Bagaimana Ramadan hangatkan kembali hubungan yang pudar?

Bagaimana Ramadan hangatkan kembali hubungan yang pudar?

ramadan
Muzayyanah Abdullah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaikan ombak, hubungan pasangan suami isteri juga pasti ada pasang surutnya.

Terutamanya apabila usia perkahwinan menghampiri puluhan tahun, sudah tentu kemesraan kian hilang tidak seperti di awal perkahwinan dahulu.

Bagi yang merasakan rumahtangga semakin suram, Ramadan merupakan permulaan yang tepat untuk mengembalikan kegembiraan dan rasa cinta terhadap pasangan. Bagaimana?

Pendakwah Bebas, Ustazah Muzayyanah Abdullah berkata, keberkatan bulan puasa perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam mengimarahkan kembali keindahan dalam rumahtangga.

Katanya, ketika Ramadan banyak perkara yang dapat mendorong pasangan untuk kembali berinteraksi setelah sekian lama sibuk mengendalikan urusan masing-masing.

“Paling asas, antara perubahan yang kita dapat buat adalah dengan berbuka puasa bersama-sama.

“Kalau hari lain sering sibuk sehingga makan pun dekat pejabat atau tempat kerja, cuba ketika berpuasa kita curi sedikit masa untuk berbuka dengan pasangan ataupun keluarga. Makan bersama juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang sesama kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Ustazah, selain bulan rahmat dan pengampuan, Ramadan turut dikenali sebagai Syahru Usrah iaitu bulan mengutamakan keluarga.

Bagi mendapat keberkatan penghulu segala bulan itu, keluarga harus diutamakan dalam segala hal. Bahkan, bukan sahaja ketika Ramadan, tetapi pada bulan-bulan seterusnya.

“Antara nama Ramadan yang kita jarang dengar adalah Syahru Usrah iaitu mengutamakan keluarga. Sebab itu kita digalakkan untuk berbuka atau meluangkan lebih masa bersama keluarga dalam bulan ini.

“Ingin saya ingatkan terutamanya kepada pasangan yang sudah lama berkahwin atau yang sudah pencen.

“Kebiasaannya, si suami gemar berbuka di masjid bersama rakan-rakan dan tinggallah si isteri berbuka sendirian di rumah.

“Sedangkan jika suami itu berbuka puasa di rumah bersama isteri, perbuatan itu adalah lebih mulia di sisi agama berbanding berbuka dengan kawan-kawan di masjid,” katanya lagi.

Bagaimana pun, jelas Ustazah, bukan bermakna berbuka di masjid adalah perbuatan yang salah atau tidak bagus.

“Tetapi lihat kepada situasi, jika nak kejar ibadah berbuka di masjid sehingga membiarkan isteri keseorangan, kesepian berbuka di rumah, tidak elok juga sedangkan bersama keluarga juga adalah ibadah,” jelasnya lagi.

Saling mengingati
Mengulas lanjut, kata Ustazah Muzayyanah, waktu Ramadan juga adalah waktu terbaik untuk meningkatkan komunikasi antara suami dan isteri dengan saling ingat mengingati ke arah kebaikan.

Kaedah yang paling mudah adalah saling mengejutkan pada waktu sahur dan membaca Al-quran bersama-sama bagi memeriahkan malam-malam Syahru Quran.

“Sebelum ini kalau tidur pun masing-masing ketika inilah kita kembali beraksi dengan saling mengejutkan ketika waktu sahur. Ketika itu akan berlaku interaksi antara pasangan dan berupaya untuk mewujudkan kembali kemesraan.

“Kita juga boleh mengingatkan pasangan untuk berqiamulail dan mengingatkan mengenai pahala besar mengimarahkan Ramadan dengan bacaan al-quran.

“Terutamanya, bagi kita yang ada pasangan ini sangatlah beruntung, dapat mengaji bersama dan saling menegur. Boleh juga bila suami mengaji, kita bacakan terjemahan supaya sama-sama faham makna ayat yang dibaca,” sarannya.

Tambahnya, suami isteri juga boleh saling ingat-mengingati mengenai amalan baik lain yang boleh mendatangkan pahala berganda.

Antaranya adalah bersedekah kerana amalan bersedekah bukan semata mendatangkan pahala, malah ia mentautkan dan melembutkan hati.

“Misal kata sebelum ini isteri sahaja yang suka bersedekah tetapi suami tak pernah buat, cuba pada waktu ini ajak suami bersedekah bersama-sama.

“Buka minda suami untuk bersedekah dengan menceritakan manfaat-manfaat bersedekah, ajak suami bersedekah di mana-mana rumah amal dan sebagainya.

“Paling penting, ajak dan bukan ajar. Tidak mustahil akan terbit rasa keinginan secara sendiri dalam hati kecil suami sekaligus mendatangkan kasih sayang dalam diri suami,” ulasnya.

Eratkan hubungan keluarga
Bukan dalam aspek pasangan sahaja, pelbagai aktiviti juga dapat dilakukan untuk mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang kian renggang.

Istimewa Ramadan adalah ganjaran solat tarawih yang dilakukan selepas waktu berbuka.

Ibu dan ayah boleh mengajak anak bersama-sama menunaikan solat tidak kira solat lima waktu atau tarawih berjemaah.

“Aktiviti ini secara tidak langsung dapat memperkasakan peranan si ayah atau suami sebagai ketua dalam keluarga.

“Peranan ayah atau suami ketika menjadi imam solat dapat memberi kesedaran kepada isteri dan anak-anak bahawa ayah adalah ketua dan pemimpin yang harus dihormati,” katanya lanjut.

Jangan sia-siakan berkat Ramadan
Setahun sekali, bulan penuh rahmat didatangkan kepada kita. Bulan penuh kerahmatan, keampunan dan cahaya untuk semua umat Islam.

Pelbagai kebaikan dapat diperoleh dalam bulan mulia ini jika kita pandai memanfaatkannya ke arah kebaikan.

Bagi konteks suami dan isteri, Ramadan inilah bulan permulaan yang sesuai untuk menyemarakkan kembali hubungan yang sedang retak menanti belah.

Adat berkahwin, sudah pasti ada jatuh bangun, sedih, gembira dan juga kecewa. Jika sebelum ini, mungkin masing-masing sudah tawar hati dan hanya hidup sebagai teman serumah, mengapa tidak pada waktu ini kembali berusaha mengembalikan keindahan bercinta sama seperti di awal perkahwinan dahulu.

Bukankah cinta itu membahagiakan dan menggembirakan? Dapat hidup bersama pasangan yang dicintai sehingga ajal menjemput adalah perkara yang diimpikan setiap insan.

Tidak kira berapa lama usia perkahwinan, semua pasangan harus menyemarakkan cinta yang dibina supaya dunia yang indah dapat dinikmati bersama.

Tips eratkan hubungan:

» Ziarah kubur ahli keluarga yang sudah meninggal dunia
» Ketika hampir waktu berbuka, elakkan diri sendiri atau anak-anak leka dengan telefon bimbit
» Berkumpul bersama keluarga di meja makan waktu hampir berbuka
» Ajak anak-anak sedekahkan Al-fatihah kepada ahli keluarga yang sudah tiada sebelum masuk waktu berbuka
» Amalan ini akan menjadi kebiasaan dalam diri anak-anak dan mereka akan lakukan setelah ibu bapa pula yang tiada nanti
» Saling mengejutkan sahur antara suami dan isteri
» Baca Al-quran dan terjemahan bersama
» Banyakkan amalan bersedekah bersama
» Solat berjemaah untuk kebanyakan waktu solat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN