Al-Quran lambang kemuliaan Ramadan - Utusan Malaysia

Al-Quran lambang kemuliaan Ramadan

Bila tadarus, kita bukan hanya dapat membaca tetapi belajar. Proses belajar berlaku apabila orang lain menegur kesalahan sepanjang kita membaca. Mohd. Fahimi Zakaria. (Kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALLAH SWT memilih Ramadan sebagai bulan paling mulia dan mengandungi banyak kelebihan. Selain bulan puasa, Ramadan juga dipilih sebagai bulan penurunan al-Quran yang menjadi kitab suci agama Islam dan rujukan pertama dalam ilmu-ilmu Islam seperti syariah, aqidah dan akhlak.

Al-Quran dikenali sebagai asaq al-Hadis, iaitu perkataan yang paling benar kerana di dalamnya mengandungi sepenuhnya perkataan (kalam) Allah SWT. Penurunan al-Quran pada bulan Ramadan telah mengangkat kedudukan bulan ini sebagai bulan al-Quran seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada sekalian manusia dan memberi penjelasan tentang petunjuk itu dan perbezaan [antara yang hak dan batil…(al-Baqarah: 185).

Menurut Ibnu Abbas r.a penurunan al-Quran berlaku secara dua peringkat iaitu pertama ialah penurunan dari Luh Mahfuz ke langit dunia (bayt al-‘izzah) manakala kedua ialah dari langit dunia kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun (Sfwah al-Tafāsīr, Jilid Ke-3).

Adapun penurunan pertama adalah penurunan lengkap mengandungi 114 surah dan 30 juzuk berlaku pada malam al-Qadar seperti dinyatakan di dalam al-Quran: Sesungguhnya kami menurunkannya [al-Quran] pada malam al-Qadar. (al-Qadr: 1)

Al-Quran adalah mukjizat Rasulullah SAW sepanjang zaman yang diturunkan dalam bahasa Arab ke atas nabi dan kaumnya yang bertutur dalam bahasa Arab. Kepetahan masyarakat Arab sekalipun tidak mampu menandingi kepetahan mukjizat al-Quran walaupun mungkin seakan-akan sama antara bahasa komunikasi dengan bahasa mushaf ini, namun Allah SWT sentiasa melemahkan mereka dengan mukjizat yang agung ini.

Sebagai contoh, terdapat beberapa surah dimulai dengan huruf hijaiyyah (huruf muqatt‘ah)seperti alif lām mīm (al-Baqarah: 1) yang tiada seorangpun tahu maksudnya termasuk Rasulullah SAW.

Menurut Prof. Hamka ini kerana Allah SWT sengaja merahsiakannya sebagai bukti kerasulan baginda yang merupakan seorang yang buta huruf. (Tafsīr al-Azhar, Jilid Satu).

Rasulullah SAW sebagai manusia yang paling menyintai al-Quran menunjukkan betapa baginda memperuntukkan sepanjang malam Ramadan dengan membaca al-Quran bersama Jibril a.s.

Menurut Ibnu Abbas bahawa baginda akan bertadarus dengan Jibril a.s setiap malam sepanjang bulan Ramadan. (Riwayat al-Bukhari).

Berkata Syeikh Fahmi al-Qazzāz, tadarus dan malam sangat penting pada Ramadan kerana tadarus antara dua orang atau lebih pada malam Ramadan adalah amalan bacaan al-Quran menurut sunnah Nabi SAW.

Pertama apabila kita membaca secara tadarus, kita bukan hanya dapat membaca tetapi belajar. Proses belajar berlaku apabila orang lain menegur kesalahan sepanjang kita membaca.

Kedua ialah malam Ramadan lebih mulia daripada siangnya. Oleh itu baginda melazimi amalan tadarus al-Quran pada waktu malam lebih-lebih lagi apabila memasuki 10 malam akhir Ramadan yang terdapat malam al-Qadar yang dijanjikan. (Syabkah al-Alūkah).

Kita sepatutnya berusaha menambah baik prestasi dengan al-Quran khususnya pada bulan al-Quran ini dari aspek kekerapan bacaan, berapa halaman atau juzuk, hafalan surah-surah pendek dan yang paling penting memahami serta menghayati isi kandungannya dalam kehidupan harian kita sebagai muslim. Sesungguhnya membaca satu huruf al-Quran sahaja sudah menyamai 10 pahala. (Riwayat al-Tirmidzi).

GANJARAN BESAR
Cuba bayangkan jika kita membaca satu ayat atau satu halaman? Ganjarannya berganda apabila dibaca pada Ramadan. Tak kira siang atau malam.

Lebih menguntungkan jika kita membaca al-Quran pada malam-malam Ramadan yang bertepatan dengan malam al-Qadar, maka bacaan kita mendapat ganjaran melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun (al-Qadr: 3)

Oleh itu, mari memperbaiki hubungan kita dengan al-Quran pada Ramadan ini. Jika kita hanya membaca satu halaman sehari pada bulan lain, maka Ramadan ini sepatutnya kita membaca sekurang-kurangnya dua halaman atau lebih, sesuai dengan kelebihan yang disediakan di dalamnya.

Jika bulan lain kita sudah memahami isi kandungan surah al-Fatihah, maka Ramadan ini sepatutnya kita beralih ke surah-surah lain yang mungkin sama bilangan ayat seperti surah-surah juzuk 30.

Beginilah caranya untuk kita memuliakan al-Quran pada bulan yang mulia ini.

Abu Umamah al-Bahily mendengar Nabi SAW bersabda bahawa: Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada sahabat pembacanya. (Riwayat Muslim).

Semoga Ramadan ini menjadikan kita lebih dekat kepada al-Quran dengan memperbanyak membacanya dan memahami sebanyak mungkin maknanya sehingga al-Quran menjadi teman kita sepanjang masa dan di mana jua kita berada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN