Ketika seseorang memutuskan untuk menjalani kehidupan rumah tangga, bererti harus siap sedia dengan situasi apapun di dalamnya.
Ini termasuklah berdepan dengan konflik dan pertengkaran dalam rumah tangga.
Namun, ia bukan bermakna seseorang itu harus pasrah dengan keadaan dan berdiam diri.
Sebaliknya, setiap pasangan suami isteri tetap harus mencari penyelesaian dan jalan keluarnya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Hasni (bukan nama sebenar) yang mengalami konflik dalam hubungan rumah tangga bersama suami, Zamri (bukan nama sebenar).
Wanita berusia 32 tahun itu diuji apabila suaminya gila talak dengan bekas isteri, Rina (bukan nama sebenar) yang diceraikan enam tahun lalu.
Sejak kemunculan semula wanita itu dalam hidup Zamri, sikap lelaki itu berubah 360 darjah.
Zamri sebelum ini seorang yang penyayang, romantik dan amat mengasihi Hasni dan anak-anak.
Setiap kali pulang dari kerja, Zamri banyak menghabiskan masa dengan telefon hingga ke larut malam.
Hasni dan anak-anak bukan lagi fokus utama.
Ketika itu Hasni benar-benar terasa diabai dan kesepian.
Hasni mula perasan perubahan sikap suami sejak pertengahan tahun lalu apabila semakin dingin terhadap dirinya.
Dulu suami kerap bertanyakan hal-hal seharian di rumah dan anak-anak kini dia banyak mendiamkan diri dan sibuk melayan telefon bimbitnya.
Perubahan semakin ketara apabila suami juga jarang berada di rumah terutama pada hujung minggu.
Tidak mahu mengesyaki perubahan itu sebagai petanda suami curang, Hasni tidak ambil pusing dan menumpukan hal rumah tangga seperti biasa.
Sehinggalah pada satu hari Hasni menjawab satu panggilan dari telefon bimbit suaminya.
Luluh hati Hasni apabila wanita yang mengakui sebagai bekas isteri Zamri dan sudah lama menjalinkan hubungan.
Mereka juga mempunyai perancangan untuk kembali bersama.
Apabila kecurangan suami diketahui Hasni, mereka mula bergaduh.
Namun suami menafikan sekeras-kerasnya.
Sebaliknya memberitahu hubungannya dengan Rina (bukan nama sebenar) tidak lebih daripada seorang kawan dan kembali terjalin demi anak-anak.
Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi.
Hampir setiap hari wanita itu menghubungi Zamri. Jika tidak sempat di pejabat, perbualan mereka dilanjutkan hingga di rumah.
Perbualan mereka di talian semakin mesra dan pasti ada suara bernada romantik dan ketawa kecil mengakhiri kata-kata sebelum Zamri mematikan talian.
Apabila ditanya, jawaban suami tetap sama, bekas isterinya itu hanya mahu bertanya khabar dua anak mereka iaitu Remy dan Melisa (bukan nama sebenar).
Hasni banyak makan hati dengan suami tetapi dia tetap bersabar.
Setiap kali Hasni terasa hati, dia akan pendamkan dan diamkan sahaja. Bila diluahkan, Zamri akan tunding jari dan cari silap Hasni.
Hasni pula dikatakan cemburu tak bertempat. Perkara itu berlarutan dari minggu ke minggu, bulan ke bulan.
Sehinggalah pada satu hari Zamri menyuarakan hasratnya untuk menikahi Rina kembali.
Dalam masa sama, Zamri mahu melepaskan ikatan perkahwinan mereka secara baik berikutan enggan melakukan kezaliman terhadap Hasni.
Hasni yang sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku, menerima keputusan itu dengan rasa hiba dan sedikit kecewa.
Namun dia tetap berlapang dada, menerima kenyataan jodoh dengan orang tersayang telah berakhir.
Dia tahu Rina adalah cinta pertama suaminya.
Walaupun Rina pernah meninggalkan Zamri dan anak-anak yang masih kecil ketika itu dengan alasan enggan hidup susah, sebagai manusia wanita itu berhak untuk dimaafkan.
Walaupun dia membesarkan Remy dan Melisa dengan penuh kasih sayang, Rina lebih berhak ke atas mereka.
Hasni tahu kehadirannya dalam hidup Zamri hanya seketika cuma untuk menumpang kasih sebagai isteri dan ibu.
Menyingkap detik awal pertemuan, Hasni berkenalan dengan Zamri menerusi ahli keluarga sebagai kenalan biasa.
Namun, perasaan terhadap satu sama lain mulai timbul setelah dipertemukan semula selepas setahun Zamri hidup menduda.
Keinginan Zamri untuk mencari isteri dan pengganti ibu kepada anak-anaknya menguatkan lagi hati Hasni untuk menerima lelaki itu.
Setelah dua bulan mengenali hati budi, mereka mengambil keputusan berumah tangga.
Hasni menerima seadanya Zamri serta dua anak hasil perkahwinan terdahulu.
Lima tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini hidup dengan penuh kasih sayang.
Walaupun mereka tidak dikurniakan anak sendiri, ia tidak pernah mengurangkan kasih-sayang Zamri terhadap Hasni.
Jauh disudut hati berat melepaskan Remy dan Melisa, namun ibu kandung lebih berhak ke atas mereka.
Jika takdir menentukan perpisahan adalah jalan terbaik, Hasni reda.
Dia mahu meneruskan kehidupan yang berbaki kerana dunia tidak pernah kiamat dengan asbab perceraian.
Hasni perlu menerima kenyataan. Dia perlu kuat dan cekalkan hati.
Tentu sekali bukan mudah, tetapi dia cuba memujuk hati.
Selain mendekati dengan Allah, Hasni kini cuba menyibukkan diri dengan menyertai pelbagai aktiviti kebajikan.
Hasni yakin susunan Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Allah tidak akan mengatur sesuatu yang sia-sia, sebaliknya semua bersulan hikmah yang sangat halus dan hebat.
Sebagaimana Firman Allah bermaksud:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimudan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah 2:216).










