Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dua tahun lalu bagi mengekang penularan virus Covid-19, orang ramai mula mempunyai pelbagai hobi baharu.
Antara yang paling banyak dilakukan adalah bercucuk tanam atau berkebun bagi mengisi masa lapang di rumah.
Kini, biarpun PKP sudah dilonggarkan, aktiviti itu masih sahaja diteruskan dan yang menjadi sebahagian dekorasi kediaman.
Kehadiran pelbagai jenis pasu estetik pula merancakkan lagi kemeriahan menanam pokok dan bunga sebagai landskap di kawasan rumah.
Antaranya pasu tempurung yang memberikan sentuhan klasik apabila digunakan sebagai wadah untuk penanaman sama ada pokok berdaun atau bunga.
Pasu yang diperbuat daripada tempurung kelapa bukan sahaja memberikan sentuhan menarik kepada tanaman, malah turut menyerlahkan elemen semula jadi pada dekorasi.
Pengusaha House Of Coconutshell, Shalily Sajad,49, berkata, sehingga kini permintaan pasu tempurung masih sangat memberangsangkan daripada pelanggan.
Malah, rekaan pasu tempurung yang pelbagai sama ada diukir atau pun diwarnakan menarik minat pelanggan untuk menjadikan ia sebahagian daripada hiasan.
“Kebanyakan pelanggan lebih gemar warna yang asli kerana ia kelihatan lebih klasik dan semula jadi.
“Selain itu, ia juga tahan lasak dan mudah dijaga. Boleh dijadikan hiasan di dalam mahu pun di luar rumah. Paling penting, ia takkan dimakan dek anai-anai,” katanya ketika ditemui pada Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lebih menarik, bentuknya yang fleksibel membolehkan pelbagai tanaman diletakkan di dalam selain boleh disusun atur mengikut kreativiti sendiri.
Bagi yang gemarkan hiasan bergantungan, pasu tempurung ini boleh digantung atau disusun secara bertingkat menggunakan tali atau akar kayu yang lembut untuk menambahkan efek estetik.
Hiasan gantungan ini sangat sesuai jika diletakkan di bahagian hadapan rumah atau di pintu masuk untuk menonjolkan elemen alam semula jadi pada kediaman.
Pokok-pokok yang bergantungan juga sekali gus dapat menyejukkan kawasan serta memberikan suasana damai kepada penghuninya.










