Suami curang ketika isteri dalam pantang - Utusan Malaysia

Suami curang ketika isteri dalam pantang

Sebelum ini suaminya tidak pernah sibuk tetapi sejak akhir-akhir itu ada sahaja alasan diberikan seperti terpaksa bertugas luar daerah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bertuah badan seorang isteri memiliki suami prihatin, ringan tulang dan bersedia menguruskan mereka sepanjang tempoh berpantang.

Demikian juga dengan Nani (bukan nama sebenar) seorang isteri yang menerima layanan baik bak bidarari daripada suaminya.

Namun kisah ibu kepada empat anak ini sedikit berbeza kerana layanan baik suami dalam tempoh 44 hari itu rupa-rupanya ada udang disebalik batu.

Semuanya bermula selepas suaminya, Harun (bukan nama sebenar) bertemu dengan seorang wanita.

Harun berkenalan dengan Erin (bukan nama sebenar) seorang penuntut institusi pengajian tinggi semasa kunjungannya atas urusan kerja di universiti berkenaan.

Nani langsung tidak menduga kemesraan suami yang agak keterlaluan berbanding kebiasaan terhadapnya merupakan petanda ada orang ketiga dalam hubungan mereka.

Sebelum suami keluar bekerja, segala keperluan Nani dan bayi kecil mereka diselesaikan terlebih dahulu.

Sementara anak-anak mereka yang masing-masing ketika itu berusia empat hingga 10 tahun dihantar ke pusat asuhan berhampiran.

Habis berpantang, Nani yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat hartanah itu kembali bekerja seperti biasa.

Nani mula perasan ada yang berbeza dengan sikap suaminya.

Sebelum ini suaminya tidak pernah sibuk tetapi sejak akhir-akhir itu ada sahaja alasan diberikan seperti terpaksa bertugas luar daerah.

Harun yang dulu ringkas, tiba-tiba bertukar kepada suami yang bergaya dan murah senyuman.

Nani semakin meragui Harun sehinggalah pada suatu hari dia terbaca mesej rahsia di telefon bimbit milik suaminya.

Dia sangat terkejut kerana melalui perbualan tersebut menunjukkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain.

Berdasarkan perbualan itu juga hubungan suami dan wanita itu begitu rapat.

Ini termasuk membincangkan hal-hal peribadi termasuk soal perkahwinan.

Mengejutkan

Enggan terus berteka teki, Nani lantas bertanya suaminya sebelum dihadiahkan dengan satu jawaban ‘mengejutkan.’

Selepas didesak Harun terpaksa berterus terang mengenai hubungannya dengan Erin.

Bagai gugur jantung Nani apabila suaminya memberitahu bahawa dia benar-benar sayang dan serius mahu mendirikan rumahtangga dengan wanita itu.

Harun mengakui terpaksa merahsiakan hubungannya dengan Erin kerana tidak yakin dengan penerimaan Nani.

Ini menyebabkan Harun takut untuk berterus terang dan berlaku jujur.

Malam itu Nani tidak boleh melelapkan mata. Air mata tidak henti membasahi pipi, jantung berdegup kencang.

Bagaimanapun, Nani tidak memerlukan masa lama untuk membuat keputusan.

Dua hari selepas kejadian itu, Nani mendapat kekuatan untuk membenarkan Harun meneruskan hubungan dengan wanita itu.

Bagi Nani, tiada siapa kalau ditanya tentang poligami akan rela hati menerimanya.

Dia tahu jika tidak diizinkan, suaminya tetap akan berkahwin.

Nani enggan bergelut terlalu lama dengan emosi marah, sedih dan kecewa kerana dia percaya akan kalah.

Dalam tempoh itu, Nani dan suami cuba berbincang secara baik dan terbuka demi memastikan rumah tangga mereka terus utuh walaupun dengan kehadiran orang ketiga. Nani cuba untuk reda, cuba untuk terima atas alasan enggan suaminya berbuat dosa.

Berita mengenai suami ingin berkahwin lain sampai juga ke pengetahuan kedua ibu bapa mentua di kampung.

Mereka menentang keras hasrat Harun berkahwin lagi dengan alasan anak masih kecil.

Namun Nani tetap dengan pendiriannya membenarkan suami berpoligami. Keputusan itu dibuat semata-mata untuk mempertahankan haknya sebagai isteri dan hak anak-anak.

Sangkaan Nani apabila membenarkan suaminya berkahwin, masalah akan selesai, sebaliknya tidak.

Dua minggu sebelum majlis pertunangan diadakan, di pihak Erin pula tiba-tiba berubah fikiran.

Hasrat Harun sebelum ini untuk memperisterikannya sebagai isteri kedua ditolak dengan alasan dia tidak mahu menipu diri sendiri.

Wanita itu secara jujur mengakui enggan dan tidak sanggup hidup bermadu.

Menceraikan

Harun terpaksa akur dan sanggup melepaskan wanita yang dicintai selepas syarat yang ditetap sebelum ini tidak dapat dipenuhi. Sebelum Harun memutuskan untuk meneruskan hubungan lebih serius dengan Erin, dia telah meletakkan beberapa syarat.

Ini termasuk tidak akan menceraikan isteri pertamanya.

Walaupun terkejut dengan keputusan diambil suaminya, jauh disudut hati Nani pada masa sama memanjatkan kesyukuran.

Ini kerana perkara yang ditakuti seorang isteri tidak berlaku kepadanya.

Poligami memang madu yang manis untuk suami, tetapi menjadi racun pahit bagi isteri.

Kepada wanita yang mengalami nasib serupa, Nani sempat menitip pesan, sekiranya suami mereka menyuarakan hasrat berkahwin lagi, hadapi dengan tenang dan bersikap terbuka.

Perasaan cemburu, sedih dan marah itu normal.

Namun tidak seharusnya terlalu dilayan kerana ia hanya merosakkan jiwa dan raga.

Apa juga tindakan perlu dengan ilmu, bersikap tenang dan percaya setiap yang berlaku ada hikmah sebaliknya.

Sebagai orang Islam, Nani percaya bahawa ajal, maut, jodoh rezeki semuanya ditetapkan Allah Taala. Mac ini genap 24 tahun Nani dan suami melayari bahtera rumahtangga.

Nani bersyukur kerana mampu menghadapi keadaan yang benar-benar sangat menguji kasih sayang dan kesetiaan dalam rumah tangga yang dibina. Nani percaya disebalik kesabaran dan reda, pasti ada kemanisan di akhirnya.

Sebagaimana firman Allah bermaksud:

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan_ itu untuk dirimu sendiri. (al-Isra:7)

———-
ROSLAH OTHMAN ialah bekas wartawan meja Keluarga,
Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×