‘Hanya insan terpilih mampu bina kerjaya dalam industri’ - Utusan Malaysia

‘Hanya insan terpilih mampu bina kerjaya dalam industri’

Dayana Ezrin Jamaluddin aktif menari sejak 20 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seni dan bakat. Bukan semua orang dianugerahkan dua perkara itu. Hanya yang terpilih sahaja mampu bekerja dan membina kerjaya dalam industri seni.

Begitu juga penari. Hanya mereka ini mempunyai fleksibiliti tubuh badan dan seni tari saja berupaya menghiburkan penonton pada setiap majlis.

Guru tarian, Dayana Ezrin Jamaluddin,37, mula bergiat aktif dalam industri itu sejak 20 tahun lalu.

Katanya, dalam usaha memartabatkan penari di mata umum, membuka produksi miliknya sendiri, Dayana Production yang menguruskan penari serta bakat-bakat baharu.

“Saya mahu melahirkan penari yang komited dan berdisiplin dan juga berbakat,” katanya kepada Seri.

Dayana atau lebih mesra di sapa Nana, mula meminati seni itu sejak dibangku sekolah lagi. Semasa pengajian Diploma Teknologi Informasi Perniagaan, James Watt College dia mula membabitkan diri sebagai penari kebudayaan.

Kerjaya itu membawanya terbang ke luar negara, antaranya Laos, Vietnam untuk membuat persembahan tarian bagi Tourism Malaysia pada 2006.

“Pengalaman itu seronok sekali. Kita dapat membawa nama dan seni negara di mata dunia. Kami menyifatkan diri sebagai duta negara kerana menerusi tariannya kita berupa memberi pahaman terhadap seni warisan negara ini,” katanya.

Dayana bertemu jodoh dengan suaminya yang merupakan ahli perniagaan melalui aplikasi Myspace dan membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga pada tahun 2007.

Membina keluarga bererti Dayana perlu mengucapkan selamat tinggal sebagai penari kebudayaan.

Begitupun kalau sudah namanya ada bakat, sayang kalau ditinggalkan begitu sahaja. Dayana membuka Dayana Production pada 2009.

PENARI GAJI CIPUT
Bayaran kepada penari antara isu sering dilontarkan bila berbicara soal penari.

Kata Dayana sebab itulah dia menubuhkan produksi sendiri bagi membolehkan penari naungannya menerima bayaran setimpal dengan bakat dan masa mereka peruntukkan.

“Setakat ini penari-penari di bawah pengurusan saya berpuas hati dengan bayaran diterima kerana saya memang menetapkan nilai sesuai untuk bakat mereka.

“Lebih daripada itu, saya mahu memberikan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan menetapkan harga berpatutan dan bukan menerima sahaja setiap bayaran yang ditawarkan oleh produksi.

“Penari perlu tegas, perlu ada keyakinan diri untuk menetapkan harga untuk setiap persembahan diberikan terutamanya bagi yang sudah lama bertapak dalam bidang ini,” katanya.

Menguatkan hujahnya itu, kata Dayana penari membantu artis dan penyanyi untuk memberikan nilai tambah dalam setiap persembahan di atas pentas. Namun sayangnya, sejak sekian lama, realiti penari di Malaysia sangat menyedihkan. Mereka ini bagaikan tiada nilai dalam industri dan hanya dipandang sebagai ‘pelakon tambahan’ dalam industri.

“Sejak dahulu lagi, penari mendapat bayaran yang tidak setimpal dengan usaha dan penat lelah mereka dalam menjayakan setiap persembahan.

“Kalau nak ikutkan, penari di Malaysia ini tidak boleh pergi jauh seperti penari di negara-negara luar kerana mereka masih tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya untuk bakat mereka.

“Selama saya dalam industri, saya melihat penari biasanya dibayar ala kadar sahaja dan mereka juga terpaksa menerima sahaja berapa pun bayaran yang diberi oleh produksi demi kelangsungan kerjaya mereka,” katanya.

Tambah Dayana lebih menyedihkan, industri sendiri yang menjatuhkan nilai atau pasaran penari-penari berkenaan.

Produksi luar, misalnya yang menetapkan harga yang terlalu rendah untuk penari dengan memberikan bayaran yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

“Kerja penari tidak mudah. Bukan terus boleh menari tanpa persiapan rapi. Tapi sedih, bayaran yang mereka terima selalunya memang sangat sedikit, ada yang terima RM100 sahaja untuk satu persembahan.

“Pernah juga terdengar ada yang kata penari tidak perlu dapat lebih daripada penyanyi sedangkan pada saya mengapa tidak kalau penari itu betul-betul berbakat dan menghiburkan,” ulasnya.

Industri perlu berubah
Oleh itu, katanya, perubahan perlu dilakukan segera dalam industri terbabit bagi meredakan permasalah yang membelenggu pekerja seni itu sejak sekian lama.

Produksi luar terutamanya perlu mengubah persepsi terhadap kerjaya penari dengan tidak menganggap mereka ini hanya sebagai ‘nasi tambah’ dalam industri.

“Negara luar seperti Indonesia, menghargai penari sama seperti mereka menghargai artis-artis sana kerana mereka tahu menilai bakat itu. Produksi luar kena nilai semula bayaran mereka pada penari dan fikir mengenai ‘periuk nasi’ mereka yang mencari makan dalam bidang ini sebab mereka juga lebih kurang artis, mereka bawa nama artis dalam setiap persembahan yang mereka lakukan bersama.

“Tapi saya tidak nafikan ada artis seperti Datin Alyah dan Ayda Jebat yang pernah bekerja bersama sangat menghargai penari-penari. Mereka layan penari sama sahaja tanpa diskriminasi,” katanya lagi.

Jadi kreatif
Melihatkan kesuraman yang berpanjangan dalam industri tarian terutamanya ketika bencana Covid-19 melanda, Dayana optimis untuk terjun pula ke dalam bidang perniagaan sos pencicah, Dayana Cicoh Sos untuk menjana pendapatan sampingan.

Biarpun sudah mempunyai kerja hakiki sebagai Eksekutif Hartanah di Sunlife Malaysia sejak tahun 2006, namun ibu kepada tiga anak lelaki itu gemar melakukan pelbagai pekerjaan untuk mengisi masa yang terluang.

Dia turut bersyukur kerana suami, Mohd. Zamri Zainul Abidin, 41 yang tidak pernah lelah menyokong setiap perkara yang dilakukan.

Imbang kerjaya & keluarga
Wanita kecil molek ini berkata biarpun sibuk menguruskan kerjaya dan minat namun keluarga tetap menjadi keutamaan buat dirinya.

Bekerja sebagai pegawai hartanah dan dalam masa yang sama sebagai seorang guru tarian serta usahawan bukanlah satu perkara yang mudah.

“Ia banyak menuntut kesabaran dan pengurusan masa serta emosi yang baik.

“Selalunya setiap hari saya akan sibuk di pejabat dari pukul tujuh pagi sehingga 5.30 petang. Pulang masak makan malam.

“Selepas maghrib pula, saya akan ke studio, siapkan beberapa perkara atau mencari ilham koreografi baharu,” katanya.

Oleh itu, katanya, setiap hujung minggu memang akan dikhaskan untuk melakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak sahaja.

Mereka sekeluarga kebiasaannya banyak melakukan aktiviti luar dan berjalan-jalan sekiranya mempunyai masa lapang.

Dia gembira biarpun memiliki kehidupan yang sibuk, namun dia masih boleh melihat anak-anaknya, Arieyal Aqil Danish,13, Ariq Aramy Danish,9, dan Aidan Aariz Danish,3, membesar di hadapan mata.

Malah anak kedua dan ketiganya, Ariq dan Aidan turut menunjukkan minat yang sama dalam bidang tarian.

“Mereka juga ada bakat dan mempunyai kebolehan untuk menari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN