KADANG-KALA timbul kemusykilan apabila melihat harga juadah makanan di bazar dan bufet Ramadan di hotel yang ‘melambung tinggi’ daripada kebiasaan ditawarkan, sedangkan pada bulan inilah Islam mengajar untuk bersederhana dalam semua perkara.
Persoalan yang biasa menjadi tanda tanya, berbaloikah harga makanan di bazar dan bufet Ramadan mahal dibayar tidak setanding kualiti?
Menurut Panel Pakar Halal Negara dan Penganalisis Halal, Ustaz Mohd. Amri Abdullah, Islam tidak melarang untuk berniaga, ia diharuskan tetapi apabila harga itu tidak setimpal dengan barang yang dijual maka ia dianggap telah mengambil hak orang lain.
“Jika ada peniaga yang menjual sesuatu barangan, produk atau makanan tetapi mengambil kesempatan ke atas pembeli dengan menjual mahal disebabkan oleh Ramadan ini maka dia dianggap sebagai orang yang mengambil hak orang lain.
“Islam adalah agama yang membawa mesej rahmat, keharmonian dan hidup bermasyarakat. Islam menggambarkan kasih sayang dan Ramadan juga begitu. Selalunya peniaga yang berniaga di bazar Ramadan seharusnya mengambil kira juga keadaan-keadaan sekarang dan harus bertoleransi untuk memupuk keharmonian silaturrahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ia susulan minggu lalu, Cef Ammar yang merupakan cef terkemuka berasal dari Palestin dikecam teruk apabila menu nasi Arab Lamb Shank didakwa dijual terlampau mahal pada ‘harga Tel Aviv’ merujuk kepada ibu negara Israel.
Jelas Mohd. Amri, peniaga perlu tahu tidak boleh mengambil keuntungan berlipat kali ganda ke atas kelemahan dan juga ruang yang ada contohnya dengan kenaikan harga barang yang lain menyebabkan peniaga memberi alasan untuk menjual terlalu mahal.
Tambah beliau, begitu juga bufet Ramadan yang ditawarkan di hotel-hotel dan restoran yang menawarkan harga agak tinggi dibandingkan dengan tahun-tahun lalu yang boleh membawa kepada sifat pembaziran.
“Orang yang ingin berbuka puasa jika makan atau beli di tempat yang agak mahal boleh berlakunya pembaziran. Bayar mahal tetapi makanan tidak dihabiskan atau harga makanan yang dimakan itu tidak berbaloi dengan harga yang dibayar,” katanya.
TIDAK MAKBUL DOA NAIKKAN HARGA JUALAN
Mohd. Amri berkata, perbuatan membazir juga asbab doa tidak dimakbulkan oleh Allah SWT kerana mengambil atau melakukan perkara yang haram.
“Syarat doa dimakbulkan mestilah semuanya daripada perkara yang halal. Jadi, dalam hal ini peniaga tidak seharusnya menaikkan barang jualan, harga makanan atau bufet Ramadan secara sesuka hati. Ini juga disebut sebagai perbuatan ditegah dalam agama Islam dan ada disebutkan mengenai kualiti yang berbeza tidak setanding dengan harga.
“Kualiti itu adalah sesuatu yang berkualiti dan bagus sudah pasi harganya agak berbeza dengan tidak berkualiti. Namun jika harganya berbeza 10 kali ganda, perkara inilah yang boleh menimbulkan fitnah kepada orang Islam itu sendiri. Maka dalam hal ini perlu elakkanlah daripada kita menaikkan harga yang tidak setimpal dengan makanan atau barangan yang dijual itu,” katanya.
Sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah SAW, setiap daging yang tumbuh dan membesar dengan sumber haram maka nerakalah paling layak bagi dia selain daripada doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
JUAL BELI SAH BIARPUN MAHAL
Mengupas lebih lanjut, beliau berkata, jika peniaga sudah meletak tanda harga manakala pembeli sedia tahu dan reda dengan harga tersebut maka daripada sudut hukum jual beli itu sah kerana berasaskan kepada kaedah ijab dan kabul.
“Kedua-duanya sudah tahu harga yang dijual dan berlaku keredaan antara peniaga dan pembeli. Sesuatu urusan jual beli sekiranya tidak diketahui barang jualan atau harga maka telah berlaku gharar iaitu penipuan.
“Dalam Fiqh Manhaji disebutkan tentang hukum akad jual beli ini. Sebab itulah penting untuk letak tanda harga. Hukum jual beli sah biarpun mahal jika tanda harga dipamerkan.
“Peniaga dan pembeli juga perlu tahu hukum dan akad jual beli. Peniaga harus mengambil kira sifat toleransi dan bertolak-ansur ketika berniaga. Itulah yang lebih baik apatah lagi ada unsur-unsur sedekah dalam bulan Ramadan ini. Nabi ada sebutkan sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan,” katanya.
Tambahnya, dalam hal ini juga penjual mesti tahu bagaimana untuk tidak mengambil hak orang lain.
Firman Allah SWT, Wahai orang-orang beriman janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah iaitu tipu, judi dan sebagainya. Kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. (Surah an-Nisa ayat 29)
“Jual beli perlukan kepada kefahaman yang baik antara penjual dan pembeli,” katanya.
ISLAM MENGGALAKKAN BERNIAGA
Islam menggalakkan umatnya berniaga dan mencari kesenangan hidup dalam perniagaan kerana ia sememangnya menjadi salah satu sumber rezeki yang terbesar.
Namun, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara kita lakukan itu diredai dan mencapai keredaan Allah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Said RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Orang dan peniaga yang jujur dan amanah serta orang yang mati syahid akan bersama para nabi (Riwayat al-Tarmizi).
“Antara garis panduan disebutkan oleh Islam mestilah jujur dan perlu tahu isu halal haram dalam perniagaan seperti tidak menipu harga, timbangan, tiada unsur tipu daya yang tidak jelas dalam perniagaan, tidak menindas orang lain, tidak memboikot harga termasuk sorok barang. Ini perkara yang Islam ajar supaya kita tidak melakukannya,” katanya.
Oleh itu, seorang peniaga hendaklah menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap perkara termasuk juga dia bertaqwa dalam berniaga pada bulan Ramadan.
“Setiap peniaga perlu tahu isu halal haram dalam perniagaannya,” katanya.










