Kata orang cinta itu buta, kalau dah jodoh, dalam bas pun boleh jatuh cinta. Itulah permulaan kisah perjalanan cinta Salwa Seban, 49 dengan pasangan asal Somalia, Hassan Yusuf Osman, 54.
Segala-galanya bermula pada 1991 sewaktu Salwa menuju ke Shah Alam menaiki bas.
Kebetulan lelaki asal Mogadishu yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menuju ke tempat sama. Beliau yang bersikap gentleman, menyapa Salwa. Siapa sangka, titik pertemuan yang tidak dijangka itu berterusan sehingga ke jenjang pelamin pada 25 Disember 1994.
Hasil dari perkahwinan itu, mereka berdua dikurniakan lima orang cahaya mata, Aishah Hassan, 26, Aliyah, 24, Anisa, 21, Adibah, 18 dan Ameer, 9.
Namun penulisan kali ini bukanlah tentang cinta Salwa dan Hassan, tetapi lebih menumpukan kepada perjalanan anak-anaknya yang hidup sebagai anak campuran Melayu-Afrika di bumi Malaysia.
“Sebenarnya ramai yang terkeliru dan terkejut kalau tengok saya berinteraksi dengan adik-adik dalam bahasa Melayu. Bahkan ada juga yang cuba meneka asal negara dan keturunan saya,” kata Aishah Hassan kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Aishah yang kini bekerja sebagai guru di salah sebuah tadika swasta di Shah Alam mengatakan selalunya kalau dia bertemu dengan seseorang buat kali pertama, dia pasti akan ditegur dalam bahasa Inggeris.
“Kalau saya jawab dalam bahasa Melayu, mereka akan terkejut pula mendengarkan kepetahan saya berbahasa kebangsaan,” katanya.
Selama ini masyarakat sering didedahkan dengan kisah-kisah anak campuran Arab dan mat salih seolah-olah perkahwinan campur ini hanya tertumpu dengan bangsa-bangsa tersebut.
Walhal, ramai warga tempatan kita yang menikahi warga Afrika namun kisah mereka tidak banyak didedahkan.
Kalau kita tanya kehidupan anak tempatan berdarah mat salih, pengalaman mereka selalunya indah-indah belaka. Layanan yang diterima pun mesti kelas pertama. Tetapi malangnya, tidak buat mereka yang berdarah Afrika.
Menurut Aishah, disebabkan rupa parasnya persis orang Afrika, sejak di bangku sekolah rendah lagi dia sering diejek dan dibuli.
Antara kata-kata kesat dilemparkan ke atas dirinya termasuklah Negro dan berambut maggi.
“Ramai ingat saya sebagai bukan orang Malaysia. Jadi bila saya bagitahu saya berdarah campuran dan lahir serta dibesarkan di sini, ramai juga yang tidak percaya,” katanya.
Bahkan kata Aishah, dia hampir ditahan oleh pihak polis disebabkan kononnya tidak memiliki visa.
“Selepas saya menerangkan saya seorang warganegara, mereka terkejut dan melepaskan saya. Ada juga yang bila saya maklumkan bapa saya orang Somalia, mereka terus bertanya sama ada dia memeluk Islam atau tidak. Ternyata masih ramai tak tahu majoriti penduduk di Somalia beragama Islam,” jelas Aishah.
Somalia bukanlah asing untuk Malaysia.
Mengikut fakta sejarah, Malaysia pernah menghantar sepasukan angkatan tentera di bawah payung pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) ke Mogadishu pada 1993.
Sekalipun begitu, masih ramai warga kita yang tidak mengetahui bahawa majoriti penduduk Somalia adalah beragama Islam.
Anak sulung daripada lima beradik ini dibesarkan di Johor. Katanya berikutan ayahnya, tidak pernah bertutur dalam bahasa Somalia dengan mereka adik beradik, Aishah juga tidak boleh bercakap bahasa Somalia.
“Kami sekeluarga pun tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke bumi Somalia di atas alasan keselamatan,” katanya yang menjelaskan atas alasan itu jugalah hampir kesemua saudara sebelah ayahnya, tidak lagi menetap di sana. Mereka sebaliknya telah pun berhijrah ke pelbagai negara lain.
Ditohmah kerana ‘saiz’
Menurut Salwa atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wawa, sewaktu Aishah berumur 10 tahun dia pernah dihina sebagai kicap oleh guru di sekolah.
Lebih menyedihkan, setelah beliau mengemukakan aduan, pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas guru tersebut kerana menganggapnya hanya sebagai gurauan.
Saya rasa begitu aneh dan pelik dengan orang-orang Melayu kita yang sering menghina warna kulit orang-orang Afrika, mungkin kita yang Melayu ni pun tak perasan kulit kita pun gelap. Kalau orang Afrika itu dikatakan kicap, maka kita ini coklat.
Hari ini pelbagai istilah diguna pakai untuk menunjukkan pasangan kahwin campur. Contohnya, orang Cina kahwin orang India disebut Chindians. Begitu juga anak-anak hasil perkahwinan campuran Asia dan Afrika dipanggil Blasian.
Begitupun, antara sekian banyak penghinaan dan tuduhan warga kita terhadap wanita tempatan yang mengahwini lelaki Afrika adalah kerana ‘saiz’. Ia ternyata sangat menjelekkan.
“Saya memilih lelaki Afrika disebabkan dilihat lebih sasa, romantik dan macho. Setiap orang ada cita rasa mereka tersendiri. Selebihnya terpulang kepada jodoh dan ketentuan Allah,” kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini.
Kalau kita perhatikan, ramai lelaki Mat Salih sangat menyukai wanita Asia terutamanya yang berkulit gelap.
Kata mereka wanita berkulit sawo matang seperti orang Melayu lebih seksi. Selain itu, sikap anak gadis tempatan kita yang lemah lembut dan sopan santun juga adalah antara faktor mereka menjadi kegilaan lelaki Mat Salih.
Trend kahwin campur di Malaysia semakin mendapat tempat di hati masyarakat negara ini.
Menurut Salwa, perkembangan positif itu bagaimanapun boleh mengurangkan banyak masalah perkauman terhadap warga Afrika.
Apatah lagi melihatkan generasi baharu anak-anak muda yang lebih terbuka dan bersikap global.










