PKP cetus idea pasangan buka Urban Fry

PKP cetus idea pasangan buka Urban Fry

Urban Fry
Hassan (kanan) dan Siti Jazila bersama hidangan disediakan di Urban Fry.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT menonton drama bersiri popular Korea, Winter Sonata yang jadi fenomena sekitar tahun 2000 mendorong pasangan suami isteri, Hassan Suray dan Siti Jazila Md. Ali membuka kios masakan Korea, Urban Fry.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berpengalaman kerja dalam sektor pembinaan, tidak menjadikan ia sebagai halangan meneroka segmen makanan dan minuman.

Katanya, keputusan itu diambil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu di mana situasi itu mendorong semua orang perlu berada di rumah.

“Isteri banyak melakukan eksperimen masakan termasuk makanan Korea dan dia kongsikan hasil masakannya di Facebook. Daripada situlah kami mula meraih perhatian umum khususnya peminat masakan Korea,” kata Hassan kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tidak banyak pilihan tempat makan menyediakan menu Korea antara alasan kukuh mereka berdua menyajikan sajian itu selain kebimbangan pelanggan terutama beragama Islam mengenai status halal antara mendorong mereka untuk serius.

Sebagai langkah persediaan pasangan ini turut mengikuti pelbagai kursus penyediaan makanan secara dalam talian.

“Bahan masakan pun kami beli secara online. Kami melakukan banyak eksperimen dan penyelidikan bagi memastikan menu yang akan kami sediakan kelak, menepati selera masyarakat tempatan,” katanya.

Berkongsi pengalaman membuka restoran, kata Hassan peringkat awal dia perlu memberikan pemahaman kepada pelanggan mengenai status halal menu disediakan.

“Saya beritahu pelanggan yang kami menggunakan bahan halal. Sos dan kimci pun kami buat sendiri,” katanya.

Premis itu boleh menempatkan 59 pelanggan pada satu-satu masa.

Sebagai perancangan akan datang, Hassan merancang membina dapur berpusat dan menambah parkir basikal berikutan ramai pelanggannya terdiri daripada pengayuh basikal yang datang ke kawasan berdekatan untuk beriadah.

“Kami meletakkan sasaran membuka kedai sendiri. Bagi merealisasikan impian itu, kami sedang merancang bagi membina dapur berpusat yang lebih baik. Ada tawaran untuk kami menyediakan francais tetapi terpaksa tangguhkan dahulu bagi memberi tumpuan untuk menyediakan dapur berpusat terlebih dahulu,” ujarnya.

MENU MESTI CUBA

Sementara itu, Siti Jazila berkata, signatur Urban Fry ialah kentang goreng herajuku loaded fries dalam saiz 15 dan 30 sentimeter (cm).

“Kentang ini menggunakan resipi sendiri. Bahannya diuli menggunakan alat khas dan terus dimasak dalam kuali untuk dihidangkan kepada pelanggan,” katanya.

Hidangan disediakan bermula pada harga RM6.70 hingga RM21.90. Antara mesti cuba ialah ayam goreng atau dikenali sebagai chikin yang dihidangkan dengan empat salutan istimewa iaitu sweet gochu, yangnyeom, spicy mala dan soy butter garlic.

Menepati gaya hidup semasa Urban Fry turut menyediakan khidmat penghantaran makanan menggunakan aplikasi Grab, foodpanda dan Beepit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×