Kematian Sophie Toscan kekal misteri - Utusan Malaysia

Kematian Sophie Toscan kekal misteri

Sophie dipukul lebih 50 kali hingga mati menggunakan objek tajam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA hari sebelum sambutan Hari Krismas pada 1996, pembikin filem Perancis, Sophie Toscan du Plantier ditemukan maut dalam keadaan mengerikan di luar rumah percutiannya di Ireland.

Mayat mangsa berusia 39 tahun yang lengkap berpakaian itu, ditemukan di jalan masuk menuju ke rumah berkenaan di kawasan perumahan Drinane, berhampiran Schull, County Cork.

Berdasarkan laporan The Irish Times, Sophie dibunuh dengan kejam iaitu dipukul lebih 50 kali hingga mati menggunakan objek tajam.

Ketika ahli keluarga Sophie meratapi kematiannya, seorang lelaki dikenali sebagai Ian Bailey yang juga tinggal di kawasan perumahan sama, menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan itu.

Bagaimanapun dia menafikan. Malah, tiada bukti forensik mengaitkan suspek dengan jenayah itu. Bailey tidak pernah menghadapi pertuduhan di Ireland namun didapati bersalah ketika dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran di mahkamah) pada 2019 di Perancis.

Lelaki itu juga tidak pernah diekstradisi dari Ireland susulan sabitan tersebut.

Pelbagai reaksi tercetus mengenai kesahihan sama ada benar Bailey yang membunuh Sophie atau pembunuh sebenar terlepas daripada siasatan kes itu.

Misteri kematian Sophie menarik perhatian ramai sehingga menjadi topik perbincangan dalam siri podcast, West Cork.

Beberapa dokumentari berkisar tragedi itu berjudul Murder At the Cottage: The Search for Justice for Sophie dan Sophie: A Murder in West Cork turut disiarkan.

Berikut info menarik mengenai misteri kematian Sophie sepertimana dilaporkan oleh portal Biography:

Kes pembunuhan pertama
Sophie bersama suaminya yang merupakan penerbit filem terkenal, Daniel Toscan du Plantier menganggap rumah percutian mereka di Ireland sebagai tempat penginapan untuk ‘melarikan diri’ daripada kesibukan seharian di Perancis.

Namun siapa sangka hasrat Sophie untuk menikmati percutian yang tenang bertukar tragedi.

Pada 23 Disember 1996, kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan), seorang jiran menemukan mayat Sophie dalam keadaan terbaring di sebuah laluan berhampiran rumahnya di Toormore, West Cork.
Ia amat jelas sekali, mangsa diserang dengan kejam.

Dilaporkan, insiden pembunuhan seperti itu tidak berlaku di pekan itu sejak puluhan tahun lalu.

Situasi itu juga menunjukkan polis kurang pengalaman dalam menguruskan kes siasatan demikian.

Mayat Sophie dalam keadaan lengkap berpakaian dibiarkan di lokasi kejadian sehingga pakar patologi tiba pada keesokan harinya.

Memandangkan banyak masa berlalu sebelum pakar patologi tiba di lokasi kejadian, maka agak mustahil untuk menentukan waktu kematian yang tepat.

Malah, bukti forensik lain juga mungkin hilang akibat kelewatan tersebut.

Hasil bedah siasat menunjukkan Sophie mempunyai 50 kecederaan.

Berdasarkan laporan itu, muka Sophie dipukul dengan bongkah konkrit dan batu.

Jarinya patah mungkin ketika cuba menyelamatkan dirinya.

Mangsa mungkin berlari melalui kawasan semak dan terkena kawat berduri semasa cuba menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tiada tanda serangan seksual berlaku.

Hanya satu sampel darah dari lokasi kejadian yang menunjukkan asid deoksiribonukleik (DNA) bukan milik Sophie.

Tiada suspek utama pada awal siasatan
Polis cuba menjejaki pergerakan Sophie dari masa perjalanannya ke Lapangan Terbang Cork pada 20 Disember.

Ramai saksi disoal siasat malah polis turut menerima banyak maklumat daripada orang ramai menerusi telefon.

Kes pembunuhan Sophie mendapat liputan media secara meluas.

Salah seorang wartawan yang membuat liputan berita kes pembunuhan itu adalah Bailey.

Bailey berasal dari Britain dan pernah menjadi wartawan di England sebelum berpindah ke Cork pada 1991.

Suami Sophie pula tidak dilihat sebagai suspek boleh dipercayai dalam kes tersebut.

Hubungan Sophie dengan suaminya agak renggang namun masih dianggap bahagia sebelum insiden pembunuhan itu.

Ketika kejadian, Daniel yang berada di Perancis sempat berbual dengan Sophie menerusi telefon sebelum serangan itu.

Bekas kekasih Sophie juga dikatakan mempunyai alibi.

Polis memburu individu dengan kesan calar dan akhirnya menahan Bailey selepas mendapati lelaki itu mempunyai kecederaan sama di tangannya.

Ketika disoal siasat, Bailey mendakwa kesan calar pada tangan dan dahinya disebabkan kecederaan dialami ketika memanjat pokok dan menyembelih ayam.

Namun renjer hutan berpandangan jenis pokok yang dipanjat Bailey tidak mungkin menyebabkan kecederaan demikian.

Bailey ditahan namun dibebaskan
Bailey memberi sampel rambut bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Lelaki itu turut menafikan penglibatannya dalam pembunuhan tersebut.

Seorang remaja mendakwa Bailey pernah memaklumkan kepadanya bahawa dia mencederakan kepala mangsa dengan menggunakan batu.

Beberapa saksi lain pula memberitahu polis bahawa Bailey berada di kawasan rumah percutian Sophie pada malam kejadian.

Dilaporkan, Bailey memiliki beberapa rekod keganasan termasuk pernah memukul bekas teman wanitanya, Jules Thomas sekurang-kurangnya dua kali sebelum pembunuhan Sophie.

Pada 10 Februari 1997, Bailey dan pasangannya ditahan namun dibebaskan tanpa tuduhan.

Setahun kemudian, Bailey sekali lagi ditahan dan dibebaskan lagi tanpa tuduhan.

Bailey menjelaskan pengakuannya berhubung insiden pembunuhan Sophie adalah jenaka semata-mata.

Tiada sebarang tanda menunjukkan rumah mangsa dipecah masuk.

Bailey menegaskan tidak mengenali Sophie dan mendakwa hanya pernah melihat wanita itu ketika melakukan aktiviti berkebun. Tiada bukti forensik ditemukan di lokasi kejadian untuk mengaitkan Bailey dengan pembunuhan itu.

Bailey bersalah dalam perbicaraan in absentia
Pada 2001, Pengarah Pendakwa Raya Ireland memutuskan tiada bukti mencukupi menyokong pendakwaan Bailey bagi kes pembunuhan Sophie.

Saksi yang mendakwa Bailey berada berhampiran lokasi kejadian telah menarik balik keterangannya.

Menurut saksi, dia menamakan Bailey setelah menerima tekanan daripada polis.

Bailey turut mendakwa dirinya diperangkap polis.

Bagaimanapun, siasatan terhadap kes pembunuhan Sophie masih belum berakhir.

Meskipun, Sophie dibunuh di Ireland, undang-undang Perancis masih membenarkan siasatan berkaitan kematian warga Perancis di luar negara, dijalankan.

Menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk rakan dan saudara mara Sophie, siasatan itu mendapat liputan luas pada 2008.

Pihak berkuasa di Perancis menerima fail kes Ireland dan menggali mayat Sophie untuk menjalankan siasatan mereka sendiri.

Hasil bedah siasat polis Perancis tidak menemukan sebarang bukti baharu namun seorang hakim percaya adanya kes terhadap Bailey.

Hakim mengeluarkan waran tangkap terhadap Bailey pada 2010.

Mahkamah Agung Ireland menolak permohonan mengekstradisi Bailey pada 2012 dan sekali lagi berbuat demikian pada 2017.

Pada Mei 2019, Bailey dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran di mahkamah) di Perancis.

Bailey menyifatkan perbicaraan itu ‘sandiwara’ namun panel hakim di Cour d’Assises mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun.

Misteri yang belum terungkai
Mahkamah Agung Ireland menolak permohonan untuk mengekstradisi Bailey berikutan sabitan kesalahannya pada 2019.

Namun, dia masih boleh menghadapi ekstradisi di luar Ireland. Tahun lalu, Bailey memaklumkan dia mungkin ditahan sekiranya mengunjungi England.

Keluarga Sophie yakin kesalahan Bailey namun sabitannya tidak merungkai misteri kematian pembikin filem itu.

Sampel DNA bukan milik Sophie yang ditemukan di tempat kejadian, masih belum dikenal pasti.

Pelbagai spekulasi timbul mengenai kes pembunuhan itu antaranya seorang pembunuh upahan memburu dan membunuh Sophie dan mangsa mungkin diserang seekor kuda.

Walaupun Bailey kelihatan seolah-olah menikmati populariti ketika kes berlangsung namun dia juga terpaksa berdepan tekanan sebagai suspek dalam kes pembunuhan itu selama beberapa tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×