Ayam dan telur ayam ialah sumber protein yang penting di Malaysia. Harga purata telur kini ialah 30 sen sebiji. Hakikatnya, isi rumah di Malaysia memang sangat suka makan telur.
Setiap seorang daripada kita makan 330 telur setahun. Ia sepatutnya merupakan sumber protein yang paling murah.
Namun kenaikan harga boleh menyebabkan harga telur ayam tidak munasabah berbanding dengan pendapatan keluarga. Setiap keluarga membelanjakan hampir RM500 setahun untuk makan telur.
Pada 1960-an, pengkaji termasuk Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menekankan bahawa orang Malaysia sangat kerdil berbanding dengan bangsa Eropah, malah bangsa Jepun dan Korea kerana kita kurang makan protein dan lebih banyak makan karbohidrat, lantaran protein merupakan makronutrien yang memainkan peranan penting dalam membina jisim otot serta tisu badan.
Berikut alternatif lain menggantikan telur sebagai sumber protein.
SUMBER PROTEIN
Pakar Pemakanan Hospital Gleneagles Penang, Lim Wern Ying berkata, selain telur ayam, protein boleh didapati dalam daging, ikan, itik dan produk tenusu dan semuanya merupakan sumber protein lengkap yang membekalkan semua asid amino perlu.
“Protein datang dari dua sumber utama iaitu protein haiwan seperti ikan, daging, telur, susu, keju dan protein tumbuhan seperti kekacang dan produk soya.
“Begitupun secara biologi, protein haiwan lebih lengkap berbanding protein tumbuhan yang mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia. Asid amino ialah blok asas protein dan protein dapat membantu membina dan mengekalkan kesihatan otot, tulang dan kulit.
Namun begitu, makanan berprotein yang tidak lengkap ini dapat diubah menjadi protein lengkap dengan cara memakan pelbagai jenis protein tumbuhan setiap hari untuk mendapatkan semua asid amino yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Lim berkata, diet seharian untuk kanak-kanak tiga tahun ke atas sepatutnya membekalkan protein (berdasarkan saranan Pengambilan Nutrien – RNI Malaysia) sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada jumlah kalori diperlukan tubuh badan atau 0.8 hingga 1.0 gram per kilogram berat badan.
Dalam kalangan kanak-kanak mereka memerlukan pelbagai nutrien untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka kerana protein berperanan melaksanakan pelbagai fungsi tubuh.
“Ia membantu mata si anak untuk melihat, mengecutkan otot dan membantu proses pembekuan darah. Ia membolehkan anak-anak menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindungi mereka terhadap jangkitan.
“Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak-anak tidak akan mempunyai struktur,” katanya. – UTUSAN










