Berkawan, bukan bermusuh dengan wartawan

Berkawan, bukan bermusuh dengan wartawan

HENDAK menjadi orang politik kena berilmu dan paling penting adalah persediaan berhadapan dengan soalan-soalan daripada wartawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARTAWAN perlu disantuni, bukan diperleceh. Malangnya, di negara kita, wartawan sentiasa dilihat sebagai musuh dan dituduh sebagai pemecah belah perpaduan rakyat.

Rata-rata yang tidak suka dengan golongan wartawan adalah orang politik. Bagi saya mudah, kalau tidak bersedia untuk berhadapan dengan soalan-soalan ‘maut’ wartawan, maka jangan jadi ahli politik. Jadi sahaja pahlawan kekunci di sebalik skrin komputer.

Nak jadi orang politik kena berhati kering, berilmu dan paling penting adalah persediaan berhadapan dengan soalan-soalan daripada wartawan.

Jika nak berjaya, kenalah hadap dengan provokasi. Kalau tidak boleh jawab soalan, cakap sahaja tiada komen atau maklumkan untuk rujuk semula. Itu jauh lebih baik daripada naik angin dan marah tidak tentu pasal.

Kalau anda sudah jawab tapi dalam laporan ditulis lain, ambil sahaja tindakan undang-undang. Bukankah cara seperti itu jauh lebih baik daripada menyemarakkan kebencian terhadap golongan wartawan? Selain itu, malas membaca antara faktor utama salah faham terhadap dunia kewartawanan.

Nasihat saya, bila ada laporan berita diterbitkan, jangan sekadar baca pada tajuk, tapi isi kandungannya sampai habis.

Kalau baca pada tajuk sahaja kemudian penuh yakin tulis komen, akhirnya menyimpang daripada berita sebenar sampai tercetus perbalahan terutama portal yang mempunyai artikel berbentuk premium, yakni perlu dilanggan untuk membacanya.

Artikel yang perlu dilanggan ini selalunya bersifat panjang, padat dengan data dan fakta. Kaedah ini sama seperti zaman dahulu yang mana kalau nak baca berita atau artikel, kena beli surat khabar dahulu.

LAPAR

Memandangkan pada zaman sekarang akhbar pun kurang laku, maka ia dilakukan di platform media. Kaedah sama sahaja sebenarnya. Sepatutnya isu seperti ini tidak harus dibangkitkan.

Saya rasa tidak salah untuk kita bantu syarikat media tempatan terutama yang diuruskan oleh orang Islam. Bukankah kita sering menyeru orang ramai untuk menyokong perniagaan Muslim? Adakah syarikat media orang Islam tidak termasuk dalam seruan tersebut?

Jadi wartawan bukan senang. Hanya kerana ingin menyalurkan berita kepada masyarakat, mereka terpaksa berdiri di bawah terik matahari, basah dek hujan dan menahan lapar.

Bila sudah dapat berita, kena pula pastikan fakta-fakta tepat sebelum buat penulisan terakhir untuk diterbitkan.

Lebih memeritkan apabila kepayahan dalam mengeluarkan sesebuah berita itu diplagiat dengan mudah oleh pihak lain tanpa segan silu. Nak kata bagi sumber asal pun tidak. Di mana maruah kita?

Tanpa wartawan, macam mana kita nak tahu apa yang terjadi dalam negara? Tanpa wartawan, bagaimana kita nak bantu masyarakat marhaen yang sedang berada dalam kesusahan? Tanpa wartawan, bagaimana kita nak jadi terkenal?

Oleh itu, dalam menghargai golongan wartawan, maka saya rasa tiada masalah untuk kita tunjukkan sedikit perasaan hormat terhadap mereka. Bermusuhan dengan wartawan adalah satu kesilapan besar! – UTUSAN

PENULIS ialah penyelidik isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×