Kedatangan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh seseorang Mukmin yang berazam untuk melakukan kebajikan. Pastinya, kedatangan bulan ini disambut penuh ceria, dimeriahkan dengan penuh gempita sebagai tanda meluahkan rasa rindu dengan ‘tetamu’ istimewa ini kerana kedatangannya dijanjikan pelbagai keistimewaan dan kenikmatan.
Keistimewaan Ramadan secara jelas dinukilkan dalam banyak hadis. Ia membuktikan Ramadan bukan bulan biasa-biasa sahaja sehingga makhluk lain juga terasa dengan kehebatan dan kenikmatannya.
Dalam satu hadis dinyatakan, apabila tibanya Ramadan, maka akan dibukakan pintu-pintu syurga, pintu-pintu neraka ditutupi dan syaitan-syaitan pula dibelenggu (Hadis Riwayat Sahih Bukhari).
Jika sebelum ini, umat manusia diuji dengan pandemik yang mengubah hidup kepada norma baharu, namun itu bukanlah penghalang untuk kita semua berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa sekali gus ayuh sama-sama kita jadikan Ramadan tahun ini lebih baik daripada tahun lepas seperti mana yang digambarkan oleh Ibnu Rajab al-Hambali yang berkata, salafus soleh termasuk para sahabat sangat gembira dan berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan agar dipertemukan dengan Ramadan.
Keistimewaan Ramadan
Bulan ini amat berbeza dengan bulan-bulan lain apatah lagi ia merupakan satu-satunya bulan yang disebut dan pendefinisian sangat jelas dalam al-Quran.
Kedatangan bulan ini diwarnai dengan peristiwa-peristiwa bersejarah kepada umat Islam ini sepatutnya lebih memberi semangat yang membara dalam kita melalui sebulan bulan yang penuh dengan keberkatan.
Keistimewaan ibadah puasa adalah merupakan keistimewaan yang tiada dalam bulan yang lain. Ibadah puasa ini berfungsi untuk menyemai dan menyuburkan ketakwaan dan sifat kehambaan kepada Allah SWT.
Puasa juga merupakan ibadat yang difardhukan kepada umat yang terdahulu dan termasuklah umat Nabi Muhammad SAW. Ketaatan untuk melaksanakan ibadah ini merupakan satu pengabdian (ta’abbud) kepada Allah SWT dan dilakukan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan yang baik, maka kesan yang terhasil secara tidak langsung akan lahirnya individu-individu Muslim yang mempunyai jati diri yang kental.
Keistimewaan bulan ini dengan adanya Lailatul Qadar. Malam ini adalah lebih baik daripada 1000 bulan atau bersamaan 83 tahun. Ia dipenuhi dengan keistimewaan kerana Allah SWT menganugerahkan keberkatan, kemuliaan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang berusaha mendapatkannya dengan amal ibadah seperti solat, membaca al-Quran, iktikaf dan zikir kepada Allah SWT.
Pintu langit dibuka seluas-luasnya, ditutup rapat pintu neraka, diikat pula pergerakan syaitan. Maka, keistimewaan bulan Ramadan ini selari dengan manfaat dan ganjaran yang bakal diberikan kepada orang yang berpuasa.
Pintu syurga bernama ar-Rayyan yang disediakan khusus bagi orang yang berpuasa, orang yang mengimarahkan bulan Ramadan. Alangkah istimewanya orang-orang yang berpuasa di sisi Allah SWT.
Persediaan Diri dalam Bulan Ramadan
Bagi menunjukkan rasa rindu, gembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadan ini, kita perlu meneliti semula segala rukun, syarat, lafaz niat, adab serta perkara yang membatalkan puasa supaya kita lebih bersedia, seterusnya dapat melakukan ibadat dengan lebih sempurna.
Persediaan ini amat penting bagi memastikan segala amalan yang kita lakukan tidak cacat dan rosak, lebih-lebih lagi Ramadan juga merupakan bulan ibadah yang mana setiap amalan ganjarannya digandakan.
Justeru, dengan menghayati nilai yang lengkap dan persediaan terbaik dalam menyambut, meraikan serta melalui bulan Ramadan ini akan melahirkan rasa keterujaan agar dengan keterujaan itu memberi kegembiraan kepada kita walau hakikatnya kita semua masih berjuang dengan pandemik yang belum tentu bila akan berakhir.
Moga Ramadan ini lebih baik dari tahun sebelum dan dapat membentuk jiwa ke arah yang lebih baik.
Ayuh bersama kita rebut peluang dan kejar ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan memanjatkan doa sebanyaknya agar segala kesulitan kesan daripada pandemik ini akan berakhir. Sesungguhnya tiada yang mustahil di sisi Allah.
Dr. Sakinatul Raadiyah Abdullah, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Kedah.









