Artis ceburi politik hanya cari nama? - Utusan Malaysia

Artis ceburi politik hanya cari nama?

Anne Ngasri, Aishah Ariffin dan Afdlin Shauki antara artis terbabit dalam politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan pengaruh artis terbukti menyuntik semangat khalayak untuk melakukan sesuatu perkara. Hanya dengan sekali seruan di laman media sosial, majoriti dan terutama pengikut artis, sepakat untuk bertindak.
Tidak hanya di negara ini, landskap politik luar negara turut diserikan dengan kehadiran nama besar dalam kalangan selebriti yang mahu menceburi bidang politik atas dasar kepentingan rakyat.
Antara nama besar selebriti luar negara yang berjuang dalam dunia politik adalah Arnold Schwarzenegger, Ahmad Dhani, Pasha Ungu, Clay Aiken dan ramai lagi.
Namun apabila anak seni tempatan mahu mencuba nasib sebagai ahli politik, ada pula cakap belakang kononnya mereka ini tidak hanya hanya kerana gelaran artis. Malah, ada yang mempertikai niat dan wawasan mereka.
HITS mendapatkan pandangan anak seni yang pernah dan masih aktif dalam dunia politik.

Tiada kepentingan kecuali jika ada agenda untuk bantu rakyat – Datuk Afdlin Shauki
Dari seorang pelawak dan pelakon yang dikenali ramai, kini pemilik nama Datuk Afdlin Shauki, mula menceburkan diri dalam dunia politik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Mengulas perkara itu, pelakon filem popular Baik Punya Cilok ini menyifatkan setiap anggota masyarakat tidak kira apa jua bidang sekali pun, mereka layak menceburkan diri dalam politik.

Waima para artis juga layak berpolitik bagi sama-sama menyampaikan suara rakyat juga berbakti kepada masyarakat.

“Tidak kiralah dia seorang selebriti, tukang kebun atau apa pun, jika mereka berminat membantu memakmurkan negara serta membantu rakyat. Ia bukan hanya untuk artis sahaja.

“Kalau ditanya apa pentingnya artis, mana ada. Tiada kepentingan, cuma mereka yang betul-betul nak buat kerja ini, itu sahaja kepentingan yang ada pada dirinya.

“Jadi tidak kira siapa. Sama juga seperti doktor mahupun peguam. Sama sahaja. Tiada kepentingan seseorang artis berada di dalam politik kecuali jika dia mempunyai agenda untuk membantu rakyat,” tuturnya.

Mengulas lanjut, Afdlin akui mentaliti rakyat Malaysia masih di bawah takuk lama kerana ramai yang mempunyai stereotaip terhadap artis tanpa mengkaji dan membaca latar belakang seseorang selebriti tersebut.

“Kita tidak boleh generalisasikan semua orang dalam satu kelompok. Itu sekadar stereotaip. Jika mempunyai stereotaip artis tidak mempunyai kelayakan untuk berpolitik, awak dah ‘check’ ke kelayakan artis itu?

“Apabila ada segelintir berfikiran sebegini, dia meletakkan racun sahaja supaya pihak media senang ‘makan’. Kepada sesiapa yang kata artis tidak layak, mereka ini sendiri meletakkan stereotaip kepada artis. Ada juga seorang artis di Amerika Syarikat yang diangkat menjadi Presiden. Jadi, Malaysia ini memang selalu ketinggalan.

“Kita masih lagi dalam pemikiran artis ini tidak berkelayakan, tidak pandai dan cerdik.

“Tetapi, awak tidak pernah ambil kisah pun artis yang mempunyai pengalaman dan pelajaran terutama dalam bidang undang-undang. Cuma mereka tidak kecoh sahaja,” ujarnya.

Mempunyai satu matlamat iaitu menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang, pelakon filem Papadom ini meletakkan harapan agar ramai lagi calon-calon bagi pilihan raya akan datang yang berjiwa rakyat.

“Saya memasuki dunia politik berdasarkan pengalaman sebagai seorang yang dikenali dan juga merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi Yayasan.

“Dalam otak saya satu sahaja, modus operandi sebagai seorang Ngo apabila melihat orang susah, terus pergi bantu. Jangan tanya dia siapa dan latar belakang dan sokong parti mana.

“Kita hulurkan bantuan sahaja. Jika dalam pilihan raya akita meramaikan lagi orang yang mengambil berat. Inilah yang patut kita utamakan, kita patut utamakan orang yang seperti ini,” katanya.

Jika mahu lakukan dan mampu harungi, teruskan – Datuk Aishah
Bagi penyanyi legenda dan juga seorang figura yang pernah berada di arena politik sebelum ini, Datuk Aishah Ariffin, enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Menurut tuan empunya badan, dia meluahkan rasa bimbang jika memberi ulasan berjela akan membuka satu ruang bagi orang ramai melontarkan kata-kata yang kurang enak terhadap golongan artis yang berjinak menceburkan diri dalam politik negara.

“Sebenarnya saya pun kurang sedikit hendak memberi komen mengenai penglibatan artis dalam politik kerana bagi saya perkara ini akan membuka satu platform untuk orang ramai mengutuk artis.
“Seperti saya yang pernah berpolitik, jadi kalau boleh saya tidak mahu memberi komen banyak untuk perkara ini.

“Cuma, ia ikut perwatakan sendiri dan apa yang hendak dicapai oleh seseorang individu itu. Ini semua berkenaan dengan pilihan masing-masing, kalau mahu lakukan dan mampu harungi, teruskan,” katanya.

Kongsi Aishah, atas dasar cinta dan jiwanya masih terhadap muzik, penyanyi lagu popular Janji Manismu ini mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia politik pada tahun 2018.
“Saya sudah harungi dan laluinya. Jadi, pada ketika itu saya memutuskan bahawa jiwa ini lebih ke jiwa seni.

“Oleh kerana itu, saya keluar dari politik kerana masih sayang akan seni dan hendak terus berkarya,” tuturnya.

Tambah bintang terkenal ini lagi, seandainya perkongsian di entri Instagram menimbulkan tanda tanya warganet adakah penyanyi mula aktif kembali untuk berpolitik, kata Aishah:
“Jika ia tercetus apabila melihat di perkongsian di Instagram iaitu ketika saya membuat persembahan untuk Parti Amanah Negara (AMANAH), sebelum ini, malah ingin membuat spekulasi sama ada saya akan berpolitik semula, tidak.

“Saya hadir ke majlis berkenaan sebagai artis undangan. Tidak lebih daripada itu selain mereka juga adalah rakan-rakan saya.

“Sudah lama saya berkenalan dengan ramai daripada rakan-rakan dari parti tersebut. Jadi, saya pada hari berkenaan terutama pada sambutan hari raya tidak salah untuk kita bertemu,” jelasnya.

Terdahulu, Aishah bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada tahun 2013.

Awal Julai 2018, penyanyi lagu Camar Yang Pulang itu mengumumkan meninggalkan bidang politik bagi menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap karier nyanyian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×