JIKA kelainan yang dicari, maka terbukti bahawa penganjuran Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) tempoh hari telah berjaya menggapai objektif tersebut.
Kalau lihat daripada kesemua 12 lagu dipertandingkan, setiap karya itu sememangnya layak menerobos masuk ke peringkat akhir dengan ada antara lagu yang bertanding, dianggap cukup kuat dari segi persaingannya.
Kesemua peserta boleh dikatakan, sempurna pada kualiti masing-masing. Berani dan ‘gila’ dalam usaha merebut gelaran juara.
Tetapi tetap, kita akan berbalik kepada soal rezeki dan tuah pada akhirnya. Malam Ahad lalu telah menyaksikan segala usaha dan penat lelah mengerah ilham, akhirnya berpihak kepada Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah.
Kemenangan itu tidak terlalu mengejutkan kerana apabila dilihat daripada keseluruhan aspek teknikal dan sebagainya, lagu berjudul Pelukan Angkasa cukup kuat auranya untuk menggondol anugerah juara pada malam itu.
Sempurna pada paksinya, Pelukan Angkasa telah membuka satu ruang baru dalam dimensi muzik tanah air bila mana, ini adalah pemuzik pertama yang menyelitkan gaya persembahan dengan teknik vokal screamer di pentas arus perdana.
Unik dan bertenaga. Energi seperti inilah apa yang barangkali penonton mahukan. Sesuatu yang segar dan berbeza daripada acuan kebiasaan yang sering telah kita dihidangkan.
Sekurang-kurangnya, itu juga adalah apa yang diiyakan oleh Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail yang mencari peningkatan kualiti pada karya dan persembahan pada semua yang mengambil bahagian.
Bermula daripada komposer, penulis lirik dan penyanyi.
“Kami letakkan finalis dalam pelbagai genre dan dari sudut persembahan lagu, banyak yang telah diubah. Ia mencabar penyanyi untuk sampaikan lagu dengan iringan orkestra untuk berikan kelainan.
“Penjurian telah dibuat dengan telus. Pendengar hanya mendengar manakala juri pula menilai dan menganalisa lagu yang dipertandingkan. Harus diketahui, memberi markah pada lagu yang sudah ada di pasaran sebenarnya bukan mudah.
“Ini kerana karya itu sudah ada pengikut dan peminat tersendiri. Yapi kami berupaya mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik,” katanya.
Menurut Mokhzani, dia dan barisan juri lain yang terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan berpuas hati dengan keputusan akhir yang dibuat untuk AJL36.
“Ada empat kategori yang dinilai. Pertama, kreativiti melodi dan gubahan muzik yang memberi impak dalam industri. Ada lagu yang tak sesuai dengan suasana di Malaysia, 80 peratus dinilai dari rakaman dan 15 peratus lagu menerusi persembahan pada persembahan pada malam final.
“Kami semua berpuas hati. Kalau ditanya kenapa Pelukan Angkasa menang, ia kerana lagu tersebut hadir dengan satu pakej yang berbeza. Kita dapat rasa ia membawa satu anjakan kepada muzik yang baru,” katanya.
Semangat mahu menang
Selain itu, melihat kepada setiap persembahan yang dipamerkan oleh setiap penyanyi yang bertanding, cukup ketara betapa berkobar-kobar semangat mereka dalam usaha untuk meraih kejuaraan.
Rata-ratanya boleh disifatkan tidak ‘malas’ dalam memberikan persediaan dan persiapan diri sementelah ini juga merupakan kali pertama dalam tempoh dua tahun kebelakangan peserta berpeluang untuk beraksi di hadapan penonton di dewan.
Hal ini juga diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN), Datuk Khairul Anwar Salleh yang menyatakan rasa puas melihat keseluruhan aspek persembahan termasuk penganjuran AJL kali ini yang dianggap seiring dengan transformasi Media Prima.
“Secara peribadi, bagi saya AJL harus transform seiring dengan tuntutan keadaan semasa. Kita nak kekal relevan dan selaras dengan hala tuju Media Prima. Saya berpuas hati dengan penjurian dan persembahan yang dipentaskan pada tempoh hari.
“Kita semua harus akui dia mana setiap persembahan yang dipamerkan, membawa kita semua termasuk penonton ke momen penuh magikal sekali gus menyaksikan artis yang bertanding dan penggiat kreatif di belakang tabir bersungguh-sungguh mahu memberikan yang terbaik yang mereka ada.
“Satu yang saya harapkan, selepas ini prosedur operasi standard (SOP) dapat dinilai semula untuk memastikan industri terus maju. Acara sebegini, penonton tak boleh diketepikan.Selagi boleh kita mahu penonton ada untuk menjayakan sesebuah program dan persembahan,” katanya.
TRIVIA MENARIK AJL36
* Ramai meluahkan rasa bimbang apabila Naim Daniel membuat persembahan dari atas katil yang tergantung di siling dewan. Bukan apa, bimbang jatuh ke bawah. Tetapi ada yang menyamakan persembahan tersebut persis aksi yang dilakukan oleh penyanyi Billie Eilish semasa di acara Coachella 2019.
* Seperti biasa, nama Aina Abdul sentiasa menjadi sebutan ramai. Banyak mata tertumpu pada dua busana yang disarungnya pada malam tersebut. Pertama dikatakan persis pokok bunga bergerak, manakala busana berona emas pula persis trofi Oscar dan Grammy.
* Syamel tampil memberi kejutan dengan menyanyikan lagu Boneka nyanyian asal isterinya, Ernie Zakry. Sebelum ini ramai yang berteka-teki siapakah gerangan penyanyi yang layak membawakan lagu tersebut.
* Jangan main-main dengan persembahan Marsha Milan. Meski berdiri secara solo di pentas besar itu, vokalnya pada malam tersebut, begitu wow! Meremang bulu roma!
* Shiha Zikir dan Noki juga sepertinya enggan kalah. Bermain dengan elemen api, Shiha turut melakukan aksi berani terbang dari platform berbentuk menara. Walaupun ada penceritaan tersendiri dalam persembahan itu, namun rezeki tidak berpihak pada mereka.
* Persembahan tiga suara versi lelaki, Naim Daniel, Hael Husaini dan Haqiem Rusli antara menjadi perhatian menerusi lantunan vokal masing-masing yang memukau. Berdiri di platform biasa? Tidak. Mengapa tidak di atas air bukan!
* Persembahan penutup Awie dan kumpulan Wings cukup mantap bagaikan sedang melakukan konsert mini di pentas AJL36. Lagu Hukum Karma, Opera Hidup dan Harapan mengundang semangat rock seisi dewan.









