PETALING JAYA: Malaysia perlu mempercepat pembaharuan kawal selia dan melonggarkan beberapa sekatan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) bagi meningkatkan daya saing ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta merangsang produktiviti, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Dalam Tinjauan Ekonomi Malaysia 2026, OECD berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memudahkan urusan pelabur, negara masih mempunyai antara rejim FDI yang lebih ketat berbanding banyak ekonomi lain, terutamanya disebabkan sekatan pegangan ekuiti asing dalam beberapa sektor strategik.
Menurut laporan itu, hanya 19 peratus ekuiti syarikat di Malaysia dimiliki pelabur asing setakat pertengahan 2025, menurun daripada paras tertinggi 25 peratus kira-kira 12 tahun lalu.
OECD berkata, pegangan asing dibenarkan sehingga 100 peratus dalam sektor pembuatan bagi projek baharu atau peluasan operasi, namun had masih dikenakan dalam beberapa sektor lain termasuk 70 peratus bagi telekomunikasi dan 49 peratus bagi sektor tenaga serta utiliti.
“Bagi sektor kewangan pula, semua permohonan pegangan saham dan lesen dinilai secara kes demi kes berdasarkan kepentingan negara di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
“Dalam sektor pertanian dan perladangan, syarat penyertaan minimum ekuiti tempatan atau Bumiputera masih dikenakan, manakala sektor hartanah tertakluk kepada sekatan di peringkat kerajaan negeri. Industri minyak dan gas pula mewajibkan penyertaan syarikat tempatan dalam aktiviti huluan,” katanya dalam laporan itu.
Menurut OECD, sekatan itu mengehadkan kemasukan pelabur asing yang berpotensi membawa pemindahan teknologi, kepakaran serta meningkatkan persaingan, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna dan ekonomi secara keseluruhan.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan mekanisme semakan pelaburan asing yang lebih telus bagi melindungi kepentingan keselamatan negara tanpa menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih terbuka,” katanya.
OECD berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menilai kemungkinan melonggarkan had pegangan asing dalam beberapa sektor strategik sebagai sebahagian daripada rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat, namun tiada perubahan besar dilaksanakan sehingga penghujung 2025.
Dalam aspek kemudahan pelaburan, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Skim Golden Pass pada 2024 bagi menarik syarikat pemula niaga bertaraf unicorn dan pemodal teroka, selain pelancaran portal InvestMalaysia yang menyediakan maklumat ekonomi dan menghubungkan pelabur dengan agensi berkaitan.
Kerajaan juga memperkenalkan Investor Pass pada 2025 yang membolehkan pelabur asing tinggal sehingga enam bulan dengan pilihan lanjutan enam bulan lagi serta menikmati kemudahan visa masuk berbilang kali bagi memudahkan urusan pelaburan.
Bagaimanapun, OECD berkata, Malaysia masih mempunyai ruang besar untuk menjadikan peraturan lebih mesra persaingan.
“Selain sekatan terhadap FDI, negara juga masih mengenakan beberapa kekangan dalam perdagangan perkhidmatan digital, termasuk keperluan syarikat asing menubuhkan entiti tempatan sebelum menawarkan perkhidmatan digital rentas sempadan,” katanya.
Menurut OECD, kekangan tersebut boleh menjejaskan pembangunan perkhidmatan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, selain mengehadkan aliran data merentas sempadan.
Pada masa sama, OECD mengiktiraf kemajuan Malaysia dalam memperkukuh rangkaian perdagangan antarabangsa melalui penyertaan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang membantu mengurangkan kos perdagangan, meningkatkan integrasi rantaian bekalan global serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
Laporan itu turut menyatakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) yang disambung semula pada 2025 dijangka membuka lebih banyak peluang eksport dan pelaburan sekiranya dimuktamadkan. – UTUSAN










