Perang balik kampung: Beraya rumah isteri atau suami, siapa tentukan? - Utusan Malaysia

Perang balik kampung: Beraya rumah isteri atau suami, siapa tentukan?

Jangan kerana keegoan menyebabkan masing-masing tidak dapat berfikir secara rasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tibanya Syawal suami dan isteri akan mula berbincang balik ke kampung siapa. Masing-masing berharap sambutan hari raya disambut di kampung mereka.

Lebih-lebih lagi setelah dua tahun tidak berkesempatan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama seisi keluarga susulan pandemik, pastilah kerinduan yang menebal dan tidak sabar untuk meraikan lebaran di kampung sendiri.

Namun di sebalik kegembiraan merayakannya terselit masalah kecil yang kerap dihadapi oleh sebilangan pasangan suami isteri dan keluarga iaitu keputusan balik kampung.

Ulas Pensyarah Psikologi Pendidikan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Zainudin Abu Bakar, ‘perang balik kampung’ nampak remeh tetapi jika tidak diuruskan dengan bijaksana boleh menyebabkan bermasam muka lebih-lebih bila tidak menemui kata sepakat.

“Isu ini kerap berlaku kepada pasangan baharu berkahwin dan muda. Keseronokan dan kegembiran yang sepatutnya dirasai ketika menyambut Aidilfitri boleh berubah menjadi tawar dan hambar.

“Ada ketikanya ia menimbulkan perasaan risau dan bimbang setiap kali tiba hari raya Aidilfitri, terutamanya jika permintaan untuk balik ke kampung salah satu pasangan sentiasa tidak dipenuhi,” katanya kepada Seri.

SUAMI saja ‘LAYAK’ TENTUKAN?
Suami sebagai ketua keluarga selalu menganggap mereka lebih layak menentukan di mana sambutan perayaan perlu diraikan.

“Namun yang biasa berlaku keputusan balik kampung pasti memihak kepada ibu bapa si suami. Malah menganggap isteri sebagai ‘derhaka’ jika enggan mengikut arahan balik ke kampung ibu bapa mereka.

“Di pihak isteri, mereka juga berharap supaya sambutan hari raya dilakukan di kampung mereka. Masing-masing berasa pilihan dan keputusan mereka untuk beraya di kampung siapa lebih tepat dan munasabah.

“Biasanya isteri yang banyak mengalah akan lebih kecewa jika setiap kali sambutan perayaan terpaksa beraya di rumah mentua. Perasaan mereka seolah-olah tidak dihargai langsung. Ini terutamanya kepada isteri yang masih lagi mempunyai kedua-dua orang tua,” katanya.

Oleh hal demikian, tidak hairan jika pada satu peringkat suami dan isteri mengambil keputusan untuk menyambut Aidilfitri berasingan iaitu di rumah ibu bapa masing-masing.

“Masalah kian rumit jika pasangan yang ada anak. Jika ini berlaku timbul pula masalah baharu iaitu menetapkan pilihan anak yang mana mengikut siapa. Ini merupakan keadaan yang tidak sihat dalam hidup berkeluarga,” kata Zainudin.

JAGA PERASAAN PASANGAN
Ujar Zainudin, perayaan merupakan hari kemenangan yang sepatutnya disambut dengan penuh kesyukuran. Jangan kerana keegoan menyebabkan masing-masing tidak dapat berfikir secara rasional semasa berbincang dan membuat keputusan untuk balik ke kampung siapa.

“Sebagai suami isteri, kita perlu faham dengan jelas berkenaan tanggungjawab dan kehidupan berkeluarga semasa meraikan perayaan tersebut. Pertimbangan untuk balik kampung perlu mengambil kira kepentingan dan perasaan orang lain sama ada isteri ataupun suami.

“Dengan cara itu, kita dapat menikmati Aidilfitri bukan sahaja sebagai suatu kegembiraan tetapi yang lebih penting sebagai suatu ibadah kepada Allah SWT,” katanya.

TENTUKAN KAMPUNG SIAPA
Zainudin menjelaskan ada beberapa kaedah dalam membuat keputusan balik sebelah mana.

1) Melihat balik kampung sebagai proses kehidupan berkeluarga. Secara prinsipnya kita perlu menerima keluarga sebelah isteri atau suami sebagai sebahagian daripada keluarga kita. Melihat ibu bapa isteri atau suami seolah-olah melihat ibu bapa sendiri. Dengan cara ini, kita bertanggungjawab untuk melayan ibu bapa pasangan sama seperti kita melayan keluarga sendiri.

2) Ikut giliran. Tahun ini kampung kita dan tahun depan di rumah pasangan. Sentiasalah akur dengan keputusan penggiliran yang telah dipersetujui. Melalui cara ini, kita akan lebih menghormati perasaan dan keinginan pasangan. Perancangan untuk berkumpul bersama adik beradik masing-masing dengan jadi lebih teratur.

3) Utamakan orang tua. Sekiranya salah seorang daripada kita sudah tidak mempunyai ibu bapa maka adalah lebih baik memberi keutamaan kepada pasangan yang masih ada ibu bapa orang tua. Setidak-tidaknya kita akan dapat merasai kegembiraan menyambut Syawal bersama ibu dan bapa di kampung.

4) Sentiasa menganggap Syawal bukan satu-satunya bulan untuk bermaaf-maafan dan beramah-mesra bersama keluarga. Kekerapan menjenguk ibu bapa dan keluarga di kedua-dua belah pihak dapat mengurangkan desakan untuk balik ke kampung sendiri setiap kali Syawal. Malah kita akan sentiasa gembira walau di belah siapa berhari raya.

Tegas Zainudin, sekiranya salah seorang daripada suami mahupun isteri kecewa atau tidak puas hati disebabkan berperang balik kampung maka keluarga tersebut sedang menanamkan ‘bibit’ ketidakharmonian dalam keluarga.

Menganggap keluarga pasangan sebagai keluarga kita, membantu kita untuk sentiasa menghargai apa sahaja keputusan yang dibuat.
Toleransi dan saling memahami menjadi resipi keharmonian dan kegembiraan hidup berkeluarga semasa meraikan Aidilfitri.

ISTERI JATUH DERHAKA?
Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. (Riwayat al-Bukhari)

Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustazah Maryam Md. Zin berkata, suami perlu membuat keputusan yang bijak dan adil dalam hal memilih kampung yang akan dituju pada hari raya manakala isteri perlu memahami dan menghormati keputusan tersebut agar kerukunan keharmonian rumah tangga terjaga.

“Suami tidak boleh sewenang-wenangnya melabel isteri dengan perkataan derhaka sekiranya isteri hanya mengemukakan pendapat atau memberikan cadangan bagi membantu suami membuat keputusan.

“Gunakan kemahiran berkomunikasi semasa membuat perbincangan dan persiapan menyambut Aidilfitri lebih-lebih lagi bila membabitkan bab rumah yang akan dikunjungi pada hari mulia ini,” katanya.
Allah SWT juga tidak suka kepada sikap melampau dan berlebih-lebihan dalam apa jua aspek kehidupan termasuk ketika berkomunikasi dengan orang lain.

“Jangan berkata-kata melampaui batas untuk menyinggung perasaan seseorang. Sebaliknya berkata-katalah dengan wajar, berlapang dada dengan keputusan yang diambil serta boleh bekerjasama dalam meraikan sambutan hari raya dengan penuh gembira dan ceria,” katanya.

Bagaimanapun ujar Maryam, sekiranya suami isteri mempersoalkan isu hak ketika membuat perbincangan, maka ketahuilah bahawa alim ulama yang faqih telah membahagikan hak kepada tiga bahagian iaitu hak-hak suami (huquq al-zawj), hak-hak isteri (huquq al-zawjah) dan hak bersama (huquq al-isytirak).

“Hak suami adalah isteri mentaati suami, isteri menjaga maruah suami, isteri mentadbir rumah tangga suami dan isteri memelihara anak-anak suami.

“Hak isteri pula ialah menerima nafkah suami, memelihara kesucian, menerima mahar, menerima pendidikan, menerima keadilan, pergaulan dan penjaga yang baik serta hak diceraikan secara baik. Hak bersama suami isteri adalah melaksanakan tanggungjawab bersama-sama terhadap rumah tangga.

“Dalam isu perang raya ini, isteri wajib mematuhi dan mentaati seorang suami kecuali sekiranya suami memaksa isteri melaksanakan perkara-perkara yang mungkar,” katanya.

Sehubungan itu, Maryam menjelaskan, untuk berlaku adil suami perlu memahami maksud dan konsep adil iaitu tidak berat sebelah, tindakan atau perbuatan yang seimbang dan sesuai dengan ketentuan.

“Bagi mengelakkan tercetusnya perang raya, suami isteri perlu bertolak ansur bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri penuh kegembiraan dan bermaaf-maafan bukanlah dengan persengketaan, perbalahan atau pergaduhan yang kelak hanya akan mengundang kesedihan serta kekecewaan,” katanya.

Bila raya, baru gaduh nak balik kampung?
DI SEBALIK kegigihan mengharungi kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya untuk tiba ke kampung halaman menjelang Aidilfitri, sebenarnya ada juga ‘cerita-cerita’ tak gembira mengganggu emosi pemandu dan orang di sebelahnya.

Sepanjang perjalanan yang sepatutnya hati berbunga-bunga bahagia itu, ada yang terguris hatinya dan menebal terbuku rasa tidak puas hati. Maka perjalanan balik kampung itu menjadi senyap sunyi. Suami isteri buat muka ketat.

Bila sampai di kampung pula, ada yang menunjuk protes. Tidak mahu bercampur atau berborak sangat dengan mertua dan ipar duai. Semuanya sebab ‘peperangan’ sebelum tiba di situ. Isunya, sepatutnya balik kampung siapa kali ini? Selalunya, paling kurang pun dalam seminggu berhari raya, `perang dingin’ itu akan berlangsung.

Ini adalah antara situasi sering berlaku setiap kali menyambut hari raya dalam kalangan suami isteri. Lebih-lebih lagi setelah dua tahun tidak dapat pulang beraya kerana PKP, ‘perangnya’ lebih lain macam lagi. Masa inilah ada yang buat-buat lupa giliran.

Sebenarnya, agak menghairankan juga balik kampung mana setiap kali hari lebaran menjadi satu isu besar kepada segelintir suami isteri.

Sebabnya, ada yang tak kisah pun mahu balik kampung pada hari-hari lain, walaupun dia ada banyak cuti untuk berbuat begitu, tetapi pada hari raya juga lah dia kalut bergaduh suami isteri, cakap pasal rindu dan tak mahu jadi anak derhaka. Pada hari lain, apabila ibu bapa menelefon menanyakan bila hendak balik, memanjang jawab sibuk.

Tentu ramai setuju, sistem giliran adalah satu cara paling adil untuk menyelesaikan masalah ini. Tidak kiralah rumah ibu bapa itu dekat saja iaitu di Kuala Lumpur atau Klang, bila tiba giliran yang dekat, suami atau isteri yang kampungnya jauh di Terengganu misalnya, akur sajalah. Ini baru adil.

Jangan kata duduk di Kuala Lumpur, bukan beraya sangat. Selagi ibu bapa masih ada, tidak kiralah di mana mereka berada, ini adalah masa untuk menggembirakan hati orang tua.

Dan ketika ini, suami pun janganlah nak tunjuk kuasa `veto’ sangat. Kena ikut dan patuh cakap suami, kalau tidak berdosa besar. Masa inilah semua hadis keluar dari mulut suami, tapi bab-bab tanggungjawab tak ikut suruhan agama pula. Iya tak?

Sepatutnya isu yang kecil ini boleh selesai dengan perbincangan yang rasional. Kalau isteri tak dapat balik kampung pada Aidilfitri, boleh saja balik pada Aidiladha dan pada tahun depan, Aidilfitri giliran isteri pula beraya di kampungnya dan suami ambil pada Aidiladha. Benda mudah, tak perlu bergaduh.

Tentunya janggal untuk bermasam muka di hari baik dan bulan baik ini. Sepatutnya masa ini diambil peluang sepenuhnya untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim bukan ‘menghalakan’ meriam untuk berperang!

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×