Mengapa sambut Ramadan dengan maksiat?

Mengapa sambut Ramadan dengan maksiat?

ramadan
Penerbit dan pengarah beragama Islam hendaklah berfikir secara rasional agar menerbitkan karya yang bersesuaian dengan Ramadan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Madrasah Ramadan menjelang tidak lama lagi. Muslim beriman dan bertakwa pasti tertunggu-tunggu akan kehadiran bulan penuh barakah. Malangnya ada sesetengah kita bukan sahaja tidak membesarkan Ramadan, malah menyediakan program dan aktiviti bertentang dengan syarak ketika Ramadan. Mengapa ini berlaku setelah berpuluh tahun syiar Islam berkembang baik di negara kita?

Ramadan ialah bulan ibadah dan bulan kesabaran. Semua kebaikan dan amalan pada bulan puasa akan digandakan, dan antara amalan kebaikan yang digandakan tanpa had ialah puasa dan sabar pada Ramadan. Selain itu, sesiapa yang berbuat baik dan memaafkan orang lain juga akan mendapat rahmat dan kebaikan yang tidak ternilai.

Ramadan juga adalah bulan memohon keampunan Tuhan dan perlepasan daripada siksa neraka. Namun ini bukan bermakna kita mengabaikan taubat dan keampunan Tuhan pada hari lain.

Taubat selepas melakukan dosa wajib dilakukan segera sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Bersegeralah memohon keampunan dari Tuhan kamu. (ali-Imran: 133)

Sebagaimana amal pahala kebajikan digandakan pada bulan Ramadan, begitulah juga dosa maksiat. Maksiat pada Ramadan lebih dikeji, kerana tidak menghormati bulan ini dan mencemarkan ia dengan dosa.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berbuka dengan sengaja satu hari pada bulan Ramadan bukan kerana keuzuran dan sakit, berpuasa seumur hidup pun tidak akan dapat menggantikannya. (Riwayat Bukhari)

Dosa besar

Ini bermakna meninggalkan puasa dengan sengaja adalah suatu dosa besar. Begitulah juga maksiat yang dilakukan pada bulan ini. Namun masih ramai di antara kita yang tidak sensitif dengan perkara ini. Ada yang berpuasa tetapi tidak solat, ada yang tidak puasa dan ramai lagi yang melakukan kemungkaran lain secara sengaja.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan teaser sedutan drama televisyen dengan babak yang sangat memalukan umat Islam. Drama ini dijadual ditayangkan pada Ramadan.

Jika bukan ditayangkan pada Ramadan pun, babak drama memaparkan adegan lucah ini tetap tidak wajar dipertontonkan kepada masyarakat Malaysia.

Apa perlunya penerbit drama Muslim kita menerbitkan babak sedemikian sehingga menaikkan amarah penontoh. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad turut menegur penerbitan drama ini.

Terbaharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mengambil perhatian serius video sedutan drama bertajuk Perempuan Itu dengan mengeluarkan kenyataan rasmi.

Jelas babak berkenaan yang melanggar batasan syarak bukan sahaja tidak sepatutnya ditayangkan pada Ramadan malah pada bulan yang lain juga. Adegan sedemikian mengajar orang melakukan maksiat dan membuat penonton berimaginasi yang tidak sepatutnya. Jelas perlakuan intim separa lucah bukanlah perkara yang boleh diambil remeh.

Isu begini menyebabkan minda kita berfikir; ke mana hala tuju industri hiburan kita sebenarnya? Adakah kita ingin berlumba dengan industri hiburan luar negara dalam mengetengahkan adegan sampah dan lucah kepada penonton semata-mata untuk menaikkan rating dan mengejar populariti?

Pastinya ramai yang tertanya-tanya di manakah moral penerbit, pengarah, pelakon dan krew yang terlibat dalam pembikinan drama tersebut? Adakah ia satu kesilapan?

Bercakap lucah

Media elektronik memang tidak lari daripada hiburan, rancangan bukan sekadar berbentuk pemberitahuan maklumat, berita atau sukan semata-mata malah rancangan hiburan pastinya mendominasi industri ini. Namun, seharusnya penerbit dan pengarah Muslim boleh berfikir secara rasional agar menerbitkan karya yang bersesuaian dengan Ramadan.

Pada Ramadan, kita dilarang bercakap lucah, melakukan perkara maksiat, mengumpat, memfitnah dan kata-kata kesat agar pahala puasa kita tidak berkurangan. Maka, seharusnya penerbit menerbitkan rancangan yang lebih sesuai dan menginsafkan.

Dakwah kreatif ini terlalu luas. Penerbit dan pengarah filem tidak boleh menjadikan kewajaran alasan babak dan jalan cerita lucah, tidak bermoral kononnya perlu sebagai panduan kepada masyarakat.

Kita harus sedar, maksiat dan perkara keji adalah sesuatu kemungkaran dan aib yang wajib ditutup. Ini termasuklah berita, drama, filem, lagu dan lainnya.

Berita tentang maksiat dan jenayah tidak wajar diceritakan dengan terperinci. Sama seperti kes bunuh diri, pemberita tidak boleh memperinci bagaimana mangsa membunuh diri ditakuti akan ada pihak yang mencontohi perlakuan ini.

Begitu juga jenayah rogol atau zina, tiada keperluan untuk menceritakan jenayah tersebut dengan terperinci kerana ditakuti pembaca dan penontoh boleh meniru perlakuan jenayah tersebut.

Justeru, hormatilah Ramadan dengan membanyakkan amal dan bukan melakukan atau mempromosikan maksiat. Ya, puasa kita tetap sah sekali pun kita melakukan dosa, tetapi pahala puasa itu akan berkurangan.

Jaga puasa

Atas sebab inilah, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada kita agar menjaga puasa kita dan tidak tergolong dalam mereka yang disebutkan: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam. (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, berhati-hatilah, antara dua sebab puasa tidak diterima ialah tidak meninggalkan perbuatan keji dan tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan lucah.

Ini disebutkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan lucah.

Justeru, para penerbit filem, drama, rancangan TV, radio, atau apa sahaja medium elektronik wajiblah beriltizam menerbitkan rancangan yang baik dan bermanfaat kepada ummah pada bulan mulia ini.

Pilihlah hiburan yang bermanfaat dan tidak melalaikan dan semoga madrasah Ramadan ini adalah madrasah terbaik untuk kita dan ahli keluarga kita.

—————-

Dr. Yasmin Hanani Mohd Safian ialah Prof. Madya di Universiti Sains Islam Malaysia merangkap anggota Majlis Agama Islam Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×