Suara adalah salah satu nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita tetapi ramai yang tidak menghargainya sehinggalah ia tiba-tiba hilang begitu saja atau tanpa disedari suara kedengaran aneh.
Sama seperti organ kita yang lain, peti suara yang mengeluarkan suara juga perlu dijaga kesihatannya kerana ia boleh tercedera. Kita perlu guna suara semula jadi yang bukan dikepit, menjerit atau berbisik, sebaliknya digalakkan menggunakan suara yang betul bagi mengelakkan kualiti hidup seharian terganggu.
Individu yang mengalami masalah suara sama ada suara serak atau suara terlalu kecil atau besar, didapati kualiti hidupnya lebih rendah berbanding mereka yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.
Tanpa kita sedari, ketawa dengan kuat atau berdekah-dekah, kerap menjerit dan berdehem adalah antara tabiat buruk yang boleh menjadi punca peti suara mengalami kecederaan serius seperti bengkak atau berdarah.
Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Marina Mat Baki berkata, banyak risiko boleh dihadapi sekiranya peti suara tidak dijaga dengan baik.
“Penjagaan peti suara penting kerana ia kalau tidak ia boleh mendatangkan banyak masalah terutama bagi mereka yang banyak menggunakan suara seperti penyanyi, guru, peguam dan jurujual selain orang ramai yang gemar berkaraoke atau ketawa dengan kuat.
“Kajian di Barat mendapati kira-kira 20% guru mengalami masalah peti suara. Manakala di hospital tempatan pula, walaupun tiada data tetapi ada guru yang datang dengan masalah suara serak dan sebagainya,” katanya ditemui pada sesi rakaman laryngeal karaoke oleh penyanyi tanah air, Datuk Shafinaz Selamat, Misha Omar, Hael Husaini, Idayu dan Riko SOG di Jabatan Otorinolaringologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Turut hadir, Dekan Fakulti Perubatan HCTM, Prof. Dr. Abdul Hakim Abdul Gafor.
Sesi itu diadakan sempena Hari Suara Sedunia disambut setiap tahun pada 16 April. Ia bermatlamat memberikan pendedahan kepada masyarakat bagaimana keadaan peti suara dan struktur sekitarnya bergerak semasa menghasilkan nada lagu tertentu.
JAGA SUARA
Dr. Marina, berkata matlamat utama penjagaan suara adalah bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang pelanggaran dan kecederaan yang dipanggil chronotrauma di dalam peti suara.
“Mereka yang banyak menggunakan suara seperti penyanyi dan guru sebaiknya diberi penerangan awal mengenai fungsi peti suara dan cara melontar suara dengan baik atau lebih sihat bagi mengelakkan berlaku kecederaan.
“Ada penyanyi yang berdarah peti suara dan suara menjadi serak serta merta. Sekiranya ini berterusan dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebakan peti suara bengkak. Keadaan ini boleh menyebabkan mudah letih dan stamina suara kian berkurangan,” katanya.
Dr. Marina berkata, ada juga pesakit yang datang dengan masalah peti suara mengalami ketegangan otot disyphonia akibat menggunakan suara secara paksa yang menyebabkan peti suara menjadi ketat.
“Terdapat juga kes di mana pesakit tidak mengalami sebarang masalah atau ketumbuhan di peti suara tetapi suara tidak boleh dilontarkan dengan baik kerana ia sudah diajar dengan ‘perangai’ buruk seperti menjerit, ketawa dengan kuat, berdehem atau tabiat merokok serta minuman beralkohol,” katanya.
Individu berdepan masalah suara besar atau terlalu kecil perlu berjumpa dengan pakar pertuturan untuk menjalani terapi khas bagi membetulkan suara mereka.
Dr. Marina menjelaskan individu perlu berjumpa doktor atau pakar laringkologi sekiranya suara serak berterusan lebih dua minggu untuk mengenalpasti punca masalah.
Sesetengah pesakit perlu dirujuk kepada pakar terapi pertuturan yang akan menunjukkan cara menggunakan suara dengan baik.
Suara tak cukup lelaki boleh diperbetulkan
SUARA terlalu kecil atau tidak sepadan dengan jantina seperti lelaki bersuara seakan perempuan boleh menjejaskan kesihatan daripada sudut emosi. Begitulah sebaliknya.
Namun masalah ini boleh diperbetulkan dengan berjumpa doktor bagi mengesan sebarang penyakit yang menjadi punca sebenar seperti kemungkinan peti suara bengkak akibat radang, ketumbuhan dan sebagainya.
Berkongsi pengalaman, Pakar Terapi Pertuturan, Sharina Mohd. Zawawi berkata, ada kes seorang budak lelaki berusia 17 tahun bersuara seperti perempuan yang dirujuk dikliniknya.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, remaja itu didapati tiada sebarang masalah kesihatan tetapi mengalami puberphonia iaitu proses suara tidak pecah ketika akil baligh.
“Kita bantu dengan melatihnya merendahkan peti suara bagi mendapatkan suara lebih besar. Bila kita meninggikan peti suara, suara jadi tinggi atau kecil. Selepas satu sesi, suaranya sudah menjadi lebih besar,” katanya.
Peti suara juga perlu bersenam bagi mengekalkan stamina suara secara optimum.
“Sekiranya bangun pagi tiba-tiba tiada suara, minum air suam dan buat pemanasan suara (warm up) dengan mengeluarkan suara tanpa membuka mulut (humming).
“Biasanya bagi mereka yang tiada masalah kesihatan lain, mereka akan dirujuk kepada pakar terapi pertuturan yang juga akan melatih mereka untuk melakukan senaman peti suara,” kata Sharina.
Punca lain masalah peti suara
Masalah peti suara juga boleh berpunca daripada:
RESDUNG dan asid refluk yang melimpah ke kawasan peti suara dan menyebabkan berlaku radang pada peti suara. Resdung menyebabkan kahak keluar ke belakang tekak dan masuk ke peti suara dan ia boleh menyebabkan berlakunya radang di kawasan berkenaan. Apabila banyak kahak pada hidung dan pada masa yang sama masih menggunakan suara untuk menyanyi serta bercakap, kesannya boleh menyebabkan peti suara bengkak seterusnya menyebabkan masalah nodul atau bintil di dalam peti suara.
MEROKOK dan minum alkohol boleh menyebabkan risiko kecederaan peti suara. Paling membimbangkan adalah kanser peti suara yang jika lambat dikesan boleh menyebabkan peti suara dibuang dan menjadi bisu.
KOMPLIKASI pembedahan seperti pembedahan tiroid boleh mengakibatkan peti suara mengalami lumpuh saraf. Namun ia boleh dirawat dengan suntikan ubat atau menjalani pembedahan sekiranya perlu.
BERDENGKUR menyebabkan pesakit bernafas mengikut mulut yang menyebabkan udara kering masuk ke tekak. Udara lembap sebenarnya lebih bagus untuk peti
suara. Udara kering akan membuat peti suara kering, air liur menjadi tebal dan suara tidak boleh keluar. Jangan berdehem, buat humming.
TIDUR dalam pendingin hawa terlalu sejuk menyebabkan kerengsaan pada waktu pagi. Minum air bila tekak terasa kering.
REAKSI:
1)DATUK SHAFINAZ
Bagi Datuk Shafinaz menyanyi juga tidak jauh beza dengan sukan lasak kerana ia membabitkan julat suara tinggi dan rendah. Malah amat penting untuk penyanyi menggunakan teknik yang baik ketika menyanyi.
“Penyanyi khususnya kena belajar menggunakan peti suara supaya tiada berlaku kecederaan, kawal otot dan ajar ia untuk berfungsi dengan berkesan.
“Elakkan menjerit dan bercakap dengan kuat mahupun berbisik kerana ia sebenarnya tidak sihat untuk peti suara,” katanya.
2) Hael Husaini rajin warm up peti suara
Sebagai penghibur, Hael Husaini tidak menafikan ada masanya suaranya terasa penat dan lemah.
Katanya bila rasa penat, itulah masanya untuknya berhenti dan berehat.
“Saya tiada rutin khas untuk menjaga suara tetapi sebelum menyanyi, saya pastikan buat warm up peti suara dulu supaya ia tidak terkejut,” katanya.
2)Misha Omar pernah hilang suara
Dikenali dengan suara tinggi, Misha Omar pernah melalui detik cemas apabila kehilangan suara emasnya berikutan peti suaranya rosak.
“Saya rasa menggunakan teknik betul penting untuk menjaga suara. Saya juga berjumpa Datuk Shafinaz untuk mendapatkan nasihat, teknik dan latihan vokal.
“Selepas bergelar ibu, tidur sering tidak cukup kerana menjaga anak kecil.
“Saya pastikan cukup rehat, bercakap dengan suara yang perlahan selain gaya hidup sihat,” katanya.










