Madrasah Ramadan lahir insan siddiq - Utusan Malaysia

Madrasah Ramadan lahir insan siddiq

Berusahalah menjadi orang yang benar ketika Ramadan dengan menjadikan bulan yang penuh keberkatan ini sebagai madrasah terbaik untuk kita berhijrah menuju reda Allah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi orang yang benar itu sukar. Orang yang benar (siddiq) itu menepati janjinya, tidak berbohong dalam setiap tutur-kata dan ucapannya tidak berbeza amalannya.

Orang yang benar tidak tergolong dalam ayat Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? (al-Sof: 2)

Orang yang benar itu beriman dan beramal kerana Allah sama ada ketika di khalayak ramai atau semasa bersendirian. Antara amalan boleh menilai orang benar ialah berpuasa. Sebabnya hanya Allah mengetahui sama ada hambanya itu ikhlas berpuasa atau tidak, atau sekadar puasa hanya dapat lapar dan dahaga.

Kefarduan puasa termaktub berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Telah difardukan puasa ke atas orang Islam seperti mana puasa difardukan ke atas umat terdahulu. (al-Baqarah: 183)

Puasa berbeza dengan solat. Solat itu tiang agama tetapi boleh didirikan juga oleh orang munafik yang berpura-pura memeluk Islam. Munafik berpura-pura beribadat untuk mendapat belas kasihan dan kepercayaan manusia. Solatnya kelihatan lengkap, berjemaah sesama Muslim tetapi hakikatnya dia tidak beriman.

Puasa tidak boleh berpura-pura. Kalau minum dan makan, ia pasti membatalkan puasa. Dia puasa di hadapan orang, di sebalik tabir dia menipu diri sendiri, makan dan minum sesuka hati maka bagaimana dia mengaku dia berpuasa?

Puasa itu juga berbeza dengan ibadat berhijrah. Nabi ada menyebutkan, pahala hijrah itu bergantung kepada niat, ada yang berhijrah kerana wanita, maka ia akan mendapat wanita, yang berhijrah kerana Allah maka ia akan mendapat reda Allah.

Hadis ini berdasarkan kisah seorang Muslim yang turut sama berhijrah bukan kerana arahan Rasulullah tetapi kerana mahu mengikut kekasihnya. Hijrah menguji ketahanan fizikal dan mental meninggalkan kampung halaman manakala puasa menguji mental menahan kelaparan. Walaupun sifat ibadat ini berbeza, semuanya dilakukan kerana Allah.

Puasa juga berbeza dengan menutup aurat. Ada wanita yang menutup aurat bukan semata-mata kerana menjaga maruah diri, tetapi kerana mahu menarik perhatian lelaki.

Maka marilah kita mengikhlaskan diri menutup aurat baik lelaki dan perempuan, bukan kerana manusia tetapi kerana Allah.

Sama ada kita mendapat habuan dunia atau tidak, aurat wajib ditutup, bukan kerana perintah keluarga atau desakan suami. Itulah manusia yang benar dalam menutup aurat.

Persamaan puasa dengan ibadat lain ialah segala-galanya bermula dengan niat. Niat adalah asas pertama amal ibadat manusia, kerana itulah ramai ulama meletakkan ikhlas dan niat dalam susunan kepentingan amal.

Imam Nawawi meletakkan hadith kepentingan niat sebagai bab pertama dalam buku karangan beliau, Riyadussolihin. Niat adalah asas amalan. Walau bagaimanapun, niat yang baik melaksanakan ibadat semata-mata tidak akan bermakna tanpa ilmu.

Orang yang ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat tanpa ilmu amat mudah terjerumus dalam kesesatan.

Antara punca banyak ajaran tersesat mudah tersebar, ialah orang yang ikhlas mahu berubah tetapi tidak mempunyai ilmu.

Mereka mahu berubah ke arah yang lebih baik tetapi kerana kejahilan mereka, mudah terpedaya dengan ajaran sesat dan bisikan syaitan.

Maka muncullah ajaran-ajaran yang kononnya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan, sedangkan ajaran itu adalah karut dan bidaah yang sesat.

Seperti ajaran tidak perlu solat dengan anggota badan, ajaran tidak perlu menutup aurat dan ajaran mengangkat tok guru melebihi Rasulullah.

Malah mengangkat mereka menyamai makam Tuhan! Kesesatan ilmu inilah yang harus dijauhi oleh orang yang benar dalam berpuasa.

Umum mengetahui tiga tahap orang berpuasa disusun oleh Imam al Ghazali ialah, puasa al umum, puasa al khusus dan puasa khusus al-khusus.

Tahap tertinggi berpuasa adalah manifestasi orang yang telah mencapai tahap benar tertinggi.

Dia tidak mencari keseronokan puasa dan Hari Raya dengan kepentingan dunia; bukan menjadi keutamaan apa juadah buka puasanya, apa sambutan rayanya dan apakah kemeriahan yang patut dicipta tetapi hanya memikirkan penambahbaikan ibadah.

Buka puasa dan Hari Raya disambut kerana mengamalkan sunnah Rasulullah tetapi bukan matlamat utama membazir dengan perayaan dan sambutan.

Orang yang benar-benar berpuasa sedaya upaya melakukan enam perkara ini.

* Menundukkan pandangan daripada pemandangan yang tercela yang melalaikan diri dari Tuhan.

* Menjaga lidah daripada berkata perkataan nista, keji dan menuturkan perkataan yang membawa kepada dosa dan pertelingkahan.

* Menahan diri daripada mendengar perkara yang dibenci syarak seperti nyanyian, kalam keji, umpatan dan fitnah.

* Menahan anggota badan daripada melakukan kemungkaran, menzalimi orang lain, melakukan khianat dengan anggota badan dan mencemarkan kesucian bulan Ramadan. Ini temasuklah menzalimi binatang, memukul insan lain tanpa sebab dan membuat kesusahan kepada orang lain.

* Berpada ketika berbuka puasa, mengambil juadah sekadarnya untuk menghilangkan lapar dahaga dan menjauhkan diri daripada pembaziran.

* Hendaklah menanamkan rasa khauf dan raja’ kepada Allah. Takut amalan puasa tidak diterima dalam masa yang sama masih berharap agar Allah menerima pengampunannya.

Orang yang benar dalam berpuasa juga sentiasa melazimi al-Quran. Ini kerana al-Quran dan puasa adalah dua ibadat yang sangat berkaitan. Dalam sebuah hadis Abdullah bin Amru Rasulullah SAW bersabda: Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba; Puasa berkata: Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan bersyahwat pada siang hari, maka berilah syafaat dalam puasanya dan al-Quran berkata: Aku menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, jadikanlah ia syafaat.
Berusahalah menjadi orang yang benar ketika Ramadan dengan menjadikan madrasah ini madrasah terbaik untuk kita berhijrah menuju reda Allah.

Dr. Yasmin Hanani Mohd. Safian ialah Prof. Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM merangkap Anggota Majlis Agama Islam Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN