilai amaliah Ramadan pada bulan ini dan bulan-bulan berikutnya sehingga muncul kembali Ramadan tahun berikutnya. Dalam hal ini, Syawal dapat dimaksudkan bulan peningkatan iman dan amal soleh sebagai kesinambungan dari pendidikan moral dan spiritual yang dilaksanakan selama sebulan penuh di bulan Ramadan.

Dengan demikian, pasca Ramadan diharapkan orang-orang yang beriman dapat meraih darjat ketaqwaan sehingga di bulan Syawal ini kualiti keimanan mereka semakin meningkat. Tidak hanya kualiti amal ibadah, tetapi juga kualiti dari sudut akhlak yang selama di bulan Ramadan telah dilatih secara zahir dan batin.

Anjuran puasa enam hari
Sebagai kesinambungan dari puasa Ramadan, makna dan semangat peningkatan amal soleh di bulan Syawal ini dapat diterjemahkan salah satunya melalui pelaksanaan puasa sunnah enam hari di bulan Syawal. Walaupun hukumnya sunnah, tetapi ianya sangat dianjurkan (sunnah muakkad) kerana besar ganjaran pahala yang menanti, sepertimana sabda Rasulullah:

Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunnah) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti puasa selama setahun penuh. (HR. Muslim, no. 1164)
Perihal mengapa ganjarannya seperti berpuasa setahun penuh, terdapat riwayat hadith yang menjelaskan, Puasa Ramadan pahalanya menyamai puasa selama sepuluh bulan dan puasa enam hari di bulan Syawal pula menyamai puasa selama dua bulan. Maka ianya mencukupi setahun.

Perihal pelaksanaannya pula, Imam an-Nawawi sewaktu mensyarahkan hadith ini di dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menjelaskan, “Yang paling utama (afdal) dalam melaksanakan puasa sunnah enam hari di bulan Syawal adalah secara berturut-turut bermula selepas 1 Syawal.

Namun sekiranya tidak dilaksanakan berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak kemudian sambung semula puasa sehingga genap enam hari dalam bulan Syawal, maka seseorang itu juga turut mendapat fadhilat “al-Mutaba’ah” (puasa yang mengiringi).”

Malah, sebahagian ulama mengharuskan puasa sunnah enam hari di bulan Syawal diniatkan bersama puasa qadha Ramadan sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Madzhab al-Imam asy-Syafi’i.

Ganjaran pahala
Dalam konteks ini, beliau menjelaskan, “Contohnya, sesiapa yang berniat puasa qadha pada hari Isnin dan dalam masa yang sama berniat puasa sunnah hari Isnin, maka hal tersebut dibolehkan serta mendapat ganjaran kedua-duanya.

Sebaliknya jika diniatkan puasa sunnah sahaja, maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” 

Oleh itu, hukum menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunnah enam hari di bulan Syawal adalah harus dan dengan izin Allah akan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya walaupun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa Ramadan sepenuhnya.

Bahkan menyegerakan qadha puasa itu adalah amalan yang terpuji dan dituntut oleh syarak.

Adapun hikmah berpuasa enam hari di bulan Syawal, Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitab Lataiful Ma’arif berkata, “Sesungguhnya kembali ber­puasa setelah puasa Ramadan merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan. Kerana Allah jika menerima amalan seseorang hamba, Dia akan mengurniakan taufiq untuk melaksanakan amalan soleh setelahnya.”

Syawal mengandungi semangat peningkatan iman dan amal soleh sesuai dengan akar kata kalimah tersebut.

Sayang sekali bila segelintir Muslimin kembali melakukan dosa dan berpaling daripada petunjuk Allah selepas Ramadan.

Berusahalah untuk terus istiqamah dengan ‘latihan’ yang telah ditempuhi sepanjang Ramadan lalu agar tidak larut dan hanyut dalam dosa.

Antara ‘latihan’ diteruskan ialah dengan melaksanakan puasa enam hari di bulan Syawal yang sudah pasti sangat besar ganjarannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN