Aroma dihasilkan lilin wangi mampu mempengaruhi perasaan dan mental seseorang.Banyak penyelidikan menunjukkan ia berupaya melegakan masalah kesihatan seperti sinus dan kekacauan jiwa.
Menyedari manfaat lilin wangi, Afiqah Mohd. Arifin, 26, memilih untuk menceburi perniagaan lilin dan sabun wangi menerusi jenama M3LT sejak Julai 2021.
“Saya sangat minati lilin wangi tetapi cabaran paling besar waktu itu adalah tiada pengalaman menghasilkan produk. Lagipun kalau mahu menghasilkan lilin dan sabun beraroma kita perlulah tampil dengan keunikan tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
M3LT diinspirasikan daripada cara penggunaan lilin iaitu dengan mencairkan ketulan lilin. Huruf E dalam perkataan melt diganti dengan angka 3 untuk memberikan keunikan sebagai tarikan jenama.
Pada peringkat awal, Afiqah memang minat dengan produk lilin beraroma kerana baginya, aroma daripada lilin bersifat teraputik yang mampu memberi ketenangan fikiran kepada dirinya selepas pulang dari pejabat.
“Namun, kebanyakan produk lilin dalam pasaran banyak yang diletakan dalam bekas kaca, bersumbu dan tentunya membabitkan kos. Situasi itu mendorong saya melakukan eksperimen untuk hasilkan lilin buku tanpa sumbu dan bekas,” katanya.
Lilin beraroma itu hanya perlu menggunakan penunu atau pembakar lilin. Ia dihasilkan dalam pelbagai warna, bau dan bentuk.
Inovasi produk dan kaedah pembuatan lilin beraroma banyak dipelajari menerusi artikel dan video di internet.
Selain harum, warna berkilau yang keluar sewaktu lilin mencair turut memberi impak ketenangan sebaik melihatnya.
LEBIH TAHAN LAMA
Lilin sentuhan Afiqah boleh dicairkan beberapa kali berbanding lilin beraroma lain yang biasanya tahan untuk sekali penggunaan sahaja.
Sebaliknya, produk inovasi ditampilkan itu, boleh dicairkan sebanyak tiga hingga empat kali atau sehingga hilang baunya.
Begitupun, penggunaan lilin di syorkan pada saiz ruang bilik tidur kecil ke sederhana sahaja bagi mendapatkan hasil aroma maksimum.
Menariknya Afiqah hanya menggunakan soya dan bukan jenis parafin, berikutan jenis parafin mempunyai 11 bahan toksin seperti benzene, toluene dan formaldehyde.
Pembungkusan mesra alam daripada bahan kitar semula menambah keunikan produk itu.
Pandemik Covid-19 tidak beri kesan
Tatkala peniaga lain bergelut dengan kesan pandemik Covid-19, Afiqah melahirkan rasa syukur kerana perniagaannya tidak terkesan dengan wabak itu.
“Perniagaan saya hanya berasaskan media sosial dan di jual dalam talian, jadi tak terkesan sangat dengan pandemik.
“Pernah ada masanya mendapatkan bahan untuk membuat lilin dan sabun selain isu penghantaran produk kepada pelanggan. Namun, ia dapat diatasi,” katanya.










