Bukanlah luar biasa bila hobi bertukar kepada mata pencarian. Situasi sama Tengku Aspaniza Tengku Aziz, 43.
Minat menggubah bunga orkid plastik mendorong surirumah ini meneroka bidang itu perniagaan selepas hampir dua tahun berhenti kerja sebagai kerani kewangan.
Kerjaya sambilan yang bermula sejak hujung 2020 itu sekali gus membolehkan Tengku Aspaniza menjana pendapatan lumayan mencecah RM2,000 sebulan.
Penglibatan dalam perniagaan berkenaan adalah di luar jangka terutama kerana tiada sebarang asas dan kemahiran menggubah mahu pun menghias bunga.
Malah, ibu kepada empat anak berusia antara lima hingga 18 tahun itu juga tidak pernah berhasrat untuk bekerja semula kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.
“Perancangan asal adalah untuk menjadi surirumah, namun dalam tempoh bersara itu tiba-tiba saya menerima projek tempahan bunga untuk pelajar.
“Sebelum ini saya menggubah hantaran perkahwinan keluarga di samping kenalan rapat, cuma gubahan bunga belum pernah lagi dan cabaran itu menguatkan semangat saya untuk menyiapkan hasil terbaik kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Tok Jembal di Kuala Nerus baru-baru ini.
Tengku Aspaniza berkata, bertitik-tolak daripada situ, dia mula menghasilkan satu persatu gubahan bunga orkid plastik yang kemudiannya di muatnaik di laman Facebook sekadar untuk berkongsi bersama rakan-rakan.
Tuah nyata berpihak kepadanya apabila gubahan bunga orkid berkenaan berjaya memikat hati ramai hingga menerima banyak tempahan sama ada secara terus atau bagi penghantaran kejutan.
ORKID JADI PILIHAN
Menurut Tengku Aspaniza, pemilihan orkid adalah kerana gubahan bunga itu jarang dihasilkan pengusaha lain di samping faktor keunikan flora berkenaan.
“Kebiasaannya gubahan bunga banyak melibatkan ros, jadi terdetik untuk saya fokus kepada orkid dan menerusi video-video di YouTube saya belajar cara meletakkan span serta rumput dalam pasu manakala susun atur selebihnya direka berdasarkan kreativiti.
“Apabila rata-rata pelanggan berpuas hati dengan gubahan dihasilkan, lama kelamaan memupuk minat saya untuk bergiat secara aktif dalam perniagaan ini walaupun sekadar separuh masa,” katanya.
Tengku Aspaniza berkata, bahan yang diperlukan bagi membuat gubahan ialah pasu, span, rumput, daun, orkid, batang buluh dan pengikat kabel dengan kesemua bekalan itu diperoleh daripada kedai-kedai di sekitar negeri ini.
Katanya, gubahan orkid berwarna putih paling diminati pelanggan selain ungu, merah manggis, dan emas dengan harga bermula antara RM30 hingga RM300, jauh lebih murah berbanding di pasaran.
Menurutnya, sehingga kini lebih 400 pasu terjual melibatkan gubahan bersaiz kecil, sederhana dan besar.
Tengku Aspaniza berkata, tempahan pelanggan lazimnya dibuat pada waktu malam dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk disiapkan.
Dalam pada itu, katanya, gubahan bunga plastik kini menjadi trend kerana mudah dijaga dan tahan lama berbanding bunga segar.
“Selain pelanggan dalam kalangan individu, syarikat, jabatan kerajaan dan kenamaan di Terengganu, saya turut menerima tempahan dari Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur yang dihantar menerusi pos,” katanya yang turut mengimpikan membuka kedai gubahan bagi membolehkan perniagannya terus berkembang.










