Kementeriaan Kesihatan mendedahkan jatuh antara kecederaan paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun.
Ini kerana mereka berada di dalam fasa bersifat ingin tahu mengenai pelbagai perkara, di samping mengalami pertumbuhan badan dan tulang mereka pada waktu sama.
Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr. Maria Wong berkata, kes kecederaan seperti terjatuh dan patah tulang yang melibatkan kanak-kanak akan menunjukkan peningkatan ketara ketika musim perayaan kerana lebih banyak aktiviti kunjung-mengunjung dan pelancongan dilakukan pada masa tersebut.
Patah tulang yang biasa dialami kanak-kanak adalah patah tulang di siku, tulang lengan serta pergelangan tangan kerana mereka cenderung menghimpit atau menekan tangan mereka semasa terjatuh.
Perbezaan jenis patah tulang boleh dilihat berdasarkan kumpulan umur kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak di bawah usia empat tahun, kes-kes tidak patah tulang sepenuhnya seperti plastic deformation (tulang berubah bentuk), buckle (apabila tulang saling terhimpit sesama sendiri) dan greenstick fractures (apabila tulang bengkok dan retak) boleh berlaku tanpa menunjukkan perubahan bentuk tulang yang serius dan ketara.
Dalam sesetengah keadaan, kanak-kanak berusia lebih empat tahun boleh mengalami keadaan dipanggil growth plate injury yang mana kesemua ini sering dipandang remeh sebagai lebam atau kecederaan tisu lembut yang tidak berbahaya.
Mengesan sama ada jatuh adalah biasa atau tidak, boleh dilihat menerusi reaksi si cilik terhadap anggota badan itu.
Mereka tidak mampu memberitahu simptom dialami atau menunjukkan bahagian badan yang sakit. Oleh itu, ibu bapa perlu lebih peka dalam memahami riak dan reaksi mereka semasa dan selepas jatuh.
Selepas 48 jam jatuh, sakit dan bengkak berlarutan di bahagian anggota badan yang terjejas boleh dijadikan petanda awal anak mengalami patah tulang. Kanak-kanak yang cedera akan mengelak daripada menggunakan anggota badan yang cedera ataupun mereka akan menangis apabila menyentuh atau menggerakkan bahagian badan yang terkesan semasa jatuh.
Sokongan emosi juga amat penting dalam situasi ini agar anak-anak lebih faham bahawa semua yang dialami ini merupakan sebahagian daripada proses untuk sembuh.
Luangkan masa di luar rumah dengan pantauan ibu bapa turut dapat memberikan kesan yang baik semasa proses penyembuhan.
Dos matahari yang mencukupi dapat membantu dalam penyerapan vitamin D yang penting untuk perkembangan tulang yang sihat.
Diet seimbang serta susu formula dengan vitamin D dan kalsium juga penting bagi perkembangan tulang kanak-kanak.
Bila perlu ke hospital
» Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya anak mereka mengalami kesakitan yang berlarutan ataupun mengalami sebarang perubahan bentuk pada anggota badan yang terjejas semasa jatuh.
» Bawa anak berjumpa doktor sekiranya mereka tidak mahu mengerakkan anggota badan yang terjejas ataupun jika berlaku pembengkakan yang tidak surut selepas tempoh 48 jam.
Jenis rawatan:
» Bila tulang patah dan serpihan tulang menjadi tidak selari, Splint (sejenis alat yang digunakan untuk menyokong anggota badan yang patah atau terseliuh) diperlukan untuk mengawal pergerakan supaya tidak berlebihan kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan lain di bahagian struktur saraf dan salur darah.
» Patah tulang sukar dikesan tanpa pemeriksaan seperti ujian X-ray. Untuk kecederaan seperti growth plate structure, diagnosis dan rawatan yang lewat boleh menyebabkan masalah tumbesaran di bahagian tulang yang terkesan sehingga mampu menjejaskan kehidupan kanak–kanak.
» Dalam kebanyakan kes patah tulang, proses untuk sembuh boleh mengambil masa sehingga 6 ke 12 minggu dan bergantung kepada tahap kecederaan itu sendiri.
» Pastikan anak mengikuti plan rawatan disarankan doktor seperti casting (menggunakan balutan simen), splinting (menggunakan alat sokongan) ataupun pembedahan.










