Manfaat ruang dengan kebun atas bumbung - Utusan Malaysia

Manfaat ruang dengan kebun atas bumbung

Tumbuhan herba seperti kunyit, misai kucing dan cincau hitam antara 20 jenis tanaman terdapat di Laman Hijau@3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMAN atas bumbung bukan perkara baharu bagi negara luar seperti Jepun. Landskap pintar itu turut menarik minat orang tempatan untuk mengetengahkan konsep seumpama itu seperti pusat beli belah The Gardens Mall yang memiliki taman di aras enam premis berkenaan.

Menuruti rentak sama, ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi taman atas bumbung – Laman Hijau@3.

Ia dibina selaras dengan komitmen menjadikan bandaraya ini bebas karbon menjelang tahun 2030.

Lanskap kontemporari seluas 625 meter persegi itu terletak di aras 3 Wisma MBSA di Seksyen 14, Shah Alam.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, laman itu dibina dengan konsep pertanian bandar atas bumbung yang mana suasana hijau tanaman seperti sayur-sayuran dan herba mewujudkan suasana menenangkan perasaan pengunjungnya.

“Pada asalnya kita mahu menjadikan Laman Hijau @3 sebagai Laman Terapi di mana semua pekerja yang kembali bekerja pada fasa peralihan endemik 1 April lalu, mulai bertugas dengan suasana baharu yang lebih kondusif di pejabat yang sama.

“Namun kita ubah dengan mewujudkan pertanian bandar di atas bumbung yang diusahakan di podium di sini sebagai inisiatif untuk mengetengahkan konsep bangunan hijau (green building) dan menjadi contoh kepada bangunan-bangunan lain di bandaraya ini,” katanya.

Lokasi itu, bukan sahaja dapat mengubah suasana kawasan berbumbung yang kosong kepada landskap tanaman yang bermanfaat, malah turut dapat meningkatkan akses kepada produk segar, berkualiti, dan sihat.
Pembinaan laman ini memakan masa sekitar enam bulan bermula Ogos tahun lalu menerusi dana geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Ada lebih 20 jenis sayur-sayuran hijau dan lebih 20 jenis tumbuhan herba, antaranya kunyit, cincau hitam dan bunga telang.

KONSEP AKUAPONIK
Akuaponik sebagai salah satu cabang agrikultur yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman tanpa tanah (hidroponik).

Pegawai Pertanian dari Jabatan Lanskap,Majidah Ali berkata, konsep akuaponik sebagai salah satu cabang dari agrikultur yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman tanpa tanah (hidroponik).

“Melalui konsep akuaponik ini, air yang terhasil dari penternakan ikan menghasilkan baja semulajadi kepada tumbuhan tersebut. Tumbuhan juga akan membersihkan kualiti air ternakan ikan,” katanya.

Projek dengan kos RM100,000 itu, turut membabitkan kajian mendalam bagi memastikan kesempurnaanya.

“Sistem pengairan air hujan dan binaannya ini dikaji dengan teliti sebelum dibina. Kita tidak mahu laman ini berada pada tahap ini sahaja tanpa ada pelan penyenggaraan sistematik.

“Ada pekerja akan ditugaskan memantau dan membuang lalang yang tumbuh bagi memastikan lanskap di sini menjadi laman menuai sayur menghijau sekali gus menjadi laman terapi untuk pekerja yang mencari ruang untuk bertenang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN