Cheong Min si ratu wushu, yang 'garang’ dalam kelembutan - Utusan Malaysia

Cheong Min si ratu wushu, yang ‘garang’ dalam kelembutan

Tan Cheong Min menjelaskan tiada jalan pintas untuk bergelar juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gerun melihat aksi jaguh wushu negara, Tan Cheong Min menghayun pedang sambil berlari, bergolek dan melompat balik kuang atau somersault di tengah gelanggang, sambil sesekali diselangi jeritan garangnya.

Tidak hairanlah ketangkasannya mengendalikan senjata tajam dengan aksi kemas berjaya mengangkat anak kelahiran Melaka itu sebagai juara dunia pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, baru-baru ini, sekaligus melakar sejarah sebagai peserta wushu pertama negara memenangi anugerah itu.

Pada kejohanan itu, Olahragawati Kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara 2019/2020 ini, berjaya memenangi pingat emas dalam acara nandao dan pingat perak dalam acara nanquan yang digemarinya.

Bagaimanapun, mimik muka dengan jeritan garang itu tidaklah terbawa-bawa sehingga keluar gelanggang, sebaliknya ciri-ciri kewanitaan ternyata masih menebal dalam diri wanita ini.

“Acara Nanquan dan Nandao memfokuskan pada pendirian dan kestabilan yang kukuh. Kedua-dua acara dianggap sebagai gaya yang garang dan berkuasa dan sering diiringi oleh artikulasi vokal untuk persembahan yang lebih mengagumkan.

“Wushu atau seni mempertahankan diri lain tidak menghilangkan sifat kewanitaan kerana ia kian membangun di peringkat global dan digemari oleh orang di seluruh dunia kerana keunikan serta tarikannya,” katanya kepada Seri.

Latihan membolehkan atlet menjadi lebih kuat, pantas dan bertenaga tetapi juga mementingkan fleksibiliti, koordinasi dan keseimbangan.

Malah katanya, wushu adalah pilihan terbaik untuk wanita yang mahu mempelajari seni mempertahankan diri sebagai bentuk kemahiran bagi melindungi diri.

Keluarga wushu
Anak kedua daripada empat beradik ini meminati seni mempertahankan diri sejak kecil. Ia kian berputik sejak berada di Sekolah Jenis Kebangsaan Cheng, Melaka.

Beliau sentiasa teruja apabila melihat abang dan adik-adik lelakinya berlatih wushu di sekolah. Tetapi perasaannya itu terpaksa dipendam saja kerana jarang ada budak perempuan belajar ilmu berkenaan.

Aksi tuntas pelakon dalam filem kungfu ditontonnya, turut menarik tumpuannya selain menonton persembahan pasukan wushu Melaka semasa di sekolah.

“Ketika di sekolah rendah, tubuh saya kecil dan kurus berbanding rakan sekelas lain. Pada suatu hari, guru sains ternampak saya mengangkat pasu bunga seorang diri, beliau terus mencadangkan saya masuk kelas wushu kepada ibu saya.

“Ibu bapa saya bertanya pendapat saya dan bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, saya setuju menyertai wushu,” katanya.

Ketika abang sulungnya, Cheong Chai berhenti berlatih wushu selepas tamat darjah enam dan adik bongsunya, Cheong Jiang bersara daripada pasukan wushu Melaka pada usia 16 tahun, Cheong Min terus menempa nama dalam sukan itu.

Bakatnya mula dikesan oleh jurulatih pertamanya, Chai Chin Hin yang mengetengahkannya dalam pelbagai kejohanan di peringkat sekolah sehingga berjaya meraih pingat di peringkat antarabangsa pada 2010 dalam 3rd World Junior Wushu Championships di Singapura.

Tiga tahun kemudian, Cheong Min berjaya meraih gelaran Olahragawati Harapan Anugerah Sukan Sekolah Sukan Bukit Jalil dan anugerah peringkat negeri seperti Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Melaka 2017/2018 dan Olahragawati Harapan Anugerah Sukan Negeri Melaka 2015/2016.

“Seorang lagi adik, Cheong Wan yang juga atlet wushu Melaka menyertai pasukan kebangsaan ketika berusia 14 tahun. Bagaimanapun kerana kekangan bajet, beliau terkeluar daripada program podium tetapi masih meneruskan latihan pasukan kebangsaan,” katanya.

Cheong Min dan adiknya Cheong Wan akan bersaing di Sukan Universiti Dunia, di Chengdu, China yang akan berlangsung pada 26 Jun sehingga 7 Julai ini.

Manis melakar sejarah
Gelaran juara dunia adalah sesuatu yang tidak pernah Cheong Wan terfikir akan memilikinya kerana ia bukan laluan mudah apatah lagi terpaksa bersaing dengan peserta berpengalaman dari pelbagai pelusuk dunia.

Namun, berkat usahanya tidak pernah mengenal erti putus asa, Cheong Min berjaya memenangi pingat emas World Wushu Championship di Shanghai, yang juga adalah pingat emas pertamanya dalam acara perseorangan.

“Saya masih ingat, ketika itu saya berada di tepi gelanggang menunggu keputusan saya. Saya merenung skrin dan menantikan keputusan saya. Apabila keputusan keluar, mula-mula saya terkejut dan kemudian saya sangat teruja. Mata saya berkilauan dengan air mata.

“Apabila berdiri atas podium dan bendera Malaysia dinaikkan, saya rasa berbesar hati dan rasa semua usaha saya lakukan berbaloi. Itulah detik paling manis sepanjang pembabitan dalam sukan ini,” katanya menggambarkan perasaannya ketika itu.

Sebelum meraih gelaran juara dunia, Cheong Min mengakui turut mengalami cabaran menyedihkan. Antara sukar dilupakan iaitu ketika Sukan Asia Ke 18 di Jakarta.

“Dalam acara pertama, saya berada di tempat kedua tetapi ketika saya beraksi bagi acara kedua, saya melakukan kesilapan. Apabila markah kedua-dua acara digabungkan, saya berada di tempat ke-4 yang hanya selangkah saja lagi untuk ke podium.

“Realitinya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Berlatih, bekerja keras, fokus, motivasi, semangat terhadap wushu dan mendengar setiap cadangan yang diberikan jurulatih dan rakan sepasukan antara perlu saya lakukan untuk kekal cemerlang,” katanya.

Chengdu & Hangzhou
Selepas dua tahun berehat akibat pandemik Covid-19, tumpuan Cheong Min kini hanya untuk memenangi pingat di World University Games (WUG) di Chengdu, China Jun ini.

Manakala pada September nanti, Cheong Min bakal menyertai Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China.

“Matlamat saya adalah untuk meningkatkan kekuatan dan daya tahan otot saya serta meningkatkan kestabilan. Saya akan pastikan bekerja lebih keras untuk meningkatkan prestasi saya.

“Selepas itu, saya akan cuba yang terbaik dalam setiap perlawanan bagi memastikan tiada sebarang kekurangan dalam prestasi, terutama bagi dua sukan yang bakal saya tandingi ini,” katanya.

Cabaran terbesar dihadapinya ketika ini apabila berlatih seperti biasa selepas menerima vaksin pada Januari lalu. Jelas sekali, kekuatan otot dan daya tahan ototnya merosot dengan banyak.

Keadaan itu membuat dirinya mudah berasa letih dan sukar menjalani rutin latihan.

“Sekarang, saya hanya fokus pada latihan, melakukan senaman di gimnasium dan senaman pemulihan untuk mendapatkan kembali otot seperti sebelum ini. Saya perlu memotivasikan dan menggalakkan diri kerana saya tahu saya akan kembali kuat seperti sebelum ini,” katanya yang menjelaskan rutin hariannya bermula seawal 7 pagi dengan melakukan senaman di gim, larian dan latihan wushu.

Beliau turut menempah temujanji untuk urutan dan fisioterapi serta menyelesaikan latihan pemulihan mengikut jadual.

“Rehat hanya pada sebelah malam yang diisi dengan menonton filem dan mendengar muzik,” katanya seolah-olah menjelaskan mengenai betapa padatnya jadual untuk menjadi wirawati.

Begitupun tegasnya, dalam apa juga bidang sekalipun, disiplin dan bijak menguruskan masa, perlu dititikberatkan untuk meraih kejayaan. Justeru, tidak hairanlah beliau akur dan tekun dengan rutin sama setiap hari.

“Masa sekolah, saya perlu menguruskan masa dengan betul supaya dapat menyiapkan kerja sekolah seterusnya membolehkan saya memberi tumpuan dalam setiap latihan.

“Wushu mengajar saya tidak mudah putus asa. Sebagai seorang atlet, saya perlu berfikiran positif dan mengharungi setiap halangan, di sepanjang
laluan mencapai kejuaraan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN