Doktor pelatih pernah mengaku terbeban dengan tugas - Utusan Malaysia

Doktor pelatih pernah mengaku terbeban dengan tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Siasatan awal polis berhubung doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang maut terjatuh dari ba­ngunan pangsapuri di Jalan Dato Keramat di sini pada 17 April lalu mendapati si mati pernah meng­adu dia terbeban dengan tugas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil kete­rangan daripada rakan serumah si mati baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk melibatkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi.

“Dia (si mati) ada sebut de­ngan kawan yang dia bukan stress tapi tak boleh catch up de­ngan kerjanya. Rakan serumah si mati juga mengatakan dia terkejut dengan kejadian yang berlaku.

“Rakan si mati merupakan doktor pelatih dari universiti yang sama dengan mangsa di Kuala Lumpur dan datang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang pada tarikh sama dengan si mati,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia semalam.

Mayat doktor pelatih

Saravanan berkata, mayat dok­tor pelatih berusia 25 tahun itu telah dituntut ahli keluarga­nya dari ibu negara sebaik sahaja bedah siasat selesai.

“Polis ketika ini masih me­nunggu laporan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia berhubung kematian pegawai perubatan siswazah tersebut.“Ahli keluarga si mati juga akan hadir memberi keterangan minggu depan,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan, doktor pelatih dari sebuah universiti swasta di ibu negara itu ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April iaitu tiga minggu sebelum dia ditemui meninggal dunia.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, aspek penilaian ke atas doktor muda oleh pakar perubatan perlu direformasi bagi menamatkan perbuatan membuli sehingga doktor muda tertekan.

Menurut beliau, semasa menjalani latihan klinikal, sudah tentu doktor muda akan mendengar semua arahan dan kata-kata makian bagi memastikan mereka mendapat markah untuk melayakkan mereka memperoleh sijil pendaftaran penuh sebagai pengamal perubatan.

“Dianggarkan satu pertiga doktor muda di negara ini tidak dapat menamatkan housemanship atau latihan klinikal dalam tempoh ditetapkan kerana gagal memperoleh markah cemerlang penilaian daripada pakar perubatan di samping pelbagai masalah lain,” kata beliau ketika dihubungi.

 

Housemanship

Oleh itu, Boon Chye berkata, sistem housemanship perlu diubah secara menyeluruh dengan memperhalusi semula aspek penilaian pakar perubatan setelah perkara itu dilihat menjadi faktor doktor muda dibuli.

“Kalau tanya doktor housemanship sekarang, mereka pa­ling takut mendapat penilaian doktor pakar. Kalau tidak bagus, maka terpaksalah sambung housemanship walaupun sudah menjalani latihan selama dua tahun.

Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan ketika itu pernah memberhentikan seorang pakar perubatan kerana kejadian buli, perkara ini boleh dilaksanakan jika kerajaan mahu.
“Jadi pokok pangkalnya, sistem housemanship itu sendiri kena diubah secara menyeluruh dan mengambil kira tempoh latihan yang cukup setahun sahaja.

Hal ini kerana untuk menjadi doktor, latihan bukannya mengikut tempoh setahun atau dua tahun tetapi sepanjang waktu perkhidmatan. Maka tidak perlulah menetapkan tempoh housemanship sehingga dua tahun,” kata Boon Chye.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan doktor muda yang menjalani housemanship di hospital-hospital kerajaan mengakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan kerana mendakwa menjadi mangsa buli.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, latihan klinikal perlu memfokuskan untuk melahirkan lebih banyak pakar perubatan dan bukannya sahaja sekadar doktor biasa.

“Kalau di negara lain, latihan housemanship lebih menjurus kepada membimbing doktor muda menjadi pakar membabitkan bidang tertentu. Jika ini berlaku, negara akan mempu­nyai banyak pakar perubatan dan bukannya sekadar doktor pengamal am semata-mata,” katanya.

Pasukan khas bebas

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan menubuhkan satu pasukan khas bebas untuk menyiasat kes kematian doktor pelatih tersebut dan juga budaya buli yang didakwa berlaku.

Menurut beliau, pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes tersebut di samping beliau sendiri telah menerima laporan awal daripada Ketua Jabatan HPP mangsa berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut berkata, kerajaan memberi komitmen untuk melihat isu berkenaan selepas laporan siasatan polis selesai.

Kata beliau, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat dan kimia sebelum membuat kenyataan seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN