MELANGKAH ke bulan Ramadan sudah pasti ramai yang mencari-cari telekung sesuai digayakan untuk menunaikan solat tarawih dan hari raya.
Rambang mata juga membuat pilihan apabila pelbagai gaya rekaan telekung, bentuk dan warna daripada harga murah hingga ratusan ringgit berada di pasaran.
Namun, kebiasaannya telekung atau pakaian untuk solat ini sebolehnya tidak keterlaluan dan ciri keselesaan menjadi keutamaan.
Jika di Malaysia, sentuhan moden telekung yang dihiasi lace atau sulaman mahupun bercorak renda mewah lebih menepati citarasa. Namun gaya minimalis, basic serta klasik masih menjadi pilihan ramai untuk tidak terlalu bergaya. Warna-warna juga masih sejuk mata memandang.
Tetapi ada juga yang gemar menggayakan corak bunga pada seluruh telekung dan kainnya berwarna-warni. Gaya ini selalu dipakai oleh kebanyakan wanita Indonesia. Wanita Malaysia juga ramai yang beralih arah kepada telekung bercorak ini kerana kainnya yang sejuk dan tidak mudah berkedut.
Bagi wanita Arab atau di Asia Barat pula, mereka lebih selesa berpakaian abaya atau jubah hitam labuh dan jubah yang disambung bersama selendang serta khimar iaitu sejenis tudung labuh paras lutut (menutupi sebahagian tubuh atau selebihnya).
PILIHAN TELEKUNG
Pilihlah telekung yang menutupi aurat, tidak jarang, tidak sarat dengan corak dan bahagian wajah yang boleh dilaras.
1) Longgar, tebal dan tutup aurat
Pilihlah jenis yang tidak menyerlahkan bentuk badan.
2) Selesa mengikut bentuk muka
Telekung yang tidak ketat pada bahagian muka memberikan keselesaan berpanjang dan pemakaian lebih lama.
3) Sulaman mewah dan minimalis
Pilih telekung dengan sulaman yang tidak berat dan kasar agar tidak mengganggu pergerakan.
4) Kain yang sejuk
Telekung yang panas dan jarang tidak sesuai untuk beribadat. Pastikan telekung dengan jahitan kemas dan menggunakan kapas premium yang sejuk, ia menambahkan ciri yang memenuhi keselesaan pemakai dan tampak kemas bergaya.
5) Warna yang lembut dan sejuk
Warna-warna yang lembut seperti biru, hijau, nude dan peach memberi ketenangan. Ia tidak keterlaluan jika digayakan. Elakkan rona terang supaya tidak menjadi perhatian lelaki bukan mahram dan mengganggu jemaah lain untuk khusyuk ketika solat.
PERLU DIELAKKAN
*Telekung sarat yang boleh mengganggu jemaah lain.
*Dilarang pakai telekung sarat perincian dengan niat menunjuk-nunjuk.
*Telekung jenis lycra yang nipis dan melekat perlu dielakkan.
Warna yang terang.









