“Biar bodoh asal popular! Biar seksa dicela seksi asal produk laku keras! Biar diejek sebagai pelakon murahan asal tawaran berlakon masuk mencanak, biar kasar mencela asal nampak perkasa!”
Melihat kepada lambakan dan limpahan berbagai video dalam berbagai platform media sosial, ungkapan di atas mungkin sudah menjadi lafaz niat pemula bagi sesetengah penyedia kandungan media sosial yang bertungkus lumus membazir masa menyediakan bahan untuk tatapan umum.
Sesetengah mereka seumpama pencipta pelbagai ‘jajan’ yang tidak mengenyangkan pun minda pengguna. Belum lagi dikira waktu yang dibazirkan untuk suntingan video yang mahu dijadikan batu loncatan untuk memanjat puncak populariti. Yang ditonton cuma beberapa minit tetapi tempoh suntingan jauh lebih panjang lagi.
Lambakan bahan kurang sihat ini datang bersama kembarnya iaitu ghairah mahu dikenali atau gila populariti. Tambahan pula kini cara untuk memanjat puncak kemasyhuran lebih terbuka dengan pecutan teknologi dalam media sosial.
Semua boleh berkarya dan berkongsi karya tanpa batas walaupun sesetengah kandungan sebenarnya lebih layak dipanggil ‘sampah sarap minda dan dosa murahan’ yang bakal disesali kemudian hari.
Apabila sifat malu sudah dihakis dengan keghairahan mahu popular, manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa membuang masa dan mengaibkan diri sendiri. Belum lagi dinilai bahan tayangan dari sudut patuh syariah atau tidak.
Ada pula yang mahu popular dengan berkongsi video timbunan harta yang dimiliki. Apabila ditanya mengapa perlu menunjuk, mereka berlapik menunggang firman Allah dalam surah al-Duha bermaksud: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya (al-Duha: 11)
Ayat ini benar! Syukur patut ditunjuk sebagai galakan kepada yang lain, namun beza antara syukur dan riak menunjuk juga sangat halus maknanya. Kita bukannya para nabi yang maksum mampu mengawal hasutan syaitan agar meninggi diri.
Perlu juga diingat, perangai menunjuk aset dan harta dicela Allah dalam kisah Qarun bermaksud: Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya.
(Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.
Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang yang sabar. (al-Qasas:79-80).
Tambahan pula menunjuk harta mampu menimbulkan hasad, menyedihkan orang miskin, menarik perhatian pencuri dan mengundang panahan jahat mata manusia.
Selain itu, gila populariti sangat bahaya kerana ia mampu menghakis sifat malu yang disifatkan Rasulullah SAW sebagai akhlak utama Islam. Sabda baginda SAW yang bermaksud: Bagi setiap agama ada akhlaknya tersendiri dan akhlak Islam yang utama adalah sifat malu. (Sunan Ibn Majah, 4171).
Dalam al-Quran, Allah ‘sengaja’ merekodkan kisah kemuliaan seorang perempuan yang dimahkotai sifat malu bermaksud: Maka Musa (yang baru tiba ke Madyan dari Mesir) pun memberi minum kepada binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.
Kemudian seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata:
“Bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu. (al-Qasas: 24-25)
Kisahnya, Nabi Musa a.s yang diburu Firaun melarikan diri ke negeri Madyan. Sesampainya ke Madyan, Nabi Musa secara sukarela membantu dua perempuan memberi minum binatang ternak mereka. Mereka terpaksa bekerja kerana ayah mereka sudah terlalu tua dan tiada adik- beradik lain.
Selepas pulang, ayah kedua-dua perempuan itu yang juga seorang lelaki soleh di Madyan mengarahkan seorang anak perempuannya menjemput Musa ke rumah mereka. Kisah ini bukan hanya cerita kosong, tetapi satu mesej jelas daripada Allah betapa orang beriman, lelaki atau perempuan perlu ada sifat malu!
Aduhai! Anda tontonlah sendiri sesetengah video yang dikongsi pengguna media sosial! Sifat malu para pelakon dan penyedia bahannya seolah sudah dibuang jauh.
Ada yang galak menari secara tidak sopan, ada yang merakam perbuatan amuk si anak, ada yang berkongsi sedutan lakonan panas memeluk perempuan, ada yang sengaja mengguna kata caci nista dalam bicara dan banyak lagi.
Bimbang saya jika budaya biadab dan tak tahu malu ini tidak ditegur dan dibendung, ia akan jadi normalisasi yang buruk dalam masyarakat lalu generasi Muslim Malaysia sudah tidak tahu membezakan antara yang hitam dan putih dalam akhlak dan moral.
Jika anda sangat perlukan kemasyhuran, mohonlah kepada Allah agar dikurniai kemasyhuran yang baik dan soleh. Contohilah para ulama yang diangkat kemasyhuran mereka oleh Allah kerana kualiti hasil karya dan keikhlasan mereka.
Oleh itu, para penyedia bahan perlu menimbang niat dan karya mereka mengikut neraca Islam. Biarlah karya kita menjadi stok pahala berterusan dan bukannya simpanan dosa celaka yang memberatkan kitab amalan buruk kita di akhirat kelak.
Kawal diri anda, letakkan malu dan iman dalam jiwa sebelum menghasilkan kandungan dalam media sosial. Percayalah, populariti yang diraih hanya sementara berbanding nama membusuk diejek orang kerana kandungan kita yang kurang berzat dan mencetus dosa.
Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya sifat malu itu sebahagian daripada (tanda) iman. (Sahih al-Bukhari, 5653).
Ambil peluang dengan kemunculan Ramadan untuk memupuk malu dan sifat takwa dalam media sosial.
Semoga gelojak nafsu gila kemasyhuran kita boleh diredakan seketika menjelang tibanya Ramadan tahun ini. Insya-Allah!
——–
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










