JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani yakin rakyat Johor bakal hidup lebih harmoni di bawah kepimpinan gabungan itu berbanding pemerintahan parti lain.
Pengarah Strategik Johor itu berkata, semua pihak boleh menilai dan membezakan antara 60 tahun BN memerintah berbanding 22 bulan di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, ini kerana keadaan kembali tenang dan aman dengan banyak perkara kebajikan kepada rakyat dilaksanakan selepas BN mengambil alih kepimpinan di peringkat negeri dan negara.
“Dalam tempoh 60 tahun bersama BN, kita dapat hidup harmoni bersama semua bangsa dan dapat lihat kemajuan sama ada di peringkat Johor mahupun negara.
“Selepas kesukaran dan keresahan rakyat apabila BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), maka timbul kebangkitan rakyat yang akhirnya menyokong BN semula dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan di seluruh negara.
“Di Johor ini kita menang dengan majoriti yang agak luar biasa di (PRK) Tanjung Piai. Ia sebenarnya satu gambaran secara telus yang rakyat berikan tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap PH yang menjadi kerajaan ketika itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ramlee berdepan saingan tujuh penjuru melibatkan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nornekman Sapian; Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional dan calon PKR, Napsiah Khamis Maharan serta tiga lagi calon Bebas.
Justeru, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai itu mengharapkan rakyat memilih dengan penuh kematangan meletakkan parti sebagai pilihan yang diyakini dapat memberikan kemajuan kepada mereka.
Katanya, keputusan 21 Mac nanti bukan sahaja menentukan untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi sama ada Johor terus maju atau mengundur.
“Atas sebab itu BN meletakkan kestabilan sebagai matlamatnya bagi membolehkan banyak kemajuan diperoleh dengan kestabilan yang ada,” katanya.- UTUSAN











