GEJALA buli merupakan gangguan mental yang sering berlaku tetapi amat jarang didedahkan kepada masyarakat umum.
Walaupun ada kejadian buli yang terlepas kepada umum seperti dilaporkan oleh media, namun sebenarnya banyak lagi yang tersembunyi, lebih-lebih lagi melibatkan pekerja.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kejadian buli. Faktor ekonomi, sosial dan psikologi memainkan peranan penting. Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya dan kesan negatif media sosial turut mendorong orang lain menjadi pembuli.
Kajian psikologi juga mendapati majoriti pembuli pernah mengalami peristiwa trauma dibuli atau menyaksikan situasi buli dalam keluarga yang akhirnya memberi kesan kepada perkembangan emosi dan mental mereka apabila dewasa.
Malah, pembuli juga didapati mengalami simptom kebimbangan, kemurungan dan gangguan daya tumpuan berbanding individu normal.
Gejala buli sering dianggap sebagai kes terpencil. Namun, hakikatnya ia adalah pembunuh senyap yang akan berakhir dengan kecederaan dan kematian.
Situasi ini menunjukkan terdapat perbezaan dalam kalangan masyarakat apabila menilai betapa seriusnya kejadian buli. Keadaan ini amat mengelirukan dan menjejaskan kefahaman terhadap fenomena buli serta mempengaruhi fakta kes berkaitan rekod dan dokumentasi kejadian.
Senario dalam negara menyaksikan kes buli di tempat kerja tidak memiliki saluran khusus berkaitan pelaporan menjadikan rekod awam dan statistik kes sukar diperoleh.
Bagi gejala buli di sekolah pula, terdapat beberapa inisiatif kajian yang dilakukan oleh para pengkaji dan merumuskan gejala buli sememangnya berlaku dan menunjukkan peningkatan saban tahun.
Perlu diingat, wujud juga gejala buli secara terang dan nyata serta dilakukan secara berkumpulan, namun ia terbiar begitu sahaja kerana dianggap sebagai suatu sistem yang normal dan sudah terbiasa.
Apatah lagi ia dilakukan oleh pihak atasan yang lebih berwibawa dan berkuasa atau golongan senior kepada junior atas alasan untuk mendidik dan sebagainya.
Akibatnya, ia disalah anggap sebagai standard pengurusan dan pentadbiran atau juga satu bentuk pengawalan tingkah laku sosial yang wajar, lantas menjadikan gejala buli sebagai normal dan wajar.
Amat menjengkelkan apabila gejala ini berlaku dalam organisasi tempat kerja melibatkan individu profesional dan matang dan berkerjaya serta berstatus mulia.
Namun, inilah hakikat kehidupan buli dan pembuli. Apatah lagi, jika terdapat isu kesihatan mental yang mendorong kejadian tersebut tetapi terlepas begitu sahaja tanpa rawatan wajar.
Simptom buli di tempat kerja bukan semata-mata kata-kata kasar, berteriak dan mengecam. Ia lebih daripada sekadar kata-kata kasar.
Malah, kata-kata kasar boleh jadi permulaan atau juga tanda-tanda awal bukan sahaja kepada gejala buli, tetapi beberapa gejala kesihatan mental lain yang terlepas daripada melalui proses diagnosis klinikal yang standard.
Menjustifikasi kata-kata kasar sebagai reaksi normal kepada tekanan kerja atas nama pengajaran merupakan satu normalisasi pendidikan yang tidak wajar dan tiada asas saintifik.
Malahan, tidak pernah terdapat kajian kukuh yang membuktikan kata-kata kasar dalam pendidikan berupaya melahirkan pelajar atau graduan mahupun pekerja yang lebih cemerlang, pintar dan serba cekap.
DAYA SAING
Dalam konteks organisasi pekerjaan, struktur dan fungsi syarikat akan terjejas dan menjadi tidak stabil, lalu menjejaskan produktiviti dan daya saing syarikat.
Pekerja akan sentiasa berasa terancam, mengalami krisis kerisauan serta konflik pergaulan sesama rakan sekerja dan pihak pengurusan yang berlarutan.
Akibatnya, tiada keharmonian dan menjejaskan semangat kerjasama serta perpaduan dalam organisasi.
Lebih banyak masa terbazir dan keuntungan syarikat pula dihabiskan untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kesihatan akibat kesan mental dan fizikal mangsa buli, selain terpaksa membayar tuntutan nafkah ilat kepada pekerja yang terjejas teruk.
Gejala buli juga sebenarnya merupakan isu utama dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Dalam konteks ini, ia adalah salah satu faktor yang memberi banyak ancaman terhadap kesihatan individu dan produktiviti organisasi.
Walaupun konflik itu boleh diselesaikan secara dalaman tetapi lambat-laun akan terlepas jua keluar kerana ia merupakan polemik yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini, pembuli, mangsa buli dan persekitaran organisasi tempat mereka bekerja sebenarnya adalah faktor bahaya psikososial yang turut sama berisiko mempromosi kejadian buli dan mengancam kesejahteraan semua pihak, akhirnya boleh mengundang kematian yang disengajakan.
Polemik inilah yang perlu difahami oleh semua pihak dalam organisasi. Golongan penyelidik pakar dan pengamal dalam bidang psikiatri pekerjaan, dan psikologi industri serta ergonomik perlu berani tampil ke hadapan dengan mengemukakan hujah saintifik dan berwibawa menerangkan elemen sistem sedia ada yang diwarisi sejak sekian lama tetapi menyumbang kepada kejadian buli agar dapat diperbaiki dan kesan buruk dapat dielakkan lebih awal.
Di peringkat organisasi, perlu wujud usaha pendidikan berterusan serta polisi pengurusan yang sistematik untuk mencegah gejala buli. Perhubungan yang baik dan harmoni sesama pekerja perlu ditingkatkan, kerana ia turut mampu mencegah kejadian buli.
Islam memandang serius gejala buli sebagai satu penganiayaan sesama manusia. Mencerca, memaki dan menggelar orang lain dengan nama yang hina amat dilarang walau apa pun tujuannya kerana ia membawa kezaliman dan kerosakan.
Ini bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Abu Dzar al-Ghiffari r.a. bahawa baginda bersabda melalui firman Allah SWT,
“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku juga mengharamkannya dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim-menzalimi.” (Riwayat Imam Muslim) – UTUSAN
PENULIS ialah Felow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











